Headlines News :
Home » » Atlet angkat berat Pahang raih dua emas

Atlet angkat berat Pahang raih dua emas

Written By zabidi on Wednesday 28 May 2014 | 11:49

ATLET angkat berat, Mohamad Taufiq Idham Razali dan Mohamad Shahrizal Abd Razak
menyumbangkan dua emas pertama kontinjen Pahang pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, di Kuala Perlis hari ini.

Dalam acara bawah 52kg lelaki, Mohamad Taufiq Idham meraih pingat emas dalam kategori clean & jerk dengan angkatan beban 111kg manakala Mohamad Shahrizal memperoleh emas dalam kategori snatch dengan angkatan beban 90kg.

Mohamad Taufiq Idham yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin berkata beliau menyasarkan dua pingat emas namun gagal meraihnya dalam kategori snatch apabila mengalami ketidakselesaan dengan platform yang agak licin.

"Biasanya saya berlatih guna platform getah tapi hari ini guna platform kayu, jadi agak licin dan sukar untuk saya. Tapi masih ada lagi peluang menyertai Sukma pada masa akan datang, saya masih berpeluang lagi rebut lebih banyak pingat.

"Lagi pun, ini merupakan kali pertama saya sertai temasya ini dan ini merupakan angkatan terbaik saya, iaitu 111kg. Saya bangga dapat hadiahkan pingat kepada kontinjen Pahang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pingat perak kategori berkenaan diraih oleh Mohamad Harith Lutfie Adnan (Pulau Pinang) dan pingat gangsa oleh Muhammad Aizat Ahmad Nazim (Perlis).

Mohamad Taufiq Idham, 16, berhasrat mahu mengikut jejak langkah idolanya, jaguh angkat berat negara Amirul Hamizan Ibrahim ke Sukan Komanwel.  

Badang negara itu pernah meraih pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India apabila berjaya membuat angkatan beban 141kg bagi acara Clean dan Jerk.

Mohamad Shahrizal yang berjaya mengubat kekecewaan tewas pada temasya sama dua tahun lepas, berkata beliau terkilan kerana tidak mencapai sasaran meraih dua pingat emas namun tetap bersyukur apabila pingat tersebut diraih oleh atlet Pahang juga.

Beliau yang mengalami kecederaan bahu sejak tujuh bulan lepas, masih tidak berpuas hati dengan pencapaiannya apabila tidak berjaya melepasi rekod peribadinya iaitu dengan angkatan beban 96kg.

Pingat perak kategori snatch dirangkul oleh atlet Kedah Mohamad Anas Malik Mokhtar dan gangsa dimenangi oleh Muhammad Aizat Ahmad Nazim (Perlis).   

Bagi acara bawah 56kg kategori snatch, pingat emas dimenangi oleh atlet Pahang Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad diikuti oleh Zulhelmi Md Pisol (Pulau Pinang) dan gangsa diraih oleh Mohamad Shafiq Shafie (Perlis).

Bagi acara bawah 56kg kategori clean and jerk, Zulhelmi Md Pisol (Pulau Pinang) meraih emas, pingat perak oleh Muhamad Aznil Bidin (Kedah) dan pingat gangsa dimenangi Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (Pahang). - Bernama
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU