SETAHUN Kedah di bawah teraju Kerajaan BN dilihat tanpa hala tuju.
Pendirian kerajaan negeri
bukan sahaja kabur, bahkan segala janji manis
dan manifesto PRU13 gagal ditunaikan. Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz
Mahathir sejak seawalnya mengangkat iltizam membawa perubahan yang tidak
pernah dilihat, akhirnya longlai lesu. Ikuti temubual IZWAN ABDUL HALIM bersama Ketua Pembangkang Dun Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.
Penilaian umum Dato’ terhadap keupayaan gabungan baru kepimpinan BN sekarang dalam menerajui kerajaan negeri?
Saya pada mulanya dengan latar belakang Menteri Besar yang pernah
menjadi Timbalan Menteri di Persekutuan meletakkan kemampuan yang
dirasakan tinggi disebabkan pengalaman-pengalamannya. Apatah lagi
hubungan mereka antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang
sudah semestinya cukup baik; daripada parti yang sama. Tetapi setelah
hampir satu tahun berlalu, saya tidak nampak sesuatu yang
‘extraordinary’ daripada apa yang sudah berlaku. Walaupun ‘advantage’
yang ada tu dari segi hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan
Kerajaan Negeri tu sehingga kita merasakan projek yang dapat memberi
manfaat, tetapi yang diwarisi dulu pun hampir-hampir dibuang kerana
dikatakan kemampuan kewangan yang tidak mengizinkan. Jadi sudah hampir
setahun ini, bagi saya ‘perfomance’ agak mendukacitakan kecuali beberapa
program-program yang saya kira program kosmetik untuk meraih sokongan
daripada rakyat, program selawat dan seumpamanya. Tapi tidak ada satu
program menarik, yang diluar daripada kotak pemikiran sebuah kerajaan
yang biasa walaupun dipimpin daripada orang kita merasakan mempunyai
pengalaman sebagai korporat, sebagai Timbalan Menteri dan sebagainya.
Macamana pula penilaian Dato’ terhadap saf Adun Pakatan Rakyat Kedah?
Ada beberapa orang lama dan sebahagian besar merupakan muka-muka baru
dan dalam proses belajar. Melihat portfolio yang diberikan amanah
kepada mereka untuk mengawasi dan memberikan komen-komen saya rasa perlu
diberikan sedikit masa lagi. Dari segi keupayaan menjaga kawasan
bersama dengan rakyat sangat baik. Dari segi amanah menjaga portfolio
(shadow cabinet) mungkin memerlukan sedikit masa memahami skopnya untuk
bertindak dengan lebih efektif, insya-Allah.
Secara bandingan, Dato’ melihat antara wawasan kepImpinan
kerajaan yang ada (BN sekarang) dengan wawasan kepimpinan Pakatan Rakyat
yang lalu.
Semasa kita jadi kerajaan dulu cukup terserlah dalam beberapa sektor
contohnya sektor pendidikan. Bagaimana visi Yang Amat Berhormat Almarhum
Ustaz Azizan untuk melihat taraf Insaniah (Kuin) ditingkatkan menjadi
sebuah Universiti penuh memerlukan kampus yang tetap dan kita merancang,
melaksanakan dan akhirnya berjaya dalam masa yang cukup singkat kita
diberikan amanah itu. Setelah mereka ambil alih jadi macam-macam isu.
Tetapi alhamdulillah akhirnya bersetuju kembali ke sana semula. Dalam
bidang pendidikan ini kita juga wujudkan Maahad Tahfiz Sains dan
memperkasakan lagi semua Maktab Mahmud induk dan daerah dan program
sewaktu cuti, program untuk pelajar..KBS, kem-kem solat. Sekarang sudah
sepi kem yang dianjurkan dulu sewaktu musim cuti. Visi kita waktu itu
untuk meningkatkan Kedah ke arah negeri pertanian yang lebih moden. Kita
mengambil langkah dan tindakan ke arah itu. Sekarang ini di uar-uarkan
mereka tapi tak nampak suatu yang jelas nak dibawa mereka. Saya rasa
dari segi wawasan itu berbeza sewaktu kita memerintah dengan sekarang
walaupun dibuat Makmal Transformasi, tapi dari segi pelaksanaan tidak
nampak lagi secara jelas perkara-perkara yang diputuskan.
Mereka tidak meneruskan agenda yang dibuat kepimpinan kerajaan yang lalu. Apa pendirian Dato’ dengan sikap mereka?
Ini satu perkara dalam mana-mana kerajaan kita kena ingat kerajaan
ini merupakan satu entiti yang ada kesinabungan. Apatah lagi program
yang dibuat dulu baik dan bermanfaat. Kalau ambil sikap ini merupakan
legasi kerajaan yang dulu, maka dengan ‘arrogant’ kerajaan sekarang
menolak dan tanpa membawa satu alternatif yang lebih baik, ini satu yang
cukup malang. Kalaulah kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini merasakan
Insaniah (Kuin) merupakan satu legasi kerajaan BN yang terdahulu, sudah
tentu kita tidak mengambil sikap untuk meningkatkan lagi tahap Kuin
dengan tahap yang kita mahukan, sebab itu legasi mereka. Tetapi kita
tidak melihat sedemikian, ini sesuatu yang baik. Sikap sebegini tidak
seharusnya wujud untuk tidak meneruskan sesuatu yang baik atas sebab
legasinya.
Berkenaan manifesto berkaitan 100 hari dan perkara-perkara
yang dijanjikan serta slogan BN iaitu “BN Menang, Kedah Senang”, apa
komen Dato’ mengenai perkara ini?
Aku janji yang dibuat kita ada salinan. Ini baru setahun, Orang akan
pertikaikan kerana masih banyak yang ada dalam janji itu tidak
memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan. Contohnya seperti
tempoh 100 hari untuk menghapuskan lesen penjaja tak memerlukan tempoh
yang panjang untuk dilaksanakan. Kenapa janji melaksanakan kursus kahwin
percuma tidak dilaksanakan segera padahal tidak memerlukan kos yang
besar pun. Janji tidak terlaksana seperti dalam manifesto. Saya yakin
kalau kita secara ikhlas membuat perbandingan apa yang kita janjikan
dulu masa 2008 banyak yang kita laksanakan segera kerana kita merasakan
ini yang rakyat nilai kita dari segi pencapaian.
Bagaimana dengan portfolio yang diterajui MB sendiri?
Walaupun Makmal Transformasi diadakan, dari segi pelaksanaan masih
belum berlaku. Masih tidak jelas untuk meningkatkan hasil negeri selain
hasil yang sedia ada, MB tersilap untuk tidak menjadikan hasil hutan
sebagai hasil kerajaan negeri. Kita lakukan pembalakan bukan bermakna
kita melanggar undang-undang. Kita membalak dalam kuota yang dibenarkan.
Mereka nampaknya nak kembali ke sistem asal iaitu negeri tidak mendapat
hasil sebanyak mana, tetapi ada individu yang menjadi super kaya. Dari
segi perancangan ekonomi yang berlaku kebanyakkan dari Kerajaan Pusat,
yang kita juga lakukan dulu, ataupun memang projek Pusat maknanya negeri
tumpang saja. Tidak ada ‘outside the box’.
Mungkin Dato’ ada maklumat perincian mengenai penyelewengan Kerajaan Negeri sekarang?
Ada, misalnya satu kes yang diselesaikan di luar mahkamah dengan
membayar RM2.5 juta kepada
sebuah syarikat, menimbulkan seribu satu
soalan kepada kita. Begitu juga kononnya kerajaan hendak belanja
berhemah, baguslah nak belanja berhemah, tetapi dalam masa yang sama
Mercedez Benz baru dibeli. Bila ditekan tanya, dijawab dibeli untuk
Tuanku Agong guna di Langkawi. Padahal ini Kerajaan Negeri. Tuanku Agong
Kerajaan Persekutuan yang mengurus Baginda. Program Maharaja Lawak Mega
yang menelan RM1.2 juta. Program itu tidak wajar dianjurkan kerajaan
negeri kerana ia akan berjalan kerana ada ‘sponsor’. Tetapi kerajaan
negeri keluarkan juga RM1.2 juta untuk tempoh 4 jam program itu. Banyak
yang masih belum dilaksanakan, keberangkalian berlaku penyalahgunaaan
kuasa dan rasuah itu ‘mungkin dalam proses’.
Bacaan Dato’ terhadap politik Kedah untuk 4 tahun atau sepanjang penggal ini.
Saya lihat amat mendukacitakan! Dari segi kewangan, kerajaan negeri
mempunyai hubungan dengan kerajaan persekutuan; sepatutnya hubungan
rapat membolehkan sesuatu dibawa ke Kedah, tetapi ini tidak berlaku.
Banyak perkara yang patut dapat dilakukan untuk rakyat dan memerlukan
komitmen kewangan, tetapi tak dapat dilaksanakan. Di Pusat sendiri
mempunyai krisis, mereka juga mempunyai ‘think tank’ mereka yang
tersendiri. Mereka gagal memenuhi kehendak tersebut, apa yang mudah
untuk rakyat, yang boleh mencuit hari rakyat Kedah. Oleh kerana Kedah
ini terkenal dengan kuat agama, imej itu yang ditonjolkan seperti
mengadakan program Kedah Selawat yang saya rasakan tidak mahal dan mudah
dilaksanakan, tapi boleh memberi impak kepada rakyat. Keadaan itu
berbeza apabila seorang yang bukan ustaz seperti MB sekarang, tiba-tiba
menjadi imam contohnya sudah tentu orang akan bercakap. Inilah yang
mereka cari ‘quick wins’ yang dapat mereka buat untuk memenangi hati
rakyat. Saya kira program seumpama ini akan mereka laksanakan supaya
dapat memberi imej positif kepada MB dan BN.
Kerajaan BN Kedah tiada halatuju
Written By Unknown on Saturday, 31 May 2014 | 10:07
Related articles
Labels:
Wawancara
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !