Penggunaan teknologi tinggi sangat membantu dalam mengembangkan produk pertanian kerana dapat mempertingkatkan hasil dan berskala komersial.

Hari ini, ramai dalam kalangan golongan muda yang semakin sedar akan potensi dalam bidang usahawan tani mampu menjana pendapatan lumayan.

Namun, tidak semua antara mereka berani terjun ke bidang tersebut atas faktor modal yang tinggi di samping kekurangan pengetahuan.

Atas faktor tersebut, pelbagai agensi kerajaan dan swasta mula mencari peluang menawarkan pelbagai kemudahan buat golongan tersebut.

Pertubuhan Peladang Kawasan Gombak dan Petaling (PPKGP) antaranya sedang berusaha bagi menarik minat golongan usahawan muda dengan memperkenalkan pelbagai kemudahan antaranya adalah karavan bersama kuasa solar NPV (nano photovoltaic) untuk memasarkan produk pertanian di seluruh negara.

Menurut Ketua Unit PPKGP, Fauzi Mohamed Noh, golongan muda masa kini lebih tertarik untuk menggunakan teknologi terkini termasuk dalam urusan perniagaan.

Jelasnya, perubahan dunia masa kini yang lebih cenderung ke arah penggunaan teknologi tinggi dalam apa jua kehidupan seharian mempengaruhi gaya hidup golongan itu.

Jelas Fauzi, penggunaan kenderaan seperti lori kecil, karavan atau trak yang dilengkapi bersama teknologi terkini dilihat lebih relevan dalam dunia perniagaan usahawan muda.

“Berbanding menjual produk pertanian dengan menyewa kedai, penggunaan karavan dapat mengatasi masalah mencari pelanggan kerana kenderaan tersebut boleh diatur gerak sepanjang masa.
“Daripada kita menunggu pelanggan datang kepada kita untuk membeli hasil pertanian contohnya, lebih baik kita sendiri pergi mencari mereka (pelanggan),” katanya ketika ditemui di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Sama seperti usahawan tani yang berniaga di pasar tani mahu pun pasar malam, penggunaan karavan yang diperkenalkan oleh PPKGP memiliki kelebihan yang tersendiri.

“Jika usahawan tani biasa (karavan biasa), penggunaan tenaga elektrik dihasilkan oleh generator yang menggunakan minyak petrol.

“Di sini kami melakukan sedikit kelainan dengan menukarkan penggunaan generator kepada panel solar berkuasa tinggi,” katanya.

Apa yang menarik ujarnya, penggunaan panel solar tersebut lebih mesra alam, kawasan berniaga tidak dicemari asap serta bunyi bising generator seperti di pasar malam.

“Lebih bersih malah menyakinkan pelanggan terutamanya jika usahawan tani menjual produk berasaskan makanan,” katanya.

Bekerjasama dengan syarikat Mal Agro Sdn. Bhd., PPKGP mendapat khidmat nasihat daripada ketua pegawai syarikat tersebut, Mohd. Faudze Mohd. Hashim bagi mengembangkan teknologi tersebut kepada ahlinya.

Jelas Mohd. Faudze, buat ketika ini pihaknya akan memfokus untuk membantu PPKGP terlebih dahulu dalam membina dan membekalkan karavan tersebut.

“Kami percaya, menerusi penggunaan teknologi hijau yang mesra alam, bersih dan lebih menyakinkan pelanggan untuk membeli produk pertanian dapat menarik perhatian usahawan tani muda menyertai bidang tersebut,” katanya.

Karavan yang dilengkapi bersama sistem solar NPV itu mampu membekalkan tenaga elektrik yang cukup untuk menghidupkan sebuah peti sejuk kecil, televisyen, mesin pengira elektronik serta penimbang elektronik serentak.
Hanya berbekalkan dua panel solar NPV bersaiz 1640 x 992 x 40 milimeter (mm), inovasi yang dihasilkan mampu menjana tenaga elektrik 250W untuk satu-satu sesi penggunaannya.
Jelas Mohd. Faudze, kadar pancaran cahaya matahari yang terik di negara ini menawarkan kelebihan kepada pengguna karavan tersebut.

“Idea penggunaan panel solar mungkin dilihat biasa, namun kelebihan sistem yang dihasilkan oleh pihak kami telah mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengeluar panel solar sebelum ini,” ujarnya.

Untuk menjadikan inovasi tersebut sebagai suatu kenyataan, Mal Agro Sdn. Bhd., bersama rakan kongsi mereka, Trucknet Group berjaya mengatasi masalah panel solar seperti halangan habuk, hari yang mendung dan biasan air hujan yang menyebabkan panel solar kurang menyerap tenaga daripada matahari.

Selain itu, inovasi panel solar baharu itu juga dapat bertahan biarpun ketika hari mendung di samping masalah biasan cahaya matahari akibat air hujan yang menimpa panel tersebut.

Keadaan tersebut berlaku kerana panel solar yang digunakan akan disalut bersama bahan khas yang dihasilkan menggunakan teknologi nano.

Jelas Pengarah Urusan Trucknet Group, Adren Chong, penggunaan panel solar dengan inovasi baharu dapat mengatasi masalah tersebut.

Lebih menarik, penggunaan panel solar untuk karavan itu tidak hanya tertumpu kepada cahaya matahari semata-mata malah turut memiliki alternatif lain bagi memastikan bateri yang menyimpan tenaga sentiasa penuh dan bersedia untuk digunakan.

“Antara alternatif yang kami sediakan menerusi sistem baharu ini adalah bateri turut boleh dicas menerusi enjin dan terus kepada sumber elektrik di rumah atau mana-mana sumber elektrik.

“Selain itu, penggunaan sistem inverter dan unit untuk menyebarkan tenaga elektrik daripada panel solar juga turut diperbaharui,” katanya.

Tambah Adren, jika pemilik karavan terlebih menggunakan tenaga elektrik atau terdapat arus yang berlebihan, secara automatik litar akan terputus.

“Sistem ini untuk keselamatan pengguna dan barangan elektriknya,” katanya.

Mengenai kos sistem baharu tersebut, Adren mengakui setiap pelanggan yang melihat teknologi tersebut pasti akan bertanyakannya.

Bagaimanapun, pihaknya mengeluarkan karavan bersama sistem panel solar NPV yang berharga diantara RM50,000 hingga RM100,000 sahaja.

“Kos untuk memasang sistem panel solar NPV itu sahaja hanya RM13,500 dan tidak melebihi RM30,000 bergantung kepada permintaan dan rekaan daripada pelanggan.

“Kami membina sistem mengikut kemampuan pelanggan. Jika mereka yang sedia mempunyai trak atau lori kecil, mereka juga boleh datang dan memasang sistem ini,” katanya.

Secara kasar sememangnya dilihat penggunaan sistem baharu tersebut memerlukan kos yang tinggi namun pengguna hanya perlu mengeluarkan modal untuk sekali itu sahaja.

Panel solar yang dipasang mampu bertahan sehingga 10 tahun atau lebih dan tidak memerlukan penyelenggaraan khas.

Sistem tersebut juga selamat kerana jika berlaku kecurian, panel tersebut tidak dapat digunakan mahupun dijual kerana keseluruhan sistem tidak dapat digunakan menggunakan sistem panel solar biasa.

Teknologi tersebut telah dikongsi oleh sebuah syarikat kajian dan pengembangan (R&D) untuk produk teknologi nano iaitu Gainangel International Sdn. Bhd.

Malah, menurut Adren, pihaknya juga berbincang dengan pihak bank serta beberapa agensi kerajaan yang memberikan pinjaman kewangan untuk memberikan kadar bayaran balik yang lebih munasabah kepada usahawan yang berminat untuk mendapatkannya.

Kejayaan menghasilkan sistem panel solar NPV untuk kenderaan tersebut adalah pertama dihasilkan di rantau Asia.
Sehingga kini, sebanyak 14 unit karavan telah ditempah khas untuk ahli PPKGP.

Karavan tersebut bakal menemui orang ramai bermula awal tahun ini dan akan dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan di Wisma Trucknet, Rawang, Selangor 6 Januari ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan karavan atau sistem solar NPV anda boleh menghubungi Mohd. Fuadze di talian 03-6092 2177, telefon bimbit 016-614 7460 atau emailkan sebarang pertanyaan di mal_agro@hotmail.com.

Penggunaan teknologi nano dalam kehidupan seharian bukan lagi ganjil pada hari ini, malah teknologi yang sama juga telah diaplikasi dalam penghasilan panel solar.
Terbaharu, sebuah syarikat yang dikenal sebagai Nanopack Invention Limited berjaya memperkenalkan teknologi tersebut di negara ini.

Menurut pengurus pembangunan perniagaan syarikat tersebut, KK Tang, teknologi nano yang lebih dikenali sebagai NPV (nano photovoltaic) tersebut merupakan panel solar biasa yang ditambahbaik bersama teknologi nano.

Jelasnya, teknologi tersebut dibangunkan khas untuk industri panel solar dengan memberikan kelebihan kalis air (hidrofobik), kalis habuk (oleofobik) dan pembersihan sendiri kepada panel tersebut.

“Hidrofobik bermaksud panel solar yang disaluti nanoteknologi akan lebih licin dan tidak terlalu memegang kandungan air.

“Air hujan yang menimpa panel solar boleh merendahkan kadar penyerapan cahaya matahari sekali gus menyebabkan penghasilkan tenaga elektrik juga berkurangan,” katanya.

Keadaan tersebut adalah akibat pantulan cahaya matahari daripada air hujan yang melekat pada permukaan panel solar.

Berbeza dengan panel solar yang disaluti bahan khas daripada teknologi nano, air hujan akan mengalir lebih laju dan tidak melekat pada panel tersebut.

Salutan yang dihasilkan juga dapat mengurangkan kadar palitan habuk, pencemaran udara serta najis burung daripada terus melekat kepada panel solar.

Panel solar tersebut juga mampu bersih dengan sendiri kerana permukaan yang lebih licin dan kalis air.
Atas faktor itu juga, kos penyelenggaraan panel solar juga dapat dikurangkan kerana pengguna tidak lagi perlu kerap melakukannya.

Ditambah dengan curahan hujan, air yang terkondensasi akan meninggalkan sisa kotoran menyebabkan prestasi panel solar akan berkurangan.

Kotoran yang melekat didapati dapat mengurangkan tenaga elektrik sekitar 25 hingga 30 peratus.
Menerusi NPV, kenaikan sekitar 10 peratus tenaga yang dihasilkan iaitu sehingga 300kilowatt (kW) membolehkan sekitar 40,000 kW dijana setiap tahun.

Keadaan tersebut membolehkan penjimatan dan pulangan modal sepantas tiga hingga lima tahun lebih awal daripada penggunaan panel solar konvensional.

Terbaharu, syarikat itu juga bakal memperkenalkan cermin kuasa yang dikenali sebagai NanoPac Nano Light Energy Panel Technology (NLEP) yang merupakan lapisan nipis yang bleh dilekatkan pada permukaan kaca telus cahaya.

Berbeza dengan panel solar biasa yang menggunakan lapisan filem plastik, NLEP lebih menggunakan teknologi hijau.

Bagi mereka yang menggunakan Sistem Fotovoltaik Bersedpadu Bangunan (BIPS), teknologi NLEP merupakan pilihan terbaik kerana produk tersebut boleh menggantikan cermin tingkap, pintu mahupun mana-mana strukur berkaca untuk menghasilkan tenaga elektrik.