Oleh Dr Burhanuddin Jalal
SETIAP orang perlu
belajar untuk mencari ilmu dan usaha itu mestilah dilakukan demi
mendapatkan keredaan Allah SWT kerana jika kita mencari ilmu sebab
kepentingan dunia semata-mata, barangkali kita tidak mendapat ganjaran
yang setimpal di akhirat kelak.
Perkara ini pernah diceritakan oleh tokoh ilmuwan Islam, Imam al-Ghazali
dalam bukunya Ayyuhal Walad. Pada suatu ketika, seorang anak murid
kepada Imam al-Ghazali telah menulis surat kepadanya dan menceritakan
keluh kesah dirinya.
Anak murid itu menyatakan dia telah tamat belajar dengan Imam Ghazali
dan sudah dapat menguasai ilmu yang diajar Hujjatul Islam itu, tetapi
masih bingung kerana ilmu mana satu yang dapat dimanfaatkan untuk
dirinya pada masa hadapan.
Antara lain anak muridnya menulis, "Aku telah mempelajari pelbagai jenis
ilmu. Aku telah habiskan masa dari kecil hingga besar untuk belajar dan
menguasai pelbagai ilmu, tetapi kini aku perlu memilih ilmu manakah
yang dapat aku manfaatkan untuk masa depan dan ilmu yang dapat
menghiburkan di dalam kubur yang gelap dan sempit. Mana-mana ilmu yang
tidak bermanfaat akan aku sisihkan."
Keluhan anak murid Imam Ghazali itu wajar diambil perhatian dan iktibar
sepenuhnya disebabkan kemungkinan waktu ini kita sedang menekuni atau
mengejar sesuatu yang belum pasti memberikan manfaat kepada diri pada
masa hadapan atau menjadi bekalan untuk hari akhirat.
Ilmu abai sifat terpuji
Berkemungkinan kita meminggirkan ilmu fardu ain atau ilmu agama yang
wajib diketahui, fahami dan diamalkan dalam hidup. Peminggiran secara
tidak sengaja itu kemungkinan disebabkan kita terlalu menekan ilmu fardu
kifayah yang menguntungkan kehidupan dunia semata-mata.
Kegagalan menguasai ilmu fardu ain dalam erti kata sebenar akan
menyebabkan kita tertipu atau disebut sebagai maghur oleh Imam Ghazali.
Kita mungkin berasa hebat dengan ilmu lain tetapi ilmu itu tidak membawa
manfaat di alam kubur kelak.
Ghazali juga menjelaskan terdapat orang yang menguasai ilmu hukum-hakam
agama atau menguasai ilmu perbezaan fikah dengan mendalam, lalu sibuk
dengan ilmu itu. Semakin ia menguasai ilmu, semakin ia jauh daripada
Allah SWT.
Ilmu itu membuatkan dia sentiasa berfikir untuk berdebat dengan orang
lain, membela diri atas kebenaran ilmunya serta ingin mengalahkan lawan
demi ketokohan atau kepakaran ilmunya.
Akibatnya, dia mengabaikan sifat
terpuji malah menjadi sombong, riak, hasad dan cinta kehormatan.
Justeru, penguasaan ilmu bersangkutan pembersihan diri juga perlu. Bagi
yang menguasai ilmu fikah, perlu menguasai ilmu tauhid.
Jadi lebih bertakwa
Tokoh ilmu tasawuf, Ibnu Athoillah al-Sakandari dalam al-Hikam
menyatakan, "Orang yang banyak membincangkan ilmu tauhid tetapi tidak
peduli ilmu fikah, seumpama ia mencampakkan dirinya ke dalam lembah
kekufuran."
Seseorang mungkin tertipu dengan ilmu yang ada pada dirinya kerana ilmu
itu tidak diamalkan dengan baik dan sempurna. Tanda ilmu yang bermanfaat
menurut Ibnu Athoillah al-Sakandari ialah ilmu yang akan menyebabkan
kita rasa takut kepada Allah SWT.
Katanya, setiap ilmu yang baik akan menyebabkan diri sentiasa dekat dan
takut kepada Allah SWT dan ilmu yang tidak disertai dengan takwa, pasti
tidak ada membawa kebaikan.
Selanjutnya Sufyan al-Tsauri mengingatkan, sesungguhnya ilmu itu dicari
dan dipelajari semata-mata untuk takwa kepada Allah SWT dan jika ilmu
yang dicari itu tidak boleh membawa takwa maka tinggalkanlah.
Ketika kita berusaha dan bersemangat mencari ilmu dan berhasrat menjadi
ilmuwan, ada baiknya kita merenungi sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang
siapa menuntut ilmu yang sewajarnya untuk mendapatkan reda Allah tetapi
ia belajar untuk dunia, di hari kiamat kelak ia tidak mencium bau
syurga." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !