Headlines News :
Home » » Haji lambang kesatuan umat Islam

Haji lambang kesatuan umat Islam

Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 October 2014 | 22:15

Oleh Hasri Harun

AIDILADHA menjadi saksi kepada beberapa ibadah istimewa yang dikhususkan dalam bulan mulia ini. Antara ibadah yang istimewa ini adalah ibadah korban yang melambangkan pengorbanan umat manusia bagi Tuhan Maha Pencipta.

Pada Aidiladha juga, umat Islam seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci untuk menegakkan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Di samping mendidik umat Islam untuk sanggup berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta demi Allah SWT dan Rasul-Nya, ibadah haji juga mengajak umat Islam bersatu demi mencapai matlamat yang mulia bersama.

Ibadah haji lambang puncak kesatuan umat Islam sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya umatmu ini adalah umat yang satu dan aku adalah Tuhanmu maka sembahlah aku." (Surah al-Anbiya', ayat 92)

Begitulah kehidupan di dunia ini, kita dituntut oleh Allah SWT untuk menyembah-Nya dan mengagungkan-Nya. Kewujudan kita di muka bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan dan menyerahkan diri kepada-Nya.

Pastinya segala amal ibadah yang dilakukan tidak kira apa juga rupa dan bentuknya adalah untuk kita mendapat keredaan serta pahala daripada Allah SWT.

Korbankan keselesaan hidup

Pada musim haji ini, saudara kita mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan hidup bersama keluarga untuk menunaikan kewajipan haji. Semoga tercapai cita-cita mereka mendapat haji mabrur, yang mana tiada ganjarannya melainkan dikurniakan syurga.

Bagi sebahagian daripada kita yang akan mengerjakan ibadah korban, pastinya kita ingin mendapatkan pahala daripada ibadah ini dan dihapuskan segala dosa. Tujuan untuk mendapat pahala dalam mengamalkan ibadah adalah satu tujuan murni.

Namun, selain mencari pahala, ada tujuan lebih besar di sebalik melakukan amal ibadah iaitu untuk mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah SWT dan menambahkan lagi kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW.

Inilah yang dimaksudkan dengan kemanisan iman yang tidak dapat digugat walau apapun dugaan dan cabaran dihadapi. Bagi mencapai kemuncak keimanan, amal ibadah yang dilakukan perlu memberi kesan pada diri dan kehidupan kita. Amal ibadah yang kita lakukan perlu melahirkan nilai mulia dalam diri kita.

Antara nilai yang dapat kita pelajari daripada Aidiladha adalah pengorbanan dan perpaduan. Bersempena hari mulia ini bersamalah kita pelajari kepentingan nilai dan menerapkannya dalam kehidupan.

Ibadah korban mencontohi sejarah Nabi Ibrahim yang bersedia mengorbankan anak kesayangan demi mentaati perintah Allah SWT. Pengorbanan pertama dilakukan Nabi Ibrahim apabila baginda meninggalkan anaknya, Nabi Ismail yang masih kecil bersama ibunya di sebuah lembah gersang dan kering kontang.

Pengorbanan kedua ialah Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail yang sudah meningkat dewasa dan Nabi Ismail pula sanggup dikorbankan kerana mentaati perintah Allah SWT.

Cerita ini diabadikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi (sebagai satu perintah) bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (untuk disembelih) serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah as-Saffat, ayat 102-105)

Peristiwa itu bukanlah hanya untuk mengembalikan syiarnya sahaja tetapi yang lebih utama dan perlu dihayati ialah nilai pengorbanan dalam kehidupan. Untuk menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat, kita perlu ada pengorbanan.

Kita perlu sanggup berkorban sesuatu perkara yang kita sayangi dan cintai demi mencapai matlamat yang lebih utama. Contohnya, kita inginkan anak Islam berjaya. Impian ini pasti memerlukan pengorbanan kewangan, masa, memberi kasih sayang dan sokongan.

Selain nilai pengorbanan, ibadah haji juga mengajar nilai kesatuan, perpaduan dan kasih sayang dalam kehidupan. Saat ini umat Islam dari seluruh pelosok dunia berada di Tanah Suci melaungkan takbir, tahmid dan tasbih mengagungkan Allah SWT.

Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang mukmin dalam keadaan berkasih-sayang, rahmat-merahmati dan bersikap lemah lembut sesama mereka, adalah seperti sebuah jasad, jika salah satu anggota merasakan kesakitan, anggota lain juga akan mengadu kesakitan." (Riwayat Imam Muslim)

Hubungan di antara manusia adalah berlandaskan rahmat, kesejahteraan dan kasih sayang. Dalam kehidupan seharian kita, nilai perpaduan dan persaudaraan penting demi untuk memastikan kerukunan, kejayaan serta kesejahteraan terus kekal.

Perlu saling melengkapi

Kita tidak mampu bergerak sendiri sebagai individu dalam menangani cabaran besar dalam masyarakat. Seharusnya kita saling memperlengkap kekurangan yang terdapat dalam masyarakat.
Kita kini mengalami pelbagai cabaran sosial seperti keluarga pincang dan berpendapatan rendah dan gejala sosial yang semakin meruncing. Di samping itu, dengan saluran maklumat yang tidak terbatas, kita juga terdedah kepada pelbagai pola fikir sama ada yang baik ataupun yang tidak sihat.

Bukan sahaja emosi bahkan minda kita turut tercabar untuk terus kekal relevan dan selesa beragama dalam konteks global hari ini. Untuk menghadapi cabaran demikian, selain pembangunan daya tahan individu, masyarakat perlu menggembleng tenaga bersatu dan bekerjasama untuk mengatasinya dengan berkesan.

Kita tidak boleh berhenti setakat mengetahui masalah dan cabaran atau memberikan komen kosong semata kerana semua itu tidak akan mendatangkan perubahan. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan memikirkan untuk diri kita sahaja.

Semoga dengan menghayati semangat pengorbanan dan kesatuan di hari yang mulia ini, masyarakat Islam dapat menjadi contoh yang baik buat masyarakat lain. Penghayatan nilai pengorbanan dan perpaduan, kita akan mencapai kemuncak keimanan dan kemanisannya.

Penulis ialah Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU