Oleh NIK BAKRI NIK MAT
DALAM keadaan politik
yang tidak menentu di Malaysia hari ini, antaranya para pemimpin
kerajaan tidak menghormati di antara satu dengan yang lain sebagai
contoh isu terkini berkait dengan pelantikan individu transgender
sebagai wakil CCM tanpa pengetahuan Perdana Menteri dan Menteri
Kesihatan.
Isu
ekonomi negara yang celaru sehingga dalam tempoh 400 hari sudah RM20
bilion aset negara dijual dan bermacam-macam isu rakyat yang tidak
terbela. Maka kita selaku rakyat Malaysia yang mencintai Negara Malaysia
sebenarnya mesti mengakui bahawa “kita amat memerlukan seorang pemimpin
negara bukan seorang ahli politik semata-mata apatah lagi mengharapkan
ahli politik yang telah terpalit dengan pelbagai masalah peribadi dan
terlibat dengan segala bentuk fitnah serta penipuan terhadap rakyat”.
Malaysia hari ini diwarnai dengan
politik fitnah, politik penipuan, politik kebencian, politik jijik dan
keji serta politik hasutan yang mana semuanya itu akhirnya akan
membebankan rakyat kerana semua itu hanyalah untuk menjaga kepentingan
dan kedudukan ahli politik tertentu tanpa fokus kepada kebajikan rakyat
yang terbeban dengan ekonomi yang semakin parah.
Maka fahamilah wahai rakyat Malaysia
terutama yang beragama Islam dan begitu juga rakyat non-Muslim yang
masih mengharapkan keadilan yang sebenar bahawa sudah sampai masanya
kita mencari seorang pemimpin bukan seorang ahli politik semata-mata.
Oleh itu, telah sampai masanya rakyat
menyedari bahawa PAS memiliki saf kepimpinan yang mampu untuk memenuhi
kehendak rakyat dan Negara Malaysia masa kini sebagai pemimpin yang
berjiwa rakyat dan pemimpin yang benar-benar membangunkan negara dengan
konsep Raja Berperlembagaan dan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Janganlah lagi kita menggadaikan kedaulatan, keselamatan, kemakmuran
negara kepada golongan ahli politik yang semata-mata mencari keselesaan
kaum sendiri tanpa memikirkan rakyat sebagai contoh apa yang berlaku di
Pasir Gudang dan apa yang berlaku kepada arwah Adib.
Sebagai contoh satu fakta yang tidak
mampu untuk dinafikan oleh semua pihak iaitu tokoh utama di kalangan
pemimpin PAS dari sudut kepimpinan ialah Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul
Aziz Nik Mat. Sebagai Menteri Besar Kelantan dalam masa yang sama
memimpin masyarakat dengan suatu contoh kesederhanaan, amanah dan sangat
berintegriti, ini kerana sepanjang pentadbiran beliau tidak ada satupun
kes rasuah berlaku termasuk juga kepada semua exco dan pegawai
kerajaan.
Sekarang PAS memiliki Dato’ Seri Tuan
Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang tokoh yang sangat berilmu dan
berwibawa bertaraf ulama dan ahli akademik yang diiktiraf di peringkat
dunia. Sebagai seorang pemimpin parti yang amat disegani oleh pendukung
dan pengikut bukan kerana kedudukannya tetapi kerana kesederhanaan hidup
yang ditunjukkan oleh beliau. Beliau juga merupakan ahli politik yang
memiliki pengalaman luas di peringkan Dun dan Parlimen.
Memiliki ciri kepimpinan dari sudut
istiqamah dengan perjuangan dan dasar-dasar perjuangan dan tidak pernah
berubah tetap konsisten dengan parti tidak sebagaimana sesetengah ahli
politik yang sehingga hari ini keluar masuk parti, melompat parti,
menubuhkan parti baru demi kuasa dan kedudukan dan seribu satu keadaan
yang menunjukkan bahawa mereka tidak konsisten, tidak teguh dengan dasar
perjuangan sehingga kita tertanya-tanya apakah sebenarnya dasar yang
sedang mereka perjuangkan?
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang dari sudut sejarah telah bergerak aktif dalam bidang politik
semenjak tahun 1982 sehingga kini lebih kurang 37 tahun lebih namun
tidak pernah keluar masuk parti, jauh sekali melompat ke parti itu dan
parti ini. Inilah ciri-ciri pemimpin yang sebenar iaitu istiqamah dan
konsisten dengan apa yang diperjuangkan.
Berpengalaman sebagai Adun dan ahli
parlimen selama 15 tahun lebih semenjak tahun 2004 hingga kini. Jika
pemimpin sebegini dipilih sudah tentu rakyat akan dibela dan dilayan
dengan penuh keadilan dan rasa hormat kepada rakyat. Beliau telah
memimpin parti PAS sebagai Presiden selama 16 tahun lebih semenjak tahun
2003 sehinggi kini. Satu pengalaman yang cukup untuk mentadbir negara.
Dasar yang TGHH bawa dalam PAS atau
Konsep Perjuangan PAS ialah ‘Muwajahah Silmiah (berdepan secara damai)
dan terkini ditambah pula dengan BPMS (Budaya Politik Matang dan
Sejahtera). Maka dengan kepimpinan beliau, PAS telah banyak bekerjasama
termasuk atas konsep tahaluf siyasi (persefahaman politik) begitu juga
dengan taawun siyasi (kerjasama politik) dengan banyak pihak.
Antaranya dengan S46, PKR, DAP dan
lain-lain sama ada ada atas nama Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan
Altenatif, Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera dan sekarang malakukan
taawun siyasi dengan Umno. Semua ini merupakan ciri-ciri pemimpin yang
diperlukan iaitu memiliki sifat keterbukaan dengan siapa sahaja dan
benar-benar jujur berjuang kerana Islam dan Allah buktinya beliau tidak
pernah berdendam dengan Umno yang mana kita semua maklum apa yang telah
dilakukan oleh Umno semasa mereka berkuasa.
Akan tetapi sikap yang ditunjukkan oleh
TGHH, demi Negara Malaysia yang tercinta dan demi Islam yang
diperjuangkan sanggup meminggirkan dan melupakan apa sahaja yang penting
‘Penyatuan Ummah’ atas nama Islam dapat dilaksanakan dan usaha demi
menyelamatkan negara daripada ahli-ahli politik yang hanya bercita-cita
memegang tampuk pemerintahan semata-sama tanpa memikirkan kebajikan
rakyat dan kedaulatan negara dapat dicapai.
Satu lagi fakta yang tidak boleh
dinafikan bahawa PAS dan kepimpinan PAS adalah tempat yang dicari oleh
mana-mana ahli politik yang terbuang sebagai contoh Tengku Razali, Anwar
Ibrahim dan sekarang ini pula pemimpin-pemimpin Umno setelah mereka
mengalami kekalahan dalam PRU 14. Kenyataan ini bukan untuk merendahkan
mana-mana pihak namun itulah realiti yang berlaku. Suatu yang tidak
perlu lagi diperjelaskan. Cuma itulah juga yang membuktikan bahawa PAS
memiliki kewibawaan sebagai tempat rujuk dan bernaung serta mampu
memimpin dan pemimpin PAS pula mampu memenuhi ciri kepimpinan untuk
mentadbir Negara Malaysia.
Di era kepimpinan TGHH beliau membuka
ruang kepada non-Muslim untuk menjadi ahli DHPP (Dewan Himpunan
Penyokong PAS). Ini menunjukkan bahawa non-Muslim tidak dipinggirkan
bahkan diberi hak kepimpinan. Jika ahli politik yang dipinggirkan pun
mencari PAS dan pemimpin PAS dan sekarang ini dengan jelas ahli politik
tersebut dapat bangkit kembali walaupun sesetangah mereka boleh
diibaratkan ‘bagai melepaskan anjing yang tersepit’ apa salahnya
sekiranya rakyat memberi keyakinan dan sokongan bahawa PAS memiliki
“pemimpin negara yang diperlukan masa kini”.
Dengan ini marilah kita sama-sama
menjayakan usaha ‘Penyatuan Ummah’ atas dasar Islam dan demi Islam dan
umatnya. TGHH adalah seorang tokoh pemimpin masaka kini yang amat
diperlukan oleh Negara Malaysia dan beliau layak untuk digelar ‘Bapa
Penyatuan Ummah’.
Marilah kita umat Islam bersatu atas nama Islam, hidup dengan Islam dan mati dengan Islam.
Penulisan ini sengaja diringkaskan tanpa
fakta yang banyak dan dalil-dalil agar mudah difahami bahawa kita dalam
situasi hari ini memerlukan ‘Pemimpin Ummah’ bukan ahli politik
semata-mata.
Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !