Oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Antara matlamat Allah mencipta manusia adalah agar mereka menjadi
khalifah di muka bumi-Nya. Kewajiban ini merupakan kewajiban yang berada
dalam kedudukan yang kedua selepas kewajiban beribadat. Perkara ini
turut diisytiharkan kepada para Malaikat sebagaimana firman Allah yang
menyatakan :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada
para Malaikat; Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seorang khalifah di
bumi. Mereka (para Malaikat) bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan
itu dengan berkata); Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di
bumi itu mereka yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu
dan mensucikanMu? Tuhan berkata; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang
kamu tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah : ayat 30)
Rasulullah SAW bersabda, “Kaum
Bani Israel pada zaman dahulu dipimpin oleh Para Nabi (mereka menjadi
ahli politik). Setiap kali wafatnya seseorang Nabi, penggantinya Nabi
juga selepasnya. Sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan akan
berlakunya perlantikan khalifah (yang mengganti Nabi bagi memimpin
umat), mereka ramai. Para Sahabat bertanya; Apakah perintah-mu kepada
kami? Rasulullah SAW menjawab; Tunaikan bai’ah (janji ketaatan) kepada
yang pertama dan seterusnya. Berilah kepada mereka hak mereka (untuk
memerintah). Maka sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka berkenaan
urusan mereka yang diminta supaya memimpin.”
Khilafah adalah
kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. Ia
boleh disebut dengan kewajiban berpolitik. Kewajiban ini dilaksanakan
oleh semua para Rasul sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW. Mereka
semua berdakwah dan berpolitik, dalam erti kata lain membawa maksud
mengajak manusia kepada Islam dengan makna yang menyeluruh dan sempurna
dari segi akidah, syariat, akhlak dan pemerintahan yang mendaulatkannya.
Para
Rasul bukan sahaja berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah, malah
mereka turut mengajak raja dan para pemimpin pada zaman masing-masing
supaya menganut Islam dan mentadbir negara dengan Islam. Ada kalangan
Rasul sendiri menjadi raja atau khalifah apabila ada di kalangan
pemimpin dan rakyatnya zalim dan monolak seruan Para Rasul.
Rasulullah
SAW melaksanakan kewajiban ini. Baginda SAW pernah menolak tawaran para
pemimpin Quraish yang mahu melantik baginda menjadi raja jahiliyyah
Makkah dengan syarat menolak Islam sebagai agama yang memerintah.
Rasulullah SAW menolak tawaran lumayan itu dan memilih jihad yang payah
dan mengorbankan harta dan jiwa raga sehingga beliau dan para
pengikutnya berhijrah ke Madinah bagi menunaikan kewajiban Tuhan ini.
Selepas
penduduk Madinah menerima Islam dengan sempurna. Rasulullah SAW tetap
meneruskan jihad yang lebih mencabar. Kewajiban ini berterusan walaupun
Rasulullah SAW sudah meninggal dunia dan disambung oleh para Khulafa’
ar-Rasyidin.
Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW
menegaskan beberapa peringkat cabaran yang dialami oleh pejuang Islam
dalam menegakkan pemerintahan Islam, “Islam bermula dengan
pemerintahan berasaskan konsep Nabi, kemudian diikuti oleh konsep
Khulafa’ ar-Rasyidin, diikuti pula berlakunya penguasaan raja yang
zalim, seterusnya raja yang ganas dan akhirnya kembali semula kepada
khalifaf di atas konsep Nabi.”
Benar seperti yang dilakarkan
dalam hadis ini, Islam mencapai kejayaan pada zaman Rasulullah SAW
Selepas Rasulullah meninggal dunia, tegak pula pemerintahan Khulafa’
ar-Rasyidin, pemimpin generasi awal hasil didikan daripada tangan Nabi.
Selepas itu tegak pula pemerintahan sistem beraja yang masih lagi
beramal dengan Islam walaupun berlakunya kezaliman dan penaklukan
penjajah Barat ke atas negara-negara Islam. Umat Islam yang berkuasa
terus dibelenggu penjajahan pemikiran walaupun penjajah asing sudah
pergi manakala umat Islam yang lemah terus dimamah kezaliman akibat
pengekalan amalan sistem penjajahan.
Fahaman sekularisme yang
mengeluarkan politik daripada agama Islam adalah ajaran salah yang
diwarisi zaman penjajah bukan Islam. Mereka menakluk dan memerintah
negara-negara Islam selepas pemerintahan berkhalifah Uthmaniyah di Turki
tumbang. Sebenarnya fahaman salah ini lahir akibat perpecahan
masyarakat Eropah yang menganut agama Kristian menyeleweng daripada
agama yang dibawa oleh Nabi Isa.
Islam menegaskan kewajipan
memilih dan mengikut pemimpin adalah amanah besar dalam kehidupan dunia
sebelum menuju akhirat. Kewajipan ini bukan sahaja dihitung dalam amal
ibadat yang khusus malah turut dihitung dalam memilih dan mengikut
pemimpin. Oleh itu, tuntutan ini termasuk dalam perkara benar ataupun
sesat, pahala ataupun dosa. Pemimpin adalah pemegang amanah bagi
melaksanakan syariat Allah dalam pemerintahan negara. Allah menyatakan :
“Pada
masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan
sesalnya); Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat
kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.”
“Dan mereka berkata
lagi; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mematuhi kehendak ketua-ketua
dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang
benar.”
“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali
ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.”
(Surah al-Ahzab : ayat 66-68)
Penyebab masuk neraka itu
bukan semata-mata kerana dosa syirik dalam ibadat, meninggalkan yang
wajib, mengerjakan yang haram, malah kesalahan-kesalahan yang berlaku
dalam politik juga termasuk dalam penyebab ke neraka apabila mengikut
bukan menurut petunjuk Allah dan Rasulullah SAW. Hadis Rasulullah SAW
menyebut:
“Abu Hurairah menceritakan; Sedang Rasulullah S.A.W
bercakap kepada orang ramai, tiba-tiba seorang Badwi datang lalu
bertanya; Bilakah berlakunya kiamat? Rasulullah SAW meneruskan
perbualannya tanpa mempedulikan soalan orang Badwi itu. Ada kalangan
kami berfikir, Rasulullah SAW tidak senang dengan cara dia menyoal. Ada
juga yang berfikir Rasulullah SAW tidak mendengar pertanyaannya.
Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya; Mana orang yang bertanya tadi? Orang
Badwi itu menjawab; Ini dia, saya. Rasulullah SAW menjawab; Apabila
dihilangkan amanah. Orang Badwi itu bertanya lagi; Bagaimanakah amanah
itu hilang? Jawab Rasulullah SAW; Apabila diserahkan urusan pemerintahan
kepada orang yang bukan ahlinya.”
Saidina Umar menegaskan,
“Sesiapa yang melantik pemimpin kerana harta ataupun hubungan keluarga,
bukan kerana kelayakan mereka, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati
Allah dan Rasul-Nya SAW.”
Begitu juga besarnya dosa pemimpin yang
menipu rakyat, kerana Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada pemimpin yang
mengendalikan urusan rakyat di kalangan kaum Muslimin lalu dia mati
dalam keadaan menipu mereka melainkan Allah mengharamkannya masuk
syurga.”
Ini menunjukkan urusan kepimpinan negara adalah
kewajiban yang besar dalam ajaran Islam. Ajaran pemisahan agama daripada
politik adalah menyalahi ajaran Islam yang sempurna.
Rasulullah Tidak Mewasiatkan Pengganti
Imam
Bukhari dan Imam Muslim melaporkan, “Khalifah Umar ditanya ketika
beliau dalam keadaan tenat akibat cedera ditikam, supaya menamakan
siapakah penggantinya. Katanya; Sekiranya aku menentukan, maka orang
yang lebih baik daripadaku (Abu Bakar) pernah menentukannya. Sekiranya
aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan, maka orang yang
terbaik (Rasulullah SAW) pernah meninggalkannya (dengan menyerahkan
urusan ini kepada umat supaya memilihnya).”
Imam Ahmad dan Imam
al Baihaqi menyebut dalam kitab “Dalail an Nubuwwah” dengan laporan yang
baik daripada Amar bin Sufyan ketika berlakunya peristiwa Perang Jamal.
Apabila berlakunya penderhakaan kepada Khalifah Ali bin Abu Talib,
beliau berucap:
“Wahai semua yang hadir, Rasulullah SAW tidak
menentukan kepada kami jawatan menjadi ketua negara, sehingga kami
berpendapat Abu Bakar yang dilantik, lalu dia menjalankan tugasnya dan
beliau meneruskan tugasnya dengan benar. Kemudian Abu Bakar menentukan
Umar dengan persetujuan orang ramai, dia melaksanakan tugasnya dengan
konsisten sehingga meletakkan agama di hadapan. Kemudian berlaku orang
yang menuntut keduniaan (sahaja) maka berlakulah perkara-perkara yang
menjadi ketetapan Allah.”
Kedua-dua teks ini adalah sumber
yang sahih, Rasulullah SAW tidak mewasiatkan sesiapa menjadi calon
khalifah selepas beliau meninggal dunia. Ada laporan yang tersebar dalam
kalangan mazhab Syiah mengenai wasiat yang menentukan Ali menjadi
khalifah. Namun, laporan ini tidak sahih daripada segi rekod ilmu hadis
yang adil dan beberapa sumber yang menunjukkan Ali tidak bermaksud
melantiknya menjadi khalifah.
Ini dikuatkan lagi dengan
penyertaan dan penglibatan Ali sepanjang pemerintahan khalifah yang
terdahulu daripadanya. Beliau membantu semua urusan dan
mempertahankannya dengan penuh pengorbanan bersama seluruh Ahlil Bait.
Kajian yang dibuat menunjukkan banyaknya hadis palsu yang direka selepas
berlakunya pergolakan pada akhir zaman pada era pemerintahan Khulafa’
ar-Rasyidin.
Islam mendahului demokrasi Barat dengan meletakkan
urusan politik negara menjadi hak rakyat secara adil, tidak ada amalan
secara diktator, merampas dan menipu hak rakyat, teokrasi yang memberi
kuasa mutlak kepada golongan agama dalam Islam atau menjadi pusaka
warisan keluarga.
Kenyataan sejarah membuktikan pendekatan Islam
berasaskan akidah, syariat dan akhlak, menjadikannya lebih baik daripada
demokrasi Barat. Walaupun amalan demokrasi moden mempunyai pengaruh
feqah politik Islam, tetapi ia disekularkan dengan memisahkan politik
daripada agama. Rakyat menjadi mangsa pelbagai cara penipuan dan rasuah
apabila pemimpin tidak beriman pada balasan hari akhirat dan tidak
mengamalkan cara hidup tanpa memikirkan perhitungan pahala dan dosa. Hal
ini kerana kepercayaan mereka, agama tidak wujud dalam kegiatan politik
sekular. Amanah politik menjadi rebutan demi kemewahan dunia.
Abu Bakar Menjadi Khalifah
Ketika
keluarga dan beberapa sahabat Rasulullah SAW sedang mengebumikan
jenazah beliau, berlaku peristiwa Thaqifah Bani Saidah iaitu mesyuarat
memilih pengganti pemimpin negara dan umat selepas Rasulullah SAW.
Perhimpunan segera dibuat kerana menurut para ulama urusan siyasah,
memimpin negara lebih penting daripada urusan mengebumikan jenazah
Rasulullah SAW yang juga besar kewajibannya.
Sebelum Rasulullah
SAW meninggal dunia, golongan Ahlil Bait melalui Abbas, bapa saudara
kesayangan Rasulullah SAW pernah keluar melawat Rasulullah SAW. Beliau
membisikkan kepada Ali supaya meminta Rasulullah SAW mewasiatkan
penggantinya dalam kalangan keluarga ataupun kepada orang lain. Jika
ada, tentu beliau mewasiatkan sesuatu kepadanya.
Ali menjawab,
“Demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Demi Allah, jika kalangan
kita tidak diberi, kita dilarang daripada memegang jawatan itu
selama-lamanya.”
Sikap ini bermaksud beliau (Saidina Ali)
tidak mahu meminta jawatan dan tidak menyoal yang mana lebih baik dan
mulia. Beliau khuatir nanti diharamkan kepada zuriat Rasulullah SAW
selama-lamanya.
Para keluarga Baginda sibuk dengan urusan
mengendalikan jenazah Rasulullah SAW. Kemudian, Ali bersama Bani Hasyim,
Zubair bin Awwam dan Tolhah bin Ubaidillah berada di rumah Fatimah
al-Zahra, tempat Rasulullah meninggal dunia.
Perhimpunan di
Thaqifah Bani Saidah menjadi tegang apabila kaum Ansar berpendapat
mereka lebih layak dipilih menjadi khalifah kerana jihad mereka bersama
Rasulullah SAW dengan penuh pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam
al-Quran dan disokong oleh hadis-hadis Rasulullah SAW. Mereka
mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin Ubadah.
Kaum Muhajirin
berpendapat, mereka juga lebih layak menjadi khalifah. Mereka kaum
pertama yang memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan wahyu diturunkan,
menghadapi ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya mengalami ujian
berhijrah dan berjihad bersama-sama Rasulullah SAW. Selain itu, wahyu
dan hadis-hadis Rasulullah SAW turut menyanjung mereka dengan pujian
yang tinggi.
Keadaan yang tegang dapat dikendurkan. Sikap fanatik
perkauman dapat dipadamkan. Pemimpin utama kaum Muhajirin dan Ansar
menemui Abu Bakar. Mereka terus ke Thaqifah Bani Saidah, tempat
berlakunya perdebatan yang hangat kerana terdapat perangai jahiliyah
melalaikan sebahagian pihak daripada mengamalkan akhlak dan adab
musyawarah dalam Islam. Di sini Abu Bakar as-Siddiq menunjukkan
ketokohannya menjadi pemimpin. Beliau menyampaikan khutbahnya yang
menenangkan keadaan.
Selepas beliau memuji Allah dengan selayaknya, Saidina Abu Bakar berkata:
“Sesungguhnya
Allah melantik dalam kalangan kita seorang Rasul (menjadi petunjuk)
kepada makhluk-Nya, menjadi saksi kepada umatnya supaya beribadat
kepada-Nya sahaja, dan mengesakan-Nya. Melihat keadaan mereka menyembah
kepada yang lain daripada-Nya, dengan menghadap tuhan-tuhan yang banyak
yang diperbuat daripada batu dan kayu.”
“Menjadi suatu perkara
yang besar dan sukar kepada bangsa Arab bagi meninggalkan agama nenek
moyang mereka. Maka Allah memilih secara khusus kalangan para Muhajirin
yang terawal, mereka terdiri daripada kaumnya yang pertama mempercayai
ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, mempertahankannya, serta bersabar
menghadapi kejahatan kaum yang membohonginya. Ketika semua orang
menentang dan berpaling tidak mahu mengikutnya, memperlecehkan para
pengikutnya kerana jumlah pengikut sedikit dan orang yang membencinya
ramai. Maka kalangan mereka (Muhajirin) menjadi orang yang ulung
menyembah Allah sahaja di bumi ini (ketika itu) dan beriman kepada Allah
dan Rasul-Nya.”
“Mereka yang menjadi penolong baginda dan kaum
keluarganya, serta orang-orang yang paling berhak mengendalikan urusan
umat selepasnya, tidak ada yang menentang Baginda melainkan orang yang
zalim. Kamu (wahai kalangan Muhajirin) adalah pembantu dan keluarga
Rasulullah SAW dan orang yang layak menjadi pemimpin selepasnya. Tidak
ada yang menentangnya melainkan orang yang zalim.”
“Kamu pula
wahai golongan Ansar, adalah kalangan yang tidak boleh dinafikan
kelebihan daripada segi agama dan yang terawal juga memeluk Islam. Allah
mengisytiharkan redha-Nya kepada kamu, menjadi penolong yang ulung pada
perjuangan menegakkan agama dan menolong Rasulullah. Ramai kalangan
isterinya daripada kamu, dan ramai kalangan Sahabatnya daripada kamu,
tidak ada yang lebih daripada kamu selepas golongan Muhajirin. Maka
sewajarnya pemimpin utama daripada kalangan kami (para Muhajirin) dan
para jemaah menteri daripada kalangan kamu pula wahai golongan Ansar.
Perkara ini tidak meliputi keputusan mesyuarat dan tidak ada sesiapa
yang dapat mengatasi kamu.”
Ucapan Abu Bakar telah berhasil
menenangkan keadaan dan menghilangkan pertelingkahan. Seterusnya Abu
Bakar mencalonkan Umar dan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Namun, secara
tiba-tiba Umar dan Abu Ubaidah bangun mencalonkan Abu Bakar menjadi
khalifah, diikuti oleh pemimpin Sahabat kalangan kaum Ansar dan
Muhajirin yang lain. Maka dengan rasminya Abu Bakar diisytiharkan
menjadi khalifah pertama selepas Rasulullah SAW meninggal dunia.
Pemilihan
khalifah berlaku secara mesyuarat yang tidak memaksa dan tidak berlaku
dengan mudah melainkan melalui pendapat yang dibahas dengan
sehangat-hangatnya, namun dilaksanakan dengan seadab-adabnya. Dengan
sifat fanatik kabilah dan kekeluargaan yang tebal menjadi perangai
bangsa Arab yang masih wujud. Sifat ini menjadi warisan zaman jahaliyah
yang diberi amaran keras dalam wasiat Rasulullah SAW sebelum meninggal
dunia.
Namun, iman yang teguh dan ikhlas, Islam yang sebenar
tertanam dalam jiwa hasil didikan Nabi kepada generasi awal ini dapat
menjadi contoh yang baik mengatasi demokrasi purba dan moden yang
dibanggakan oleh dunia Barat.
Keputusan dibuat tidak sebulat
suara, ada kalangan Ahli Bait membai’ahkan Abu Bakar selepas beberapa
bulan. Kalangan kaum Ansar ada yang tidak mahu berbai’ah kerana mahukan
khalifah dilantik kalangan mereka, termasuk juga kaum Quraish sendiri
yang pada awalnya tidak berbai’ah, mereka adalah Zubair, Talhah dan Abu
Sufian. Namun, krisis dalaman yang berlaku tidak menyebabkan berlakunya
pertumpahan darah.
Selepas itu sebulat suara mereka mendukung
negara Islam dan risalahnya, menyambung tugas Islam yang tidak habis
selepas Rasulullah SAW meninggal dunia. Kesimpulan ada tiga pendapat
dengan hujah masing-masing :
Golongan Ahlil Bait yang menegaskan
ketua negara perlu daripada keluarga Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan
Ali kerana beberapa ayat al-Quran dan hadis menyebut kelebihan dan tugas
yang diserahkan kepadanya semasa hayat Rasulullah SAW.
Golongan
Ansar menegaskan ketua negara perlu daripada kalangan mereka. Hal ini
kerana al-Quran dan Hadis menyebut kelebihan golongan Ansar. Ketaatan
kepada pemimpin tanpa menentukan bangsa dan kabilah. Mereka juga
penduduk asal Madinah yang menyerahkan tanah air, jiwa raga dan harta,
berjihad menegakkan Islam, mereka mencalonkan pemimpin Ansar, Saad bin
Ubadah.
Kalangan Muhajirin berpendapat, pemimpin mesti daripada
kalangan mereka. Al-Quran dan Hadis menegaskan kelebihan mereka dan
pemimipin mesti daripada kalangan Quraish. Mereka mencalonkan Abu Bakar.
Ibnu
Khaldun menegaskan keputusan mereka memilih Abu Bakar daripada kalangan
Muhajirin dan Quraish dilihat daripada segi ilmu politik. Ketokohan Abu
Bakar difikirkan layak, kerana kematangannya melebihi dan ilmunya
melangkaui orang lain. Daripada kalangan Quraish, beliau adalah daripada
kabilah yang terkuat pengaruhnya dalam masyarakat Arab, sehingga
mempunyai kehebatan menghadapi cabaran dalaman dan luaran ketika itu.
Masih
terlalu awal menyerahkan jawatan yang besar ini selain Abu Bakar.
Kedudukannya menemani Rasulullah SAW ketika berhijrah. Rasulullah SAW
pernah menugaskanya menjadi imam di waktu solat dan tugas-tugas yang
lain memberi kelebihan kepadanya menjadi orang yang paling layak
bergelar khalifah yang pertama. Allah menyatakan:
“Kalau
kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun
menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari
Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka
berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah
engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah
menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan
menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak
melihatnya. Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terjunam
(kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang
tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana” (Surah at-Taubah : ayat 40)
Dalam kalangan Ansar,
mereka sendiri menghadapi masalah, akibat pertelingkahan yang
mencetuskan peperangan ketika zaman jahiliyah antara dua kabilah besar
Aus dan Khazraj. Adalah sukar mencalonkan orang yang diterima oleh semua
pihak. Islam yang berjaya memadamkan api permusuhan dengan tidak
mencetuskan pertelingkahan calon khalifah kalangan Ansar sendiri.
Apabila
dikhususkan kepada Ahlil Bait, Islam membawa sistem mewariskan
pemerintahan yang beku dalam satu keluarga. Pada masa yang sama, ia
bercanggah dengan konsep musyawarah yang ditegaskan di dalam al-Quran,
bersalahan dengan sikap Rasulullah SAW dan sikap orang yang beriman.
“Termasuk
orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan
solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara mesyuarat
sesama mereka. Mereka pula mendermakan sebahagian yang kami beri
kepadanya.” (Surah as-Syura : ayat 38)
Membina keluarga
Rasulullah SAW tidak mengahwinkan puterinya dengan kalangan keluarga
sahaja, dua orang puterinya dikahwinkan dengan Uthman bin Affan,
sementara Zainab binti Jahsy dari kalangan keluarganya dikahwinkan
dengan Zaid bin Harithah, bekas hamba yang dimerdekakan dan dijadikan
anak angkatnya. Adapun dalil yang dibawa oleh kalangan Syiah tidak
menepati nas al- Quran dan riwayat yang sah serta tidak menepati kaedah
siasah syariah yang betul.
Kekhilafan ini melahirkan mazhab
kefahaman politik Islam pada zaman mutakhir. Pendapat Ahlil Bait
melahirkan mazhab Syiah. Selepas itu, muncul pula golongan yang
menyatakan bukan sahaja keturunan Ali dan Fatimah yang layak menjadi
khalifah, bahkan mereka turut memperjuangkan keturunan al Abbas, bapa
saudara Rasulullah juga berhak memegang kuasa khalifah. Golongan ini
berjuang menegakkan kerajaan Abasiyah. Pendapat Ansar melahirkan mazhab
Khawarij dan pendapat Muhajirin menjadi pegangan ahli Sunnah.
Berlaku
pula pertelingkahan mazhab yang melibatkan akidah dan syariat yang
mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Islam, sehingga diresapi oleh
anasir musuh dalam selimut yang merosakkan dalaman umat Islam sendiri.
Ada yang wasatiyyah, ada yang jahil dan ada pula yang melampau dan
menzalimi diri sendiri sehingga terkeluar daripada landasan Islam yang
sebenar. Islam tetap dipelihara oleh Allah secara ilmu melalui laporan
yang rapi dan dirayat; Iaitu secara kefahaman melalui ilmu Islam dan
kaedahnya.
Akhirnya suara Para Sahabat bersetuju Abu Bakar
dilantik menjadi khalifah, mereka yang tidak bersetuju kalangan Ahlil
Bait dan Ansar akhirnya berbai’ah. Mengenai riwayat yang menyatakan
bahawa Saad bin Ubadah, ketua kaum Ansar yang terus tidak membai’ah Abu
Bakar sebagai khalifah terlalu dhaif.
Sebenarnya seluruh Ahlil
Bait dan golongan Ansar tetap menerima Abu Bakar menjadi khalifah dan
berbai’ah serta mendukungnya dengan pengorbanan yang membuktikan
keikhlasan mereka. Hendaklah yakin betapa mereka tidak didorong oleh
nafsu merebut jawatan ketua kerana keimanan yang ikhlas dalam diri
masing-masing memadamkan sifat yang buruk, mereka hanyalah
berlumba-lumba bagi menunaikan perintah Allah yang besar ganjarannya.
http://www.tarbawi.my
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !