Headlines News :
Home » » Lima teknologi baharu dalam Piala Dunia

Lima teknologi baharu dalam Piala Dunia

Written By zabidi on Wednesday 25 June 2014 | 23:44

RIO DE JANEIRO - Brazil 2014 menjadi edisi pertama Piala Dunia menggunakan teknologi garisan
gol, tetapi penggunaan teknologi canggih lain juga akan mewarnai kejohanan kali ini.
Berikut ialah lima teknologi yang akan membantu para pemain, pegawai dan penyokong sepanjang kejohanan kali ini.

Semburan buih

Dalam usaha untuk menghalang mana-mana pasukan daripada mencuri kelebihan secara tidak sah menerusi sepakan bebas, pengadil dalam kejohanan ini akan dibekalkan tin kecil mengandungi buih yang selepas disembur akan hilang selepas beberapa ketika.

Bahan mesra alam itu akan di­sembur di atas padang untuk menandakan di mana sepakan bebas sepatutnya dilakukan dan jarak 10 ela di mana pasukan lawan harus membuat benteng. Dikenali sebagai Aero Comex Futline, bahan yang disembur itu akan lenyap dalam masa seminit.

Pengadil pertama yang menggunakan teknologi ini ialah Yuichi Nishimura dalam perlawanan pembukaan antara Brazil dengan Croatia pada Jumaat lalu.

“Pemain-pemain menghormatinya. Ia satu ciptaan yang bagus dan saya tidak sabar untuk menggunakannya," kata pengadil dari Australia, Ben Williams.

‘Twitterwall’

Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) telah memasang ‘Twitterwall’ yang direka khas di hotel penginapan pasukan Jerman berdekatan Porto Seguro di Bahia, negeri di timur Brazil. Menggunakan hashtag #aneurerseite (#onyourside), penyokong boleh menghantar mesej bergambar untuk menyemangati pasukan itu, yang akan dipaparkan pada dinding berkenaan untuk dilihat oleh pemain-pemain. Idea yang sama turut digunakan di lapangan terbang Frankfurt sebelum skuad itu berlepas ke Brazil.

WhatsApp

Pemain-pemain Uruguay telah berhubung sesama sendiri menjelang kejohanan kali ini dengan menggunakan khidmat pesanan segera WhatsApp pada telefon pintar mereka. Pen­yerang, Edinson Cavani mendedahkan, dia dan rakan-rakan sepasukannya menggunakan aplikasi itu untuk berkongsi pandangan mereka mengenai undian Piala Dunia, yang menyaksikan juara Amerika Selatan itu digandingkan dengan England, Itali dan Costa Rica.

“Reaksi kami ialah...Oh Itali! Oh, England! (apabila mengetahui keputusan undian). Mesej berkumpulan itu bagus untuk memastikan kami saling berhubung kerana kami bermain di seluruh dunia dan kami boleh saling memberikan sokongan," kata Cavani kepada majalah Bri­tain,
FourFourTwo.

Televisyen Definisi Ultra Tinggi

Piala Dunia 2014 menjadi kejohanan pertama yang dirakamkan sebahagiannya menggunakan teknologi Definisi Ultra Tinggi (UHD), yang mempunyai resolusi kira-kira empat kali ganda lebih tinggi berbanding televisyen konvensional Definisi Tinggi (HD) dan memerlukan rangkaian satelit yang mampu menyalurkan data sehingga 100 megabit sesaat. Kejohanan ini dilihat sebagai medan menguji teknologi itu, yang masih belum boleh didapati secara meluas.

iPad

Setiap pemain England telah dilengkapi iPad yang mengandungi maklumat khusus mengenai lawan mereka di peringkat kumpulan. Persatuan Bola Sepak England telah mereka aplikasi yang akan membolehkan Steven Gerrard, Wayne Rooney dan rakan sepasukan mereka mengakses data peribadi dan petikan video lawan tertentu yang akan dihadapi dalam kejohanan ini.

England juga telah menggunakan ‘bilik haba’ dan menyarung sehelai pakaian tambahan ketika sesi latihan dalam percubaan mereka untuk membiasakan diri dengan cuaca panas lembab di bandar raya Manaus yang terletak di tengah hutan Amazon, di mana mereka akan menentang Itali (pada Ahad ini, 6 pagi waktu Malaysia).

“Kami telah membuat kemajuan. Tiada perkara yang kami tertinggal, dan persediaan kami telah berjalan dengan baik," kata pemain tengah, James Milner.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU