Oleh NAZMIE SAMARAHAN
TERNYATA, pemergian Almarhum Ustaz Izzat Shauqi pada
jam 11.10 malam (13 Okt 2014) amat mengejutkan saya. Kesedihan ini
pastinya bukan sahaja dirasai oleh keluarga Almarhum bahkan turut
dirasai juga oleh semua kader-kader dakwah yang dibentuk oleh Almarhum.
Juga teman-teman seperjuangan beliau sama ada dalam Dewan Pemuda PAS
Pokok Sena, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah serta keseluruhan pendukung
jamaah Islam.
Sejak mendapat berita ini hanya doa sahaja dapat
dititipkan dari jauh moga Almarhum Ustaz Izzat Shauqi ditempatkan Allah
swt bersama orang-orang yang beriman serta amal soleh Almarhum diterima
Allah.. Amin.
Termenung seketika memikirkan kenangan serta jasa
Almarhum yang cukup banyak sama ada pada diri yang faqir ini dan juga
gerakan Islam yang tercinta ini.
Semuanya adalah peluang dakwah
Seingat-ingat
saya, perkenalan dengan Ustaz Izzat Shauqi bermula pada Disember tahun
2006 apabila saya di minta oleh Ustaz Ahmad Yahya (kini Yang Berhormat)
untuk membantu Madrasah Taklimiah al-Khairiah (MTK) di Tok Keling, Alor
Mengkudu yang menganjurkan Kem Bina Insan. Satu program tahunan MTK
kepada masyarakat di samping untuk mencari dana pembangunan MTK sendiri.
Ketika itu Ustaz Izzat Shauqi menjawat jawatan Guru Penolong Kanan di
MTK.
Banyak yang saya bualkan dengan Ustaz Izzat sepanjang
program tersebut. Antara yang diluahkan kepada saya ialah sikap orang
Melayu yang tidak mengutamakan pendidikan Islam serta kefahaman agama
kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang meningkat remaja tanpa kefahaman
agama ini mudah rosak serta terlibat dengan gejala sosial dan akhirnya
akan mengganggu pendidikan mereka di sekolah. Apabila sudah dibuang
sekolah menengah, barulah terkial-kial datang ke sekolah agama rakyat
(SAR) seperti MTK untuk belajar dan ditarbiah. Pada usia 16 dan 17
tahun, ia bukan perkara yang mudah.
Namun kata Ustaz Izzat
Shauqi, kita yakin dengan agama, yakin dengan al-Quran. Seteruk manapun
jiwa yang datang, jiwa itu kosong. Maka jika disiram dengan tekun,
mereka pasti berubah menjadi manusia yang benar-benar manusia. Inilah
peluang dakwah yang ada pada para pendidik yang belum tentu ada pada
profesion lain.
Dari sekolah atap kepada Yang Berhormat
Pada
pilihanraya umum yang ke-12, saya teruja apabila mendapat tahu Ustaz
Izzat Shauqi dicalonkan oleh PAS Kedah bagi bertanding di kerusi Dun N9
Bukit Lada. Selain Ustaz Izzat Shauqi hanya beberapa calon lain sahaja
yang bertanding di Dun Kedah dari suara pemuda. Ustaz Izzat Shauqi yang
mewakili PAS berhadapan dengan Dato Ariffin Man dari BN yang mana calon
BN tersebut jauh lebih berpengalaman serta berusia. Perbezaan umur
mereka kira-kira 17 tahun. Namun ia tidak menjadi halangan buat Ustaz
Izzat Shauqi, beliau menang kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 208
undi.
Kemenangan Ustaz Izzat Shauqi telah mencatat sejarah yang
tersendiri, pada usia 29 tahun beliau menjadi Yang Berhormat termuda
dalam sidang Dun Kedah. Beberapa tahun selepas itu dilantik pula sebagai
Timbalan Speker Dewan Undangan Negeri Kedah bagi menggantikan YB Abdul
Ghani Ahmad yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
yang baru.
Perubahan status ini langsung tidak menghalang beliau
untuk rapat dan mesra dengan sahabat-sahabat yang lain. Disantuni kami
semua sama seperti mana beliau yang dulu. Beberapa kali hadir ke Kuching
Sarawak ketika saya masih di sana untuk terus menyebarkan risalah
Islam. Jika kita menghubungi beliau dengan panggilan telefon dan tidak
berjawab, Ustaz Izzat Shauqi pasti akan menghubungi kita semula selepas
itu. Beliau juga begitu tekun memenuhi jemputan kuliah, ceramah serta
acara-acara lain sama ada dianjurkan parti, kerajaan mahupun masyarakat
setempat.
Kenangan akhir
Ketika pulang ke
Kedah sekitar pertengahan bulan September yang lalu, saya dijemput
kuliah di Masjid Alor Madi, Anak Bukit. Alhamdulillah, kehadiran yang
memberangsangkan daripada masyarakat sekitar. Selepas kuliah baru saya
tahu, bahawa kehadiran saya pada malam itu adalah untuk menggantikan
kuliah mingguan Ustaz Izzat Shauqi. Mendapat maklum bahawa kesihatannya
banyak terjejas dan sudah dimasukkan ke hospital.
Kali terakhir
berjumpa dengan Ustaz Izzat Shauqi kira-kira setahun yang lalu di Pantai
Samila Beach Thailand. Perjumpaan tanpa dirancang, difahamkan Ustaz
pada ketika itu bersama bondanya menziarahi sanak saudara mereka di
sana. Banyak perkara yang kami bualkan apatah lagi pada ketika itu PAS
baru sahaja hilang Kerajaan Negeri Kedah. Perbincangan agak panjang
lebar sambil menghadap laut, sekali sekala wajahnya disentuh lembut
bayu. Hasratnya masih besar, matlamatnya masih sama, Islam harus
didaulatkan semula.
Perginya tentu disambut dengan kesedihan,
namun semangat dan ruh perjuangan Almarhum tetap bersama kita semua dan
obor perjuangan ini tetap akan diteruskan. Ketika saya menulis secebis
kisah pengalaman ringkas ini, tentunya jasad Almarhum telah pun selamat
disemadikan. Berhampiran insan-insan hebat yang lain, Almarhum Ustaz
Fadzil Mohd Noor, Almarhum Ustaz Shauqi Ibrahim dan Almarhum Ustaz
Azizan Abdul Razak.
Buat sahabatku Ustaz Izzat Shauqi,
pemergianmu amat berat untuk dihadapi oleh kami semua. Moga rahmat dan
kasih sayang Allah bersamamu... Amin.
19 Zulhijjah 1435H
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !