UKURAN kejayaan hidup
manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT jadikan ukuran nilai
sama ada berjaya atau tidak ketika berada di Padang Mahsyar nanti.
Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah
SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam
keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun berpakaian.
Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan
menjadi rendah serta hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada
ketika itu. Orang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh
ketakutan, malah syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang
Mahsyar nanti.
Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi
pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap. Langit
berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia
berada dalam kebingungan.
Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya didengari semua makhluk di
Padang Mahsyar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada hari langit
menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu
(yang berterbangan)." (Surah al-Maarij, ayat 8-9)
Hamba soleh diasingkan
Abu Hamid dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua
makhluk itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula
memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk
memindahkan hamba-Nya yang soleh ke bumi lain.
Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang
serta burung ke bumi kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak
bercahaya. Selepas itu malaikat berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah
keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan antara bumi pertama dan
kedua.
Seterusnya, Allah SWT memerintahkan malaikat di langit kedua hingga
ketujuh turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang
ada dan tidak seorang pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu.
Bumi menjadi sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit
antara satu sama lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang
merimaskan.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menyambung
perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan
penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala
sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka.
Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan
mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh. Di Padang
Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi
mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000
tahun.
Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya
Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan
malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil ketakutan.
Minta bantuan Nabi
Di Padang Mahsyar manusia berada dalam kebingungan dan pada ketika itu
mereka mula mencari Nabi Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan
apa-apa dan meminta berjumpa Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat
membantu.
Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah
akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud
sambil menangis dan berkata: "Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab
mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku."
Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar
malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis.
Rasulullah SAW memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah
terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar. Selepas itu barulah Allah SWT
menggerakkan Arasy dan umat manusia mula diadili.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !