Oleh Mohammad Agus Yusoff.
Saya ke hospital melawat saudara, sedih melihat katil yang sesak.
Saya ke Kuala Lumpur, gelisah melalui jalan yang sibuk. Saya balik
kampung, sedih mendengar cerita penoreh getah yang susah. Saya melihat data ekonomi negara, sedih melihat hutangnya banyak.
Maka, saya terfikir bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Tentunya
tidak mudah untuk kerajaan mengatasi kesemua masalah di atas kerana
memerlukan belanja yang banyak. Lalu, terlintas di hati saya tentang
BR1M. Perlukah kita pada BR1M?
BR1M diperkenalkan dalam kempen pilihan raya yang lalu dengan
tujuan untuk membantu rakyat miskin. Tidak cukup dengan itu, mahasiswa
juga diberikan baucer buku dan anak-anak sekolah diberikan wang poket di
awal tahun untuk meringankan beban ibu bapa.
Belanja BR1M
bukan sedikit. Pada Februari lepas, sejumlah RM3 bilion dibelanjakan
kerajaan untuk BR1M. Dengan belanja sebanyak itu, apakah kesannya kepada
rakyat?
Saya tidak nampak kesan yang BR1M boleh mengurangkan
beban hidup, apatah lagi kemiskinan rakyat. Yang saya nampak ialah
kenaikan harga meningkat, cukai yang meningkat dan lainnya. Di pihak
penerima pula, yang saya nampak ialah mereka gembira buat sehari dua dan
selepas itu kembali hidup dalam kesusahan. Lebih dari itu, yang saya
nampak ialah BR1M menjadi momokan pembangkang bahawa pembayarannya
adalah semata-mata untuk kerajaan mendapat keuntungan politik.
Perlukah BR1M diteruskan?
Saya tidak merasakan keperluannya, jikapun itulah janji kerajaan kepada
rakyat. Ini kerana pengagihan BR1M ini tidak juga meringankan beban
rakyat, sebaliknya menyusahkan pengurusan ekonomi dan kewangan negara.
Betul, kerajaan telah berjanji untuk meneruskan pemberian BR1M. Tetapi
buat apa meneruskan jika ia tidak menguntungkan dan tidak mencapai
sasarannya untuk mensejahterakan rakyat. Rakyat lebih sejahtera
sekiranya kita mempunyai hospital yang baik, jalan raya yang baik,
sekolah yang baik dan lain-lain kemudahan infrastruktur yang baik.
Maka, hentikan BR1M dan gantikan peruntukan BR1M itu dengan membaiki
dan menyediakan kemudahan prasarana yanag lebih baik. Jika ada
lebihannya, gunakanlah untuk membayar hutang negara. Bila hutang negara
sedikit, ekonomi negara tidak terbeban. Bila ekonomi negara tidak
terbeban, maka kerajaan tidaklah perlu mengurangkan subsidi barangan
asas dan bercakap tentang rasionalisasi subsidi. Dan kerajaan juga tidak
perlu lagi memikirkan kenaikan cukai.
Bagaimana Membantu Orang Miskin?
Menghapuskan BR1M bukan bererti kerajaan tidak membantu rakyat miskin.
Kerajaan perlu terus membantu, tetapi bantuannya adalah melalui jabatan,
agensi kerajaan, Pusat Zakat dan badan-badan kebajikan. Rakyat miskin
yang tidak mampu, mengadulah kepada badan-badan ini. Begitulah
sepatutnya cara bantuan kepada rakyat miskin diberi, iaitu dengan negara
membantunya secara yang tersusun.
Wakil rakyat pula tengoklah
rakyat miskin di kawasan masing-masing. Kumpulkan data dan maklumat
mengenainya, bukan sahaja sibuk mengumpul data mengenai sokongan
pengundi.
Apakah Menghapuskan BR1M Menyebabkan Kerajaan Hilang Sokongan?
Saya tidak nampak kaitannya. Dalam politik, cara mendapatkan dan
mengekalkan sokongan bukanlah dengan kaedah membantu rakyat melalui
BR1M, tetapi dengan membuktikan kerajaan peka kepada masalah mereka,
menghormati mereka, memahami mereka, mendengar suara mereka dan berlaku
adil kepada mereka.
Rakyat hanya mahukan kesejahteraan.
Majoriti rakyat melihat BR1M bukanlah penyelesai masalah kepada tekanan
kehidupan mereka. Sudah ramai rakyat yang melihat BR1M sebagai projek
gajah putih, tetapi tidak berani menyuarakannya. Mereka menyimpannya
secara diam biarpun mereka terhimpit.
Maka, kali ini jikapun
dengan menghapuskan BR1M ada segelintir rakyat yang marah, biarkahlah.
Hentikan pemberian BR1M, dan sebagai gantinya, gunakan peruntukan
tersebut untuk memastikan katil hospital dan jalan raya tidak sesak,
kenaikan harga barang terkawal baik, harga komoditi getah ditambat,
hutang negara diturunkan, dan lihat, apakah reaksi rakyat?
Yakinilah, rakyat tidak akan marah dengan menghapuskan BR1M, malah akan
terus menyokong jika kerajaan mendengar jeritan mereka. Bertindaklah.
Home »
Penulis Tamu
» Perlukah Pemberian BR1M Diteruskan ?
Perlukah Pemberian BR1M Diteruskan ?
Written By zabidi on Wednesday, 28 May 2014 | 21:28
Labels:
Penulis Tamu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !