OLEH ZULKIFLI YAHAYA
SUASANA sangat tidak menggembirakan para pendukung dan
penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara apabila kita dipaksakan
dengan satu babak konflik politik yang berpanjangan.
Seluruh
mata bertumpu kepada karenah para pemimpin Pakatan. Isu besar di mata
rakyat bukan siapa layak jadi Menteri Besar Selangor. Tidak juga isu
berkaitan para pemimpin Pakatan, sikap, ketegasan, toleransi atau
apa-apa yang berkaitan dengan hukum hakam. Di mata rakyat, isunya ialah
keupayaan Pakatan mengurus konflik. Ahli akademik tidak perlu membuat
kajian lapangan untuk mencerap berjaya atau gagal Pakatan mengurus
konflik. Dengan sebelah mata kasar, semua pihak boleh membuat kesimpulan
berasaskan persepsi bahawa konflik telah gagal diurus! Tempoh mengurus
konflik telah melepasi tarikh luput.
Musuh politik Pakatan, BN
sangat berharap konflik ini terus berpanjangan. Mudah mereka memberitahu
rakyat, “Tengok, baru perintah negeri sudah kelam kabut, macam mana nak
perintah negara.” Persepsi itu mampu terpahat kukuh di pemikiran rakyat
kerana ia berserta bukti.
Bahaya yang menanti ialah persepsi itu yang akan dibawa ke hadapan untuk diterjemahkan di peti undi dalam pilihan raya.
Pakar
pengurusan konflik, Datuk Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa politik
secara pakatan memang dinamik dan rapuh. Konflik dalam parti politik
boleh tercetus dengan pendekatan politik pakatan atau lebih selesa
disebut tahaluf.
“Oleh sebab politik Malaysia adalah 'ideological
base' maka ia menjadi semakin sukar. Menjadi semakin sukar dalam
suasana ini apabila kepimpinan tidak urus konflik 'intra-party' dan
sekali gus membawa kepada 'inter-party',” ulasnya.
Mujahid
mencadangkan langkah awal dalam mengatasi konflik ini iaitu, berhenti
tuduh-menuduh dan serang menyerang 'dalaman' dan 'luaran' parti yang
bertahaluf. Penegasan yang sangat penting ialah pemimpin tertinggi parti
yang bertahaluf wajib bertemu tanpa lengah.
Mujahid adalah Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat. Ironinya, pakar pengurusan konflik itu tidak
dapat melihat konflik tamat dengan segera. Serangan antara pihak dalaman
dan antara parti berterusan juga. 'Nangoi-nangoi' bawahan usah dikira,
terus berperang di alam maya.
Pengkaji pengurusan konflik,
Kirchoff dan Adam, menghuraikan empat keadaan di mana konflik terjadi
iaitu persekitaran stres (tekanan) yang tinggi, peranan dan
tanggungjawab yang kabur, situasi di mana terdapat ramai ketua (bos) dan
kewujudan teknologi yang canggih. Pemikiran tersebut yang dicetuskan
pada 1982 mendahului zaman kerana kewujudan teknologi canggih, khususnya
ICT pesat di masa mutakhir ini. Teknologi canggih itulah yang banyak
memburukkan keadaan dalam konflik.
Lagi pengkaji konflik, Filley
(1975), menjelaskan bahawa terdapat juga kesan positif apabila
berlakunya konflik iaitu dapat menyekat atau mengurangkan terjadinya
konflik yang lebih serius, menggalakkan pencarian kepada fakta-fakta
baru atau jalan penyelesaian dan menilai keupayaan individu khususnya
pemimpin. Namun bahana negatif dari konflik adalah lebih banyak dan
lebih buruk.
Menurut Hellriegel dan rakan-rakan (2001),
pengurusan konflik mengandungi proses-proses diagnostik, gaya-gaya
interpersonal, strategi-strategi perundingan, dan kaedah-kaedah lain
yang mana direka untuk mengelakkan sebarang konflik yang tidak
diperlukan dan mengurangkan atau menyelesaikan konflik yang berlebihan.
Kebolehan untuk memahami dan mengdiagnos konflik dengan betul merupakan
satu perkara penting untuk mengurus konflik.
Sepatutnya kita
rasa malu untuk menyenaraikan idea pakar pengurusan konflik Barat kerana
isu yang berlegar sekarang adalah berkaitan dengan batang tubuh parti
Islam yang sedang bertahaluf dengan parti-parti lain. Tiada yang lebih
hebat daripada jalan penyelesaian Islam. Namun retorik itulah yang
disebut berulang-ulang lebih 1,000 tahun lalu, sejak bermulanya Perang
Jamal dan Siffin. Hingga kini, konflik yang melibatkan umat Islam, parti
dan jemaah Islam tidak juga berakhir. Lepas satu, satu. Islam tidak
salah tapi yang salahnya kaedah Islam hanya diretorikkan semata-mata,
tidak digunakan.
Dr Mujahid menegaskan, satu acara penting ke
arah menghentikan konflik ialah setiap parti daripada rakan yang
berpakat wajib mengawal partinya untuk tidak memburukkan keadaan. Itu
kaedah Islam sebenarnya. Islam tidak benarkan umatnya menghina sembahan
orang kafir sekalipun, kerana implikasinya akan berlaku tindak balas.
Maka konflik jadi tidak selesai akan berterusan. Nah, kalau etika Islam
dipatuhi tidak ada orang yang membuat sidang media, memanggil media
talibarut pihak lawan yang selama ini kita benci habis-habisan, untuk
menyerang pula rakan sekutu dalam Pakatan. Pihak yang diserang pula akan
buat perkara serupa. Bila konflik akan berakhir?
“Semua pihak
berpakat perlu melihat objektif besar pakatan untuk membawa perubahan
politik baru dan apa sahaja yang menghalang matlamat ini perlu
dihentikan segera,” tegas Mujahid. Hukum aulawiyatnya begitu. Jangan
dilayan nafsu serakah untuk berdendam dan melepas geram sesama sendiri.
Cukup-cukuplah
dengan apa yang dilalui. Semoga Allah memberi jalan terbaik agar
konflik ini ditamatkan. PAS kembali bersatu dan persefahaman Pakatan
kembali mantap.
Home »
Penulis Tamu
» Cukup-cukuplah; kuatkan PAS, Pakatan
Cukup-cukuplah; kuatkan PAS, Pakatan
Written By zabidi on Monday, 8 September 2014 | 23:28
Labels:
Penulis Tamu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !