Oleh HAIKAL MOHD NOH
PEMUDA atau generasi
baru merupakan satu konsep entiti yang tidak kurang besar dan selalu
dikaitkan dengan nilai dalam perjuangan. Hal ini terbukti apabila muncul
pelbagai slogan ideologis yang membawa erti ilmiah seperti “Pemuda
Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”.
Perkara ini seterusnya membuktikan
bahawa seorang anak muda itu perlu sentiasa kuat dan cekal dalam memberi
penilaian masa depan masyarakat. Tetapi beberapa persoalan timbul,
apakah akan tiba masanya prinsip anak muda di dunia ini hilang, menjadi
hamba kepada manik-manik syaitan seperti dadah, membunuh dan sebagainya?
Jati diri anak muda
Masa muda adalah satu saat yang perlu
di dalam suatu fasa kematangan insan dalam membentuk suatu kehidupan.
Fasa ini membawa kepada perkembangan dan perubahan-perubahan jati diri
secara berkadar terus. Proses dalam fasa ini memerlukan seorang anak
muda itu melalui beberapa rintangan dan halangan sama ada dari luaran
atau dalaman.
Tidak dinafikan, bukan kecil julat dan
bilangan anak muda hari ini yang tidak terselamat. Ada di antara mereka
menjadi pembunuh, penagih dadah, terlibat dengan kongsi gelap dan
sebagainya. Jadi, apakah pangkal jalan terbaik dalam proses membentuk
diri anak muda ini? Jawapannya ialah lingkungan.
Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W di
dalam hadisnya yang sahih diriwayatkan oleh Abu Burdah bin Abu Musa dari
ayahnya berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
“Perumpamaan orang yang
bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang
buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi.
Pasti kau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi sama ada
membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang
atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang hanyir.”
(HR Bukhari No: 1959)
Maka dengan hadis ini, jelas seorang
anak muda perlu hidup dan duduk bersama lingkungan yang baik agar dapat
membentuk jati diri murni seterusnya bersedia tanpa ragu untuk memulakan
perjalanan dakwah.
Lingkungan tersebut perlulah sentiasa
dihidupkan dengan keperibadian yang baik dan membentuk satu usrah
kekeluargaan agar kekal kukuh membentengi pengaruh luar yang kurang
sihat. Jika seorang anak muda itu berjaya mengusai masa mudanya, maka
belia ini juga akan mampu mencorak masa depannya dengan baik.
Perubahan budaya sosial masa kini
bergerak amat pantas dan mengakibatkan teknologi-teknologi canggih ini
disalah guna seterusnya mampu memberi impak negatif kepada persekitaran
anak muda. Cabaran baru ini merupakan satu tahap sukar yang perlu
dihadapi remaja dengan teliti dan berhati-hati.
Pada 10 bulan pertama tahun 2017,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sahaja sudah
menerima 6,275 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi
media baharu di seluruh Malaysia. (Balqis Jazimah Zahari, 2017)
Aduan yang diterima mereka termasuklah
kandungan media yang mengandugi bahan hasutan yang merosakkan, lucah,
sumbang mahram, ancaman dan sebagainya. Hal ini sangat sukar ditepis
jika seorang anak muda itu tidak memenuhkan jiwanya dengan nilai-nilai
Islam yang sebenar.
Seorang anak muda itu tidak diwajar
dicemari dengan gejala negatif yang berpotensi merosakkan masa depan
mereka! Mungkin ayat ini kedengaran kasar, tetapi hakikatnya meskipun
telefon bimbit ini kecil dan nipis, ia mampu membunuh jutaan nyawa tanpa
kita sedari dari mana ia bermula.
Oleh hal yang demikian, kaum muda ini
perlulah dibentuk dan dicorakkan sebaiknya agar mampu menjadi pejuang
sejati yang akan tidak akan segan silu membawa panji Islam di persada
dunia melalui media digital, dunia di hujung jari.
Pejuang tidak lahir, mereka dibina
Dalam era Malaysia Baharu, umat Islam
dijanggalkan dengan pelbagai masalah dan isu penting seperti pelaksanaan
demokrasi, politik pluralisme dan tidak ketinggalan juga hak asasi
manusia. Sistem demokrasi merupakan satu sistem yang menuntunkan rakyat
mendalami erti prinsip adil dan saksama.
Para ahli pemikir Barat seperti
Hutington adalah salah seorang dari para Orientalis yang beranggapan
bahawa Islam tidak akan mampu membawa demokrasi kerana hukum-hakamnya
yang komprehensif dan tidak signifikan pada zaman kini. (Samuel P.
Hutington, 1995)
Hal ini sama sekali tidak benar kerana
mereka melihat dunia tanpa erti halal dan haram. Hutington bersama
rakan orientalisnya, Lewis menghukumkan Islam sepatutnya perlu bersifat
Liberal dalam mendominasi keadilan. Agama manakah yang mengajarkan kita
untuk menjual agama demi keadilan dunia? Malah adanya agama dan pegangan
itu ialah untuk menjadi ikutan yang benar.
Setiap Muslim itu perlulah mengikuti perkara yang benar sesuai dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(at-Taubah: 118)
Maka dari itu, seorang anak muda itu
perlu sentiasa berusaha membina jati diri yang benar di samping orang
benar agar kebenaran itu sentiasa dilestarikan mengikut apa yang
dibenarkan Allah dan tidak sewenang-wenangnya menjual agama demi
kepentingan politik dunia.
Islam bukan seperti Matematik
Agama Islam datangnya dalam satu
kesempurnaan dan jika menolaknya sebahagiannya, maka tidak sempurna
hukumnya. Sebagai anak muda yang bakal mewarisi perjuangan, perlulah
sentiasa menjaga kelestarian agama Islam agar hukumnya tidak
dipecah-belahkan. Agama Islam tidak boleh setengah diambil dan setengah
ditolak kerana Islam bukan agama coretan!
Para Orientalis menganggap Islam tidak
menghormati hak asasi manusia seperti hukuman potong tangan, rejam bagi
pelaku zina yang sudah berkahwin dan sebatan bagi peminum arak. Ini
adalah di antara doktrin yang mengikat mereka untuk sentiasa memimpin
negara yang rosak agar mereka dapat memenuhi agenda ‘New World Order’
seterusnya membinasakan Islam.
Oleh itu, anak muda perlulah sentiasa
berwaspada dan perkukuhkan ilmu bagi menangkis doktrin-doktrin kotor
yang akan membinasakan minda anak muda ini. Hukuman-hukuman Islam tidak
kejam kerana ia merupakan ‘Last Trumpt Card’ dalam menyelesaikan
pelbagai masalah.
Seorang perogol itu mungkin tidak
terkesan dengan hukuman penjara jika disabitkan bersalah kerana pada
pengamatannya mungkin penjara reman cuma dua minggu. Kemudian rakan
sepolitiknya yang berkuasa akan membebaskannya dengan pengaruh kuasa
judisiari seterusnya memberi impak besar kepada kehidupan mangsa rogol.
Ini merupakan satu ketidakadilan dan
anak muda perlu memahami perkara ini! Inilah kelemahan sistem manusia
kerana hukumannya tidak absolute dan kelihatan fragile.
Jika hudud, qisas dan takzir ini dijalankan dengan baik, maka pasti
graf kes rogol, cabul, rasuah dan seumpanya pasti menurun dalam jumlah
yang besar.
Pemuda mesti yakin, Islam ialah jalan
penyelesaian kepada semua masalah yang ada dan mampu membentuk perpaduan
yang harmoni melalui perlaksanaan hukum-hakam Islam.
Memetik kata-kata Mr Kong Tuck Wah di
dalam ucapannya mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS pada Muktamar
Tahunan PAS Pusat Kali ke-65, “Tak perlu takut pada hudud, hudud untuk
orang yang jahat sahaja, hanya orang jahat anti hudud, orang baik sokong
hudud”.
Kekuatan anak muda perlulah
diselarikan dengan konsep Islam sebenar berlandaskan Quran, Sunnah, Ijma
dan Qias agar kekuatan pejuang yang terbina itu tidak terkeluar dari
landasan kebenaran. Selain itu, anak muda wajib perkukuhkan pegangan
agama dengan kemas dan rapi agar mampu menepis segala
pandangan-pandangan Orientalis yang sentiasa ingin memburukkan Islam di
pentas dunia.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !