Headlines News :
Home » » Ibu bapa punca anak lakukan kesalahan

Ibu bapa punca anak lakukan kesalahan

Written By zabidi on Monday, 11 May 2015 | 09:13

Bergaduh dan berkelahi adalah sebahagian asam garam kehidupan anak. Sama ada anak lelaki atau
perempuan, perselisihan pasti berlaku membabitkan adik-beradik dan rakan. Berbeza pandangan dan kemahuan adalah fitrah semula jadi manusia.

Justeru, apabila jaringan sosial anak semakin lebar, mereka menemui rakan baharu yang berlainan asuhan dan didikan. Pengenalan baharu ada kala berjalan dengan harmoni, tetapi sering juga berlaku perdebatan dan perselisihan, hatta pada isu paling remeh sekali pun.

Pergaduhan adalah satu juzuk daripada proses pembelajaran anak dalam berinteraksi dengan masyarakat yang lebih terbuka. Ini berbeza dengan 'masyarakat tertutup' yang bersamanya di rumah. Ibu, bapa atau orang dewasa menjadi pemerhati tetap aktiviti anak di rumah hingga tidak memungkinkan anak melakukan kesalahan.

Sekali pun ada kesilapan yang dilakukan, ibu bapa sentiasa ada bagi membetulkan kesalahan mereka. Kerana itu, tiada anak yang sanggup melakukan kesalahan di hadapan ibu bapanya.

Masyarakat terbuka di luar sana seperti di sekolah, sebaliknya memberikan mereka ruang seluas-luasnya untuk menunjukkan sikap sebenar. Pergaulan dengan rakan baharu pula menimbulkan konflik berbeza yang boleh sahaja mencetuskan perselisihan dan perbalahan.

Sekali pun pergeseran acap berlaku dalam masyarakat kanak-kanak ini, tetapi fitrah anak yang masih bersih daripada perasaan dendam dan dengki, ia boleh dilupakan dalam masa singkat. Kita biasa melihat kanak-kanak bertumbuk pada waktu paginya, tetapi boleh bermain bola sepak bersamapada sebelah petang.

Naluri kanak-kanak bersih 

Maha Suci Allah SWT menjadikan naluri kanak-kanak bersih daripada hasad. Perkelahian dan perdamaian berlaku dalam masa pantas adalah perkembangan normal emosi dan skil sosial mereka. Perkembangan itu akan terbantut apabila konflik anak mendapat campur tangan orang dewasa, terutama ibu bapa.

Dalam satu kes buli yang saya kendalikan, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah memukul pelajar lain berusia 11 tahun. Kes ini menjadi serius kerana membabitkan seorang pelajar dewasa dengan kanak-kanak yang fizikalnya jauh lebih kecil.

Malah, kesan daripada serangan ini menyebabkan mangsa terpaksa dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lelah dan trauma. Memandangkan kesalahan yang serius, pihak sekolah menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada pelajar berkenaan.

Menariknya, apabila kes ini dibawa kepada bapa pelajar, reaksinya sangat mengejutkan. Si ayah tidak langsung memarahi anaknya yang baharu sahaja mencederakan seorang budak. Sebaliknya dia mencari kesalahan pihak sekolah dalam menangani kes anaknya.

Paling parah apabila dia memarahi mudir sekolah di hadapan anaknya seolah-olah anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kesalahan paling besar ibu bapa dalam menangani masalah anak-anak ialah anggapan bahawa anaknya tidak mungkin melakukan kesalahan. Rentetan daripada anggapan itu, setiap pelanggaran undang-undang atau perbalahan yang berlaku, ibu bapa akan segera meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Ayah bela anak 

Kesan paling besar diterima oleh anak yang melakukan kesalahan ialah walaupun melakukan kesalahan besar, dia tetap dibela oleh ayahnya. Lalu anak itu tidak akan serik dan pasti mengulanginya pada masa akan datang dengan kes lebih serius.

Menerima hakikat anak mereka bersalah, ia secara langsung membuka ruang bagi memikirkan bagaimana mahu menanganinya supaya tidak berulang. Ia juga dengan segera menutup ruang untuk ibu bapa mencari kesalahan pihak lain.

Kebiasaan ibu bapa apabila diberitahu mengenai kesalahan anak, pasti mereka melenting dan menafikannya kerana beranggapan tuduhan terhadap anak seolah-olah mendakwa mereka sebagai ibu bapa tidak pandai menjaga serta mendidik anak hingga melakukan kesalahan seperti itu.

Ibu bapa yang membela anak sebenarnya sedang mempertahankan ego mereka sendiri. Mereka lebih mementingkan reputasi dan keegoan daripada membimbing anak memperbaiki kesilapan.

Bagaimanapun, kesannya dirasai oleh anak yang tidak berasa bersalah dan besar kepala.
Silap pamer kasih sayang bunuh akhlak anak

Kasih sayang ibu bapa kepada anak adalah fitrah yang tidak dapat dialihkan. Namun kesilapan mempamerkan kasih sayang menjadi racun yang membunuh mentaliti dan akhlak anak. Dalam banyak kes, apabila anak melakukan kesalahan, ibu bapa tidak sanggup melihat anak menerima hukuman.

Lalu ibu bapa akan merayu guru atau pihak berkuasa memaafkan anak. Lebih parah, mereka menawarkan diri menanggung kesalahan anak. Dalam tidak sedar mereka sebenarnya sedang membina tembok ketidakbertanggungjawaban dalam diri anak.

Demi melihat anak membesar menjadi individu bertanggungjawab dalam masyarakat, biarkan mereka menanggung kesalahan yang dilakukan. Ajarkan mereka bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan mempunyai sebab dan akibatnya.

Dalam konflik yang berlaku antara anak dan rakannya, secara refleks ibu bapa akan cuba menenangkan anak.

Namun salahnya ialah apabila ibu bapa memburuk-burukkan rakannya itu hingga dia beranggapan tindakannya bergaduh adalah benar.

Pujukan seperti itu walaupun bertujuan menenangkan anak, tetapi sebenarnya memberikan implikasi negatif kepadanya. Anak akan berasa tidak bersalah kerana tindakannya dijusfikasikan dengan sikap rakannya yang kononnya memang jahat.

Anak yang suci jiwa mereka tidak menyimpan dendam apabila berselisih faham dengan rakan walaupun menyebabkan pergaduhan. Fitrah mereka menyebabkan hubungan persahabatan antara rakan tidak terputus begitu sahaja lantaran salah faham.

Keadaan ini berbeza dengan sikap orang dewasa yang jiwa mereka sudah dicemari perasaan ego dan dendam. Justeru, menjadi kesalahan ibu bapa apabila mencampuri pergaduhan anak dengan rakan dan meletakkan kesalahan pada bahu ibu bapa lain.

Sikap sebahagian ibu bapa yang gemar menyerang dan menyalahkan ibu bapa lain atas kesalahan anak mereka menyebabkan permusuhan antara dua keluarga. Sebaiknya ibu bapa tidak terlalu membesarkan pergaduhan yang berlaku antara anak mereka dengan rakannya.

Jika dirasakan perlu, berjumpa ibu bapa rakan anak yang bergaduh itu dalam keadaan harmoni dan tidak saling menuding jari. Jadikan ini peluang berkenalan dengan keluarga rakan anak dan kemesraan antara kedua-dua keluarga ini diharap dapat merapatkan hubungan persahabatan anak.


























Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU