OLEH DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PEPATAH Arab menyatakan: “Dia yang zalim terhadap saya, dia pula yang mengadu. Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis”. Inilah yang terkini dialami oleh Islam dan penganutnya.
Islam dituduh membawa keganasan, maka penganutnya seringkali dikaitkan dengan pengganas apabila berlaku sesuatu tragedi yang secara kebetulannya dikaitkan dengan penganut Islam. Maka diperbesarkanlah, laksana titik kecil dibesarkan menjadi kubah hitam yang besar.
Walaupun ianya menjadi catatan sejarah dilakukan oleh pihak bukan Islam berkali ganda banyak dan besarnya di sepanjang zaman, khususnya apabila penganut Islam menjadi mangsa di seluruh pelusuk dunia. Senjata pemusnah yang digunakan oleh negara maju telah mengorban manusia tanpa dosa lebih ramai daripada jumlah mangsa binatang paling buas, disembunyikan dan dikebalkan pelakunya oleh undang-undang ciptaan manusia yang berkuasa besar dan berkuasa veto di PBB.
Lihat sahajalah Projek Manhattan oleh US Army Corps of Engineers yang mula mengeluarkan bom atom yang pertama, yang akhirnya mengorbankan tidak kurang daripada 200,000 penduduk Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945. Rakyat Palestin pula dibunuh dalam masjid, di jalan raya dan dalam rumah kediaman hampir setiap minggu; selain dari itu juga pembunuhan muslim Rohingya, Kashmir, Afrika Tengah dan lain-lainnya. Siapa yang mengenangkan nasib mereka ini?
Sumbangan Islam kepada Barat
Sepatutnya hal ini dilihat secara kajian adil terhadap ajaran Islam daripada sumbernya yang asal, iatu kitab suci al-Quran dan Sunnah ajaran Rasulullah S.A.W. Catatan sejarah awal penganut Islam telah berjaya mengislahkan tamadun manusia yang dirasai sedikit serpihannya oleh tamadun barat yang dibanggakan pada awalnya, tiba-tiba terserlah tanda merudumnya di zaman mutakhir, kerana salah ciplaknya mengambil ilmu tanpa iman dan akhlaknya.
Barat bukan sahaja mengambil sains dan teknologi daripada ilmu Islam bahkan demokrasi moden yang boleh menukar kerajaan tanpa senjata seperti sebelumnya. Semua ini adalah hasil kajian para orientalis daripada kitab-kitab para ulama Islam daripada semua mazhab.
Kaedah panduan al-Quran
Al-Quran menetapkan uslub dakwah dan pelaksanaan Islam secara bijak tanpa paksaan, kerana paksaan melahirkan munafik. Islam mewajibkan berlaku adil terhadap semua tanpa mengira agama dan kaum, kawan dan musuh. Islam mengharamkan melampau dalam amalan agama sendiri dan terhadap pihak lain. Walaupun dipaksa berperang, adalah haram bertindak melampau walaupun terhadap musuh yang melampau.
Wajib percaya adanya balasan selepas mati, wajib bersabar terhadap musuh yang melampau, kalau melampau berdosa jadinya, walau pun terhadap penganut bukan Islam. Semuanya diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan generasi awal yang berjaya menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia tanpa paksaan.
Bagi penganut Islam juga, kita diwajibkan beriman kepada semua para Rasul, dilarang memaki Tuhan yang dilantik oleh penganut berbagai agama, walaupun tidak percaya kepada tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Sangat berbeza dengan pihak lain yang boleh memaki hamun dan menghina Allah dan Rasulullah S.A.W.
Islam mewajibkan undang-undang yang keras, seperti qisas dan hudud terhadap penjenayah melampau dalam perkara maruah, zuriat keturunan dan harta, tetapi syarat pelaksanaan dipayahkan pelaksanaanya bagi mendidik masyarakat dengan undang-undang yang digeruni hukumannya. Islam mewajibkan berperang terhadap musuh yang melampau, namun diharamkan melampau dan membalas dendam, serta wajib berlaku adil walaupun terhadap musuh yang paling kejam.
Islam sebagai penyelamat
Maka kedatangan Islam disambut oleh penduduk negeri yang zalim terhadap rakyatnya, sehingga kedatangan Islam dinamakan Futhuhaat (membuka negeri) kepada kebebasan yang sebenar. Ianya sangat berbeza dengan perkataan “penjajahan” yang mengabdikan rakyat, merompak dan mencuri hasil negerinya. Islam sangat menghormati para ilmuan dan orang yang bijak, walaupun tidak menganut Islam.
Islam berjaya menghapuskan perhambaan manusia secara damai. Berbeza dengan negara yang membunuh orang yang bijak dan ilmuan kerana dianggap membahayakan takhta kerajaan. Maka Islam mencipta tamadunnya daripada semua kebijaksaan dengan petunjuk al-Quran yang menolak jahiliyyah walaupun dilahirkan di Makkah dan menerima ilmu yang baik walaupun dari negeri China yang jauh dan bukan Islam.
Negara Barat yang mencapai kemajuan teknologi sangat tidak berterima kasih terhadap Islam dan penganutnya. Kelemahan yang dialami oleh umat Islam diambil peluang untuk menjajah. Mereka memaksa dan menipu umat Islam setelah menakluk tanahairnya. Raja ditipu, rakyat diperhambakan untuk ekonomi dan politik negara penjajah. Hasil bumi diperah habis-habisan, rakyat tanah jajahan digunakan daripada menjadi tenaga yang diperas ugut untuk mengangkut kekayaan sehinggalah berperang dengan musuh kepada penjajah itu.
Dua perang dunia yang besar banyak mengorbankan bala tentera yang sebahagian besar anggotanya daripada umat Islam yang diletakkan dibarisan hadapan. Apabila menang bala tentera penjajah yang berada di barisan belakang selamat mendapat hasil yang lumayan. Walaupun banyak tanahair umat Islam diberi kemerdekaan tetapi mengikut acuan penjajah, mengekalkan pemimpin yang terus menerus menjaga kepentingan penjajah itu, yang tidak mengikut telunjuknya mesti diturunkan dengan apa cara sahaja.
Ukuran kebebasan yang berat sebelah
Kalau demokrasi boleh memberi peluang kepada Islam untuk dilaksanakan semula maka kemenangan secara demokrasi ini dibatalkan, seperti yang pernah berlaku di Algeria (1991) dan Mesir (2013). Berbeza pula dengan revolusi seperti Revolusi Perancis (1889-1899) dan Revolusi Amerika (1765-1783); bahkan termasuk juga Revolusi Komunis di Rusia (1917-1918) dan Revolusi China (1911) atau tindakan merompak seperti menegakkan negara haram Zionis Israel boleh pula diiktiraf, tetapi revolusi yang bernama Islam tanpa mengira mazhabnya seperti di Iran dianggap ganas dan wajib diganyang habis-habisan, termasuk kemenangan Mujahidin menghalau Soviet di Afghanistan dikacau supaya gagal dengan berbagai cara.
Kebebasan hanya boleh kepada Barat, walau pun bertelanjang tanpa pakaian dan bergaul seperti binatang. Bagi penganut Islam pula tidak boleh memakai hijab dan melaksanakan ajaran agamanya walaupun di atas nama kebebasan. Berpoligami dengan hukum wajib berlaku adil terhadap keluarga dianggap tidak sesuai kepada penganut Islam, sebaliknya menyimpan wanita tanpa nikah seberapa banyak dan melahirkan anak luar nikah sebanyak-banyaknya, termasuk kahwin atau bergaul sejenis, dipanggil pula sebagai hak kebebasan.
Pelaksanaan syariat yang kesalahan jenayah beratnya dikira kejam tidak bertamadun, sebaliknya hukuman bunuh dijerut leher dengan tali seperti zaman purbakala dan merotan sehingga memecahkan jasad adalah tamadun barat yang maju, wajib diterima oleh penganut Islam. Itulah hipokritnya kuasa besar Barat terhadap umat Islam!
Di atas nama kebebasan media, sehingga Allah dan Rasul boleh dihina. Ada pun kerajaan dan ketuanya tidak boleh dikritik. Edaran lucah terbocor kerana kurang pemantauan supaya tidak melampau, sebaliknya dikira melampau kalau mengajar agama dan khutbah Jumaat, wajib dipantau habis-habisan termasuk di Masjid Makkah dan Madinah. Ada negara Eropah yang mengagungkan “kebebasan bersuara” ini pula mengharamkan pemakaian tanda agama di sekolah, hijab di tempat awam.
Islam menolak keganasan
Kalau semua yang tersebut adalah saranan Barat terhadap umat Islam, maka fikirlah pula apa perasaan umat Islam yang menghadapinya, apatah lagi setengahnya pula merasa sangat terguris. Kalangan umat Islam pula ada yang sederhana, ada tercorot ke belakang ditinggalkan oleh Islam dan ada yang melampau sehingga terjerumus.
Sepatutnya boleh difahami takrif keganasan secara waras dan siapa yang sebenarnya memulakan keganasan. Islam tidak mengizinkan penganutnya melampau dalam beribadat, makan, minum, memakai pakaian dan hidup mewah, maka sudah tentu lebih mengharamkan penganutnya melampau sehingga membunuh atau dendam.
Dalam masa yang sama siapa yang boleh menahan seorang yang jahil, khususnya individu yang tidak diizinkan mendapat pendidikan oleh penjajahnya sendiri, tetapi kecintaannya kepada Islam, Allah dan Rasul tetap membara bersama kejahilannya, tiba-tiba menyerang orang yang menghina Tuhannya, Rasul dan agamanya yang sangat dicintai.
Kita bersimpati dengan sesiapa sahaja yang dibunuh tanpa hak dan keadilan. Dalam masa yang sama sila bandingkan dengan tujuh belas orang rakyat Perancis yang dibunuh mendapat simpati seluruh dunia kerana laporan medianya menghina Islam dan Rasulnya, dengan lebih sejuta rakyat Algeria yang dibunuh tentera Perancis di zaman penjajahanya dan dilupakan tanpa simpati.
Saya mengangkat tabik hormat kepada mantan seorang Perdana Menteri sebuah negara di Eropah yang dikatakan pernah menyebut: “Kesilapan politik barat juga terlibat melahirkan keganasan”.
Kita sama-sama dapat lihat, bahawa di antaranya ialah provokasi dengan niat menjaga kepentingan mereka sahaja tanpa konsep masyarakat madani yang sebenarnya yang wajib bersatu untuk kepentingan bersama dan menghormati perbezaan dan percanggahan. Islam menjadikan manusia seluruhnya adalah keluarga besar daripada Adam dan Hawa. Kalau satu keluarga berperang kerana harta pusaka kalau yang gila harta, maka ada pemimpin yang bijak membunuh dan berperang kerana kawasan sumber tenaga dan tanah yang subur tanpa kewarasan.
Perlu disiasat semuanya, dan perlu dikaji sejarah silam, termasuklah peristiwa pembunuhan orang asal di Amerika, Australia, Afrika dan Asia. Siasatlah siapa sebenarnya pencetus keganasan di Asia Barat, Afghanistan, dan peniaga senjata dan melakukan provokasi untuk keganasan. Begitu juga tuduhan sejarah adanya senjata biologi yang dibawa ke Sudan kerana tindak balas terhadap kumpulan al-Mahdi yang membunuh General Gordon, begitu juga daripada mana datang wabak Ebola yang melanda negara Afrika yang diratah harta dan dibunuh rakyatnya kerana barat yang datang berebut harta kekayaan di benua Afrika.
Peranan kumpulan zionis yang menggunakan pengaruh politik, ekonomi dan media, mencipta berbagai teori karut dan sesat, terlibat mencetuskan peperangan agama dan kaum demi kepentingan fanatik zionisme juga perlu disiasat dan dikaji secara jujur, jangan dilupakan.
Al Quran menyebut firman Allah:
كلما أوقدوا نارا للحرب أطفأها الله ويسعون فى الأرض فسادا والله لا يحب المفسدين .(المائدة:٦٤
“Setiap kali mereka menyalakan api peperangan nescaya Allah memadamkannya dan mereka melakukan kejahatan merata bumi dan Allah tidak mengasihi orang-orang yang melakukan kejahatan”.
Yahudi Zionis yang nenek moyang mereka pernah diselamatkan oleh kerajaan Uthmaniyyah dengan penempatan yang aman mengikut ajaran Islam dibalas budinya dengan merosak dan menjatuhkan kerajaan ini dan merompak bumi Palestin dengan membunuh, merampas kediaman dan harta bendanya, tiba-tiba dijulang oleh barat dan dipertahankan habis-habisan.
PAS mengutuk semua keganasan dan pelampau walaupun daripada orang Islam, sama ada individu, kumpulan dan kerajaan kuasa besar dan kecil, terhadap semua, Islam dan bukan Islam yang berlaku di mana sahaja termasuklah di Makkah, Madinah, Tehran, Kuala Lumpur, Jakarta, Singapura, London, New York, Paris, Moscow dan Beijing.
Kita bersimpati terhadap mangsa keganasan di seluruh pelosok dunia dan menasihati semua pihak supaya jangan melampau terhadap semua, serta berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah daripada Al Quran, maksudnya: "Wahai Tuhan kami!, janganlah Engkau palingkan hati-hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami dan kurniakanlah limpah rahmat-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Melimpah kurniaannya. Wahai Tuhan kami! Ampunilah dosa-dosa kami, dan sikap melampau kami dalam urusan kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang melawan Tuhan kami”.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !