KEHEBATAN sesebuah negara sangat bergantung dengan kehebatan undang-undang bagi merealisasikan dasar-dasar dalam perlembagaan.
Maka peranan undang-undang adalah
memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala
kepentingan bagi semua pihak tanpa menjejaskan pihak lain. Bukan sekadar
menjaga kepentingan pemimpin, kumpulan atau puaknya sahaja, bahkan
dipanjangkan lagi peranannya sehingga menjaga semua makhluk dan alam
sekitar.
Kini ada negara yang dianggap maju dan
menjadi kebanggaan sesetengah pihak, apabila kononnya terlalu
berundang-undang sehingga melaksanakan undang-undang yang meletakkan
kepentingan binatang dengan meninggalkan kemuliaan manusia yang
ditinggikan oleh Allah.
Bukan sekadar itu sahaja, ada juga yang
menggubal undang-undang bagi menjaga pihak tertentu sehingga melupakan
rakyat umum yang wajib dibela dan dijaga. Bukanlah bermakna ada perkara
tertentu itu tidak memerlukan undang-undang. Apa yang penting adalah
kesaksamaan yang dinamakan keadilan untuk semua.
Kita pernah mengalami perjuangan
menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke
tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara.
Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?
Adakah seruan dan janji menghapuskan
Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh
menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu.
Puncanya apabila dijadikan perjuangan
politik bagi diri dan puaknya sahaja tanpa mengira negara secara
keseluruhan dan menyedari bahawa semuanya itu adalah rukun bagi tegaknya
sesebuah negara.
Tidak ada negara boleh terbentuk
melainkan adanya syarat rakyat, tanah air, pemimpin, undang-undang dasar
(perlembagaan) dan kedaulatan negaranya. Maka undang-undang dan
penguatkuasaannya hendaklah menjamin semua perkara tersebut.
PAS dahulu pernah menyokong ISA demi
negara menghadapi ancaman Komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa
penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain.
Kini kita mendengar desakan menghapuskan
Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.
Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah
perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan
undang-undangnya.
Apa yang paling menarik ialah apabila
muncul kalangan yang membuat kenyataan kerana ada isu yang berkait
secara khusus dengan peribadi mereka, tiba-tiba masing-masing mencabut
topeng memperkenalkan diri siapa mereka sebenarnya.
"Islam Memimpin Perpaduan"
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Zulkaedah 1440 / 13 Julai 2019
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !