Headlines News :
Home » » Akhlak pejuang Islam

Akhlak pejuang Islam

Written By Editor Bebas on Saturday, 3 December 2016 | 20:14

Oleh TUAN GURU HASHIM JASIN

KETIKA Rasulullah SAW ditanya, “Apakah itu agama?” Baginda telah menjawab, “Agama itu ialah akhlak yang baik.” Demikian maksud hadis riwayat Imam Ahmad. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang yang bekerja di jalan agama, sebagai pejuang Islam mesti mempunyai akhlak Islam sebagai contoh terhadap apa yang diperjuangkan. Seorang pejuang agama, dibezakan dengan orang awam pada akhlaknya.

Tujuan utama perjuangan Islam adalah untuk memulihkan akhlak manusia terhadap Khaliqnya. Manusia yang diciptakan dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah, pada setiap zaman telah mengalami krisis akhlak, justeru mereka menderhakai Allah, hatta syirik kepada Rabbul Jalil. Lantaran itu, Nabi-nabi AS telah diutuskan untuk mengembalikan manusia kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Aku hanya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Apakah sebenarnya pengertian akhlak? Akhlak dari segi bahasa ialah tabiat dan kebiasaan. Tetapi dari segi agama ia adalah satu keadaan jiwa atau rohani yang kukuh, kemudian daripadanya keluar perbuatan, percakapan dan tindakan yang baik dengan mudah tanpa perlu berfikir atau angan-angan. Natijah yang baik itu terpapar dengan sendiri tanpa dibuat-buat, sesuai dengan fitrah, hasil daripada kekuatan iman yang terbentuk dalam diri. Akhirnya terjelma watak seorang yang beragama.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 58 yang bermaksud, “Dan tanah yang baik, tanaman-tanaman tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tidak tumbuh tanaman-tanamannya melainkan dalam keadaan bantut. Demikianlah Kami ulangi tanda-tanda kebesaran Kami, bagi orang yang bersyukur.” Bandingan yang dikemukakan oleh Allah ini sangat tepat untuk menjadi kayu ukur kepada para pejuangan Islam tentang natijah daripada kekuatan iman yang melahirkan akhlak.

Imam Ghazali RA menegaskan bahawa segala perilaku manusia adalah bertepatan dengan apa yang ada di kalbunya (imannya). Kata Imam Ghazali, “Semua sifat yang terdapat dalam kalbu, pasti pengaruhnya akan terlihat pada perilaku, sehingga manusia tidak berperilaku, melainkan sesuai dengan apa yang ada dalam kalbunya.” Ertinya, seluruh tingkah laku kita menjadi gambaran terhadap nilai iman yang telah tertanam dan diyakini oleh setiap orang. Apakah seorang pejuang Islam bangkit tanpa iman?

Untuk menjadi seorang pendukung Islam yang tegar, kita telah melalui proses tarbiyah yang panjang. Bukan hanya ahli-ahli bawahan yang diwajibkan mengikuti tarbiyah harakiyah, tetapi juga para pimpinan. Supaya setiap orang daripada kita berjuang dengan ilmu, iman dan akhlak. Tanpa ilmu pasti kita malas berjuang, tanpa iman kita tidak akan bangkit. Mungkinkah kita bangkit berjuang tanpa akhlak? Ternyata jihad dan akhlak adalah “kembar siam” yang sukar dipisahkan, kerana akhlak adalah lahir pada diri pejuang yang beriman!

Saya menyeru diri saya sendiri dan seluruh anak-anak harakah yang berada dalam perjuangan Islam, khususnya ahli-ahli PAS supaya sentiasa mempamerkan akhlak terbaik sebagai seorang pejuang Islam. Inilah modal yang terbesar dalam kita merubah masyarakat sehingga mereka merasa tertarik dengan Islam kerana mulianya akhlak para pejuangannya. Jika Nabi-nabi AS didatangkan oleh Allah terhadap kaum yang engkar, lalu merubah mereka dengan akhlak, maka sudah pasti ia adalah satu contoh yang terbaik untuk kita semua dalam memperbaharukan masyarakat dengan Islam.

Pada suatu hari, telah ditanyakan kepada Ummul Mukminin, Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Beliau menjawab, “Akhlaknya adalah al-Quran.” Nah! Di hadapan kita sekarang adalah perjuangan untuk menegakkan al-Quran dan Sunnah dalam seluruh sistem kehidupan. Bagaimanakah kita dapat mendirikan sebuah negara yang berasaskan al-Quran, jika al-Quran itu sendiri tidak berdiri di dalam diri kita. Ternyata Rasulullah SAW telah mendirikan akhlaknya dengan al-Quran, kemudian seluruh Sahabat RA juga turut mendirikan akhlaknya dengan al-Quran, sehingga terbangun sebuah masyarakat dan negara yang mendaulatkan al-Quran.

Hari ini, kita melihat satu krisis yang besar di kalangan generasi muda terutama golongan yang tegar dalam perjuangan membela hak rakyat jelata. Mereka bangkit dengan isu-isu dan tuntutan yang menggegarkan. Media-media sosial digembleng untuk mewujudkan kesedaran. Tetapi dalam rangka perjuangan yang bersulam dengan kata nista, caci dan cerca, fitnah dan cerita yang direka, bergaul bebas semua jantina, iman terbiar nafsu dipuja. Apakah ini akhlak orang yang mahu menjadi pembela?

Saya tidak mahu ahli-ahli PAS terikut-ikut dengan pendekatan mereka. Atas sebab mencari popular, semua perkara halal belaka. Ahli PAS mesti berpijak di bumi yang nyata, bahawa seluruh perjuangan ini mestilah berasaskan akhlak mulia yang telah dicontohkan oleh Nabi SAW. Baginda berjaya membentuk masyarakat dengan akhlak, bukan dengan isu-isu yang diperjuangkan tanpa batas kawalan. Tidak ada ruang untuk para pejuang Islam meniru-niru pendekatan yang tidak melahirkan akhlak mulia. Merubah masyarakat mestilah dengan akhlak, bukannya dengan laung pekik yang jelak!
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU