Headlines News :
Home » » BAM belum ketandusan pemain - Norza

BAM belum ketandusan pemain - Norza

Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 October 2014 | 22:00

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum cemas terhadap kegagalan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menembusi kekebalan jaguh dari China pada Sukan Asia di Incheon yang lalu kerana badan induk itu mendakwa mereka sudah pun mengenal pasti wajah-wajah baharu ya ng boleh diketengahkan untuk diasah bakat sebagai persediaan ke Rio de Janeiro.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, isu ketandusan pemain atau pun kebergantungan kepada jaguh No. 1 dunia itu dalam acara perseorangan lelaki sebenarnya tidak timbul kerana BAM telah memiliki pelan jangka panjang untuk menghadapi Sukan Olimpik 2016.
"Meskipun kita tidak ada pemain yang setaraf seperti dia (Chong Wei), namun pada pengamatan saya, kita masih memiliki beberapa pemain yang mempunyai bakat dan boleh melangkah lebih jauh. Kita masih ada masa untuk membentuk pemain-pemain ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Pada Temasya Incheon yang lalu, menyaksikan Chong Wei sekali lagi kecundang di tangan seteru lamanya dari China, Lin Dan pada separuh akhir dan kegagalan tersebut bermakna pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu menamatkan kariernya tanpa kilauan emas di Sukan Asia.

Chong Wei meraih pingat sulungnya yang berupa gangsa pada temasya di Doha 2006 dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou pula dia sekali lagi dikecewakan Lin Dan pada pertarungan akhir yang menyaksikan pemain itu sekadar berpuas hati memenangi pingat perak.

Menurut Norza, BAM memiliki dua tahun untuk melakukan persiapan rapi dan menjelang 2016 kelak, Chong Wei diberi jaminan tidak lagi akan dibebani dengan tanggungjawab mengejar pingat emas Sukan Olimpik kerana bakal ditemani rakan sepasukan yang berupaya menghadirkan cabaran bagi meringankan bebanan yang dipikulnya.

Mengulas mengenai pencapaian beregu lelaki dan wanita di pentas Sukan Asia, beliau yakin gandingan sedia ada mampu diperbaiki prestasi mereka untuk menggalas tugas di Rio nanti.

"Gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei berjaya menghadiahkan pingat gangsa untuk negara, malah Vivian dan Khe Wei sebelum ini turut merangkul pingat emas di Sukan Komanwel, Julai lalu.

"Pencapaian mereka ini boleh diperbaiki kerana pemain-pemain ini masih muda dan buat Vivian serta Khe Wei mereka telah melakar kejutan kerana memenangi gangsa selepas 44 tahun gagal berbuat demikian," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norza ketika diminta mengulas mengenai belanjawan negara yang bakal dibentangkan Jumaat ini amat berharap, peruntukan yang lebih besar dapat berikan kepada pembangunan sukan negara terutamanya badminton.

"Badminton merupakan antara sukan terbesar di negara kita. Malah, sukan ini dilihat sebagai prospek dalam menyumbang pingat untuk Malaysia pada setiap kejohanan besar yang disertai, jadi saya fikir adalah logik sekiranya sejumlah peruntukkan besar dapat disalurkan.

"Sekiranya kami mendapat peruntukkan yang bersesuaian kami merancang untuk mengambil jurulatih bertaraf dunia, malah menghantar lebih ramai pemain menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka," katanya.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU