OLEH ZULKIFLI YAHAYA
PADA masa Pakatan Rakyat memerintah Kedah, Menteri Besarnya Almarhum
Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menekankan keperluan mengekalkan Kedah
sebagai penghasil utama bekalan beras negara. Penguatkuasaan yang
dilakukan ialah tiada pembukaan kawasan industri mahupun perumahan di
atas tanah sawah padi.
Di kala itu bekalan beras dari Kedah yang disumbangkan untuk
keperluan rakyat Malaysia sudah tinggal 44 peratus.Agak mengejutkan
apabila, selepas setahun BN mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan,
negeri Jelapang Padi ini hanya mampu menghasilkan 30 peratus bekalan
beras dalam negara. Kemerosotannya sangat besar.
Apakah BN prihatin terhadap isu yang melibatkan makanan asasi rakyat Malaysia ini? Jawapannya tidak!
Buktinya, meskipun BN sedar bahawa hasil beras dari Kedah merosot
teruk akibat kegagalan mereka namun mereka meneruskan kerja rakus
memusnahkan tanah sawah atas nama pembangunan.
Hampir genap setahun pemerintahan Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir,
beliau mengumumkan penerusan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY)
yang dimulakan oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid dahulu.
Mungkin ramai yang sudah lupa bahawa Ustaz Azizan sebaik mengangkat
sumpah jawatan Menteri Besar pada 10 Mac 2008, Almarhum telah
membatalkan projek ZIPY yang dirancang dalam kawasan sawah padi seluas
4,300 ekar di Yan. Kalau nak buat boleh tapi jangan korbankan kawasan
sawah padi. Maka diubahlah rancangan ZIPY menjadi SULIHH yang tapaknya
adalah di dalam laut.
Setahun pentadbiran BN Kedah,penuh dengan kegagalan. Mukhriz menjadi menteri besar yang paling teruk pernah dilahirkan di Kedah.
Sentuhannya serba tidak menjadi. Wibawanya hanyalah palsu, tidak lebih daripada menumpang status anak bekas perdana menteri.
Jika Mukhriz mahu dinilai prestasi berasaskan pencapaiannya, maka
beliau hanya layak menerima satu bintang. Satu bintang tersebut adalah
kejayaan melaksanakan projek- projek Pusat di negeri.
Misalnya projek
UTC, perumahan rakyat dan sebagainya. Rakyat tidak nampak projek besar
yang dibuat atas nama negeri dan dengan menggunakan dana negeri.
Jangankan hendak membuat yang baharu gagal, yang telah diasaskan oleh
kerajaan terdahulu pun gagal disambung walaupun projek dirancang penuh
kebaikan.
Semua tahu, bahawa Mukhriz gagal menguruskan Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) dengan baik sekalipun kampus induk dan kemudahan yang
ditinggalkan begitu cemerlang sekali. Sekejap arah berpindah ke kampus
asal yang sempit di Mergong dan sekejap berpindah balik ke kampus induk.
Kakitangan dan pelajar yang jadi mangsa.
Mukhriz didakwa berbohong dalam isu pembelian kereta baharu untuk
Menteri Besar Kedah. Kenyataan yang dibuat kononnya untuk kegunaan Yang
di-Pertuan Agong, walhal plet kereta terangterangan tertera perkataan
‘Menteri Besar Kedah.’
Barisan Exco kerajaan Negeri juga tidak dapat menahan nafsu, menukar
kereta rasmi daripada Camry ke Perdana baharu, walaupun kereta yang
ditinggalkan Exco terdahulu masih elok. Walhal sewaktu kerajaan dahulu
menukar kereta baharu akibat kereta lama sudah terlalu uzur, BN sebagai
pembangkang di kala itu menentang keras.
Mukhriz juga gagal mengawal pembalakan yang berjalan dengan rakus
sekali terutama di daerah Padang Terap, Baling dan Sik. Hutan
digondolkan tanpa belas kasihan seolah- olah hutan tidak menyumbang
apa-apa terhadap kestabilan alam.
Mukhriz juga gagal mengawal pertambahan pusat-pusat hiburan.
Rakyat Kedah tidak perlu ke Danok atau Hadyaai untuk berhibur, di
Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim - pusat hiburan bersepah-sepah. Ia
menjadi tempat menjahanamkan akhlak anak-anak muda.
Dahulu, merekalah
kononnya paling anti dengan pusat hiburan. Bila dah dapat kuasa, yang
haram menjadi halal.
Tidak cukup dengan maksiat dari dalam negeri, pelopor program
hedonism melampau dari luar juga dibenarkan dibawa masuk sekalipun
dibantah oleh umat Islam setempat.
Kumpulan penyanyi separa bogel KPop dibawa masuk dari Korea dalam konsert UEPE yang diadakan di Sungai Petani.
Kerajaan pimpinan Mukhriz dengan murah hati ‘bersedekah’ kepada Astro
yang menganjurkan Program Maharaja Lawak Mega sebanyak RM200,000.
Jumlah tersebut terlalu besar untuk rakyat Kedah yang miskin tetapi BN
menghabiskannya untuk orang ramai bergelak ketawa.
Mukhriz juga telah membuat keputusan tidak wajar dalam isu pembalak
menyaman anak syarikat kerajaan negeri, apabila bersedia menerima
penyelesaian di luar mahkamah sekalipun kes tersebut hampir pasti
dimenangi oleh pihak kerajaan negeri. Akibatnya kerajaan negeri kerugian
RM2.5 juta.
Mukhriz turut gagal mengurus sembilan buah Maktab Mahmud yang selama
ini diurus oleh kerajaan negeri dengan menyerahkan kelolaannya kepada
Kementerian Pelajaran di bawah pentadbiran Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan (SABK). Tidak dinafikan Mukhriz bijak kerana berjaya
menyelamatkan duit negeri sebanyak RM26 juta yang selama ini membiayai
Maktab Mahmud tersebut. Lepas ini Pusat yang tanggung. Cuma soalnya, ke
mana perginya RM26 juta tersebut?
Mukhriz juga gagal merealisasikan pembinaan Maahad Tahfiz Sains di
Pulau Tuba, Langkawi yang dicetuskan idea penubuhan dan pembinaannya
oleh Ustaz Azizan. Khabarnya projek tersebut dibatalkan terus. Entahlah,
mungkin kerana bagi Mukhriz pelaburan di bidang pendidikan adalah
ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ Mukhriz juga dikaitkan dengan
keputusan tidak wajar apabila melantik Pengarah Urusan Bina Darulaman
Berhad (BDB) yang dikaitkan dengan siasatan salah laku.
Mukhriz juga dipersalahkan kerana gagal membentuk sebuah kepimpinan kerajaan negeri yang benar-benar berwibawa dan berkelayakan.
Ramai Exco yang tidak selayaknya menjadi Exco berdasarkan tahap pendidikan.
Kegagalan paling besar Mukhriz selaku Menteri Besar ialah pembelaan
terhadap penderitaan hidup rakyat, khususnya penoreh getah yang terbeban
dengan kejatuhan harga getah serta peningkatan kos hidup. Kepimpinan
kerajaan negeri Kedah seolah-olah tidak tahu langsung cara untuk
menanganinya. Terlalu banyak kegagalan
Mukhriz dan kepimpinan BN Kedah untuk disenarai dalam ruangan yang
terhad ini. Apa yang nyata adalah Mukhriz gagal! Negeri Kedah boleh
lingkop jika Mukhriz dan kepimpinan BN terus menerajui kerajaan negeri
Kedah.
Jangan pandai dok mengata orang je ....
ReplyDelete