SAYA telah mengulas perkembangan Pilihan Raya Presiden
Amerika di ruangan akhbar Harakah bertajuk “Pilihanraya Presiden Amerika
dan Zionis” pada bulan April yang lalu dengan menyebut bahawa
perbandingan di antara dua calon Pilihan Raya Presiden Amerika iaitu
Hillary Clinton (Parti Demokrat) dan Donald Trump (Parti Republikan)
adalah kedua-duanya berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong
Israel dengan pendekatan yang berbeza, namun tujuannya tetap sama.
Tetapi masih ada di kalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat
kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati
kalah.
Perbandingannya laksana buaya dan singa,
kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan
menerpa secara terbuka di lapangan. Adapun buaya seperti kata pepatah
Melayu ‘bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.
Parti
Demokrat dan Parti Republikan semuanya terlibat dalam campur tangan
yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung
atau tidak langsung melalui wakil mereka. Tragedi pembunuhan yang
mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama
mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia. Namun,
undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang
boleh memerangkap makhluk kecil sahaja. Apa-apa tindakan pun tidak boleh
di ambil ke atas Amerika dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh
dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya.
Seganas-ganas
singa dan buaya boleh dikawal oleh Jabatan Mergastua dan dikurung dalam
sangkar zoo. Begitulah politik, sejarah menunjukkan kuasa besar yang
memuncak keganasannya seperti Adolf Hitler dan Benito Mussolini lebih
cepat tersungkur.
Amerika adalah sebuah negara yang
mendokong demokrasi bebas tetap dikawal melalui perlembagaan dan
undang-undangnya. Di samping berlaku protes rakyat terhadap keputusan
pilihan raya itu secara demokrasi jalanan, negara Barat di Eropah juga
menujukkan tekanan bahawa Donald Trump tidak boleh bertindak
sewenang-wenangnya seperti kempennya di masa pilihan raya kecuali kalau
mahu menempah kehancuran Amerika seperti berkecainya kuasa besar
Kesatuan Soviet di abad yang lalu atau kemusnahan dengan cara yang lain.
Apa yang perlu menjadi iktibar adalah betapa kecelaruan
demokrasi Barat kini kerana disebabkan oleh tidak beriman dan hilangnya
sifat budiman dalam pemilihan kepimpinan. Tiga faktor penting yang
menjadi rukun manipulasi pemilihan iaitu 3M (Machinery/Jentera; Media;
dan Money/Wang). Apabila tiga faktor ini yang dikuasai bangsa Yahudi
dimanipulasi sepenuhnya sebagaimana yang diceritakan benar oleh
Al-Quran. Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ
لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ
قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ
بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ
ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ
وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ
عَلِيمٞ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن
يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ
مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ
ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم
مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾ [البقرة: 247-248]
“Berkatalah Nabi
mereka kepada mereka (apabila mereka meminta Nabi itu menetapkan calon
raja setelah dimintanya): Sesungguhnya Allah melantik Talut menjadi raja
kamu. Mereka berkata: Bagaimana dia dilantik, padahal kalangan kami ada
yang lebih layak, dan dia pula tidak berharta banyak (kaya raya)? Nabi
mereka menjawab: Allah yang memilihnya kerana dia berilmu dan sihat
serta gagah perkasa. Allah sahaja yang memberi kurnia pemerintahan
kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengetahuan
dan Kuasa-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)
“Nabi mereka
menegaskan lagi: Sesungguhnya Allah menunjukkan tanda perlantikannya
bahawa datang kepada kamu Tabut (peti) yang dibawa oleh Malaikat, yang
ada di dalamnya ketenangan daripada Tuhan kamu dan pusaka peninggalan
pengikut Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Sesungguhnya itulah dalil
daripada Tuhan kamu sekiranya kamu beriman.” (248)] (Al-Baqarah:
247-248)
Al-Quran adalah kitab suci mukjizat yang kekal
daripada Allah kepada Rasul akhir zaman Muhammad SAW yang membawa kisah
petunjuk sepanjang zaman.
Donald Trump memenangi pilihan raya
dengan politik wang kekayaan yang mempengaruhi jentera dan media.
Tegasnya, siapa paling kaya dan hebat Zionisnya dipilih dalam pilihan
raya di Amerika. Apabila dicampur wang dan Zionisnya maka sangat kuat
sumbangan mempengaruhi politik terkini, apabila akal berada di perut dan
apabila yang tinggi ilmunya dapat diperkudakan.
Para ulama tafsir al-Quran menegaskan pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum bukan sebabnya yang khusus.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI BIN AWANG
Presiden PAS
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !