Oleh Dr Wan Nik Wan Yussof 
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Sesuatu yang pasti ialah kejadian banjir berlaku apabila air dari sungai melimpah memenuhi dataran dan lembah serta menenggelami
 permukaan yang kebiasaanya tidak digenangi air. Punca air hujan yang 
banyak melebihi daripada kebiasaan pada musim-musim  tertentu  atau 
beberapa hari berturut-turut adalah antara kemungkinan  menyebabkan 
banjir.
Dalam konteks kawasan yang mengalami musim monsun,
 seperti di Kelantan jumlah turunan hujan yang lebat beberapa hari 
biasanya menyebabkan banjir.
Sebagaimana catatan hujan di semua 
13 pusat sukatan hujan seluruh Kelantan pada Disember 2014 lalu, 
menunjukkan hujan yang turun dalam tempoh berpanjangan pada 17-25 
Disember (sembilan hari).
Sementara catatan pada hari-hari 
tertentu didapati turunan hujannya melebihi daripda kebiasaan. 
Antaranya, pada 17 Disember sahaja, jumlah turunan direkodkan di semua 
13 pusat ialah berjumlah 2,596 mm dan catatan tertinggi ialah di pusat 
sukatan hujan Kusial Tanah Merah sebanyak 414 mm.
Begitu pula 
catatan pada 22 Disember, jumlah sukatan di semua pusat ialah 2,161 mm 
dengan catatan tertinggi direkodkan di pusat sukatan hujan Gunung Gagau,
 Gua Musang iaitu 478 mm.
Ia diikuti dengan catatan di pusat 
sukatan yang lain di Gua Musang (Kg Aring, Kg Laloh, dan di Gua Musang 
sendiri) dan di Kuala Krai ( Dabong dan Tualang) kesemuanya adalah 
melebihi 200 mm.
Demikian lagi, bagi catatan turunan hujan di 
Gunung Gagau, Gua Musang mencatatkan turunan hujan lebat yang luar biasa
 selama tiga hari berturut-turut (21-23 Disember) dengan rekod turunan 
ialah 302 mm, 478 mm dan 515 mm yang bersamaan 1,295 mm.
Berdasarkan
 pengalaman ini, pakar kajicuaca menilainya sebagai, “jumlah turunan 
selama tiga hari ini adalah menyamai dengan 64 hari turunan hujan pada 
hari-hari biasa (20.23 mm sehari).”
Faktor hujan lebat ditambah 
pula dengan kedudukan Gunung Gagau pada aras ketinggian melebihi 4,500 
kaki dari aras laut sudah cukup dan mampu meluncurkan gerakan air yang 
laju dan mampu membentuk turunan gelombang menerjah lurah dan tebing 
sungai.
Atas faktor inilah menjadi salah satu punca utama 
kejadian banjir yang melanda Gua Musang dan Kuala Krai dan akhirnya 
melimpahi sampai ke Kota Bharu. Maka terjadilahbanjir 2014 lalu sebagai 
suatu fenomena banjir agak besar berbanding banjir-banjir sebelum ini.
Kuota perhutanan
Pembalakan
 merupakan satu aktiviti tradisi yang dikaitkan dengan usaha pembangunan
 tanah dan hasil ekonomi Negeri Kelantan. Bagi membangunkan ladang di 
kawasan hutan perlu ditebang pelbagai jenis pokok hutan. 
Hasil 
tebangan pokok hutan akan menghasilkan balak yang menjadi salah satu 
hasil utama Negeri Kelantan. Malah hasil balak yang dikilang menjadi 
pelengkap kepada  industri pembinaan dan pembuatan serta yang berasaskan
 kayu.
Bagaimanapun, pembalakan tertakluk kepada undang-udang dan 
peraturan serta dikawal langsung oleh Majlis Tanah Negara. Malah Jabatan
 Perhutanan Negeri ditubuhkan secara khusus menjadi agensi pelaksana 
kepada pengawalan aktiviti pembalakan.
Justeru sebarang usaha 
pembalakan adalah terkawal dan sentiasa dikawal. Terkawal kerana jumlah 
keluasan hutan yang boleh ditebang adalah tertakluk kepada Kup Pembukaan
 Kawasan Tahunan dan tertakluk juga kepada Catuan Tebangan Tahunan 
(CTT).
Dikawal pula, atas amalan kelulusan pembalakan adalah 
memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri atas setiap projek 
pembangunan melibatkan kawasan hutan, termasuklah mengawal keluasan 
Hutan Simpan Kekal  dan Tanah Kerajaan berasaskan Akta Perhutanan Negara
 1984 (Pindaan) 1992. 
Bagi Negeri Kelantan, dalam tempoh sepuluh 
tahun kebelakangan ini sejak 2005, tidak pernahpun berlaku penebangan 
yang melebihi had yang dibenarkan.
Misalnya pada tahun 2005 
kuotanya seluas 6,590 hektar dan keluasan yang diusahakan ialah 5,133.6 
hektar.  Begitu pula pada tahun 2011, kuotanya 6,590 hektar dan yang 
diusahakan 5,898.9 hektar. 
Sementara pada tahun lalu, 2014 
kuotanya 5,910 hektar dan yang diusahakan seluas 3,404 hektar sahaja.  
Ini bermakna tiada perlanggaran dari kuota pembukaan kawasan hutan di 
Kelantan. Maka ianya terkawal dan tetap dikawal.
Justeru asas kaitan banjir agak besar baru-baru ini bukanlah berpunca daripada pembukaan hutan secara tidak terkawal.
Pembalakan haram
Begitu
 pula, ada yang menimbulkan kononnya banjir berlaku di Kelantan 
baru-baru ini adalah disebabkan aktiviti pembalakan haram yang kesannya 
bukan setakat membalak, malah menarah lurah dan merosakkan struktur 
tanah tinggi sehingga gondol di sana-sini.
Jika benar apa yang 
ditimbulkan itu, sudah tentu keadaan banjir yang berlaku di Kelantan 
baru-baru ini banyak membawa kesan runtuhan lereng dan tebing serta 
struktur aliran sungai berikutan asakan puin-puin tanah-tanih yang 
longgar akibat penggondolan.
Ia pasti membawa kerosakan yang 
lebih dahsyat lagi ekoran jumlah densiti air hujan dan aliran yang luar 
biasa. Namun kesan kerosakan yang banyak dilaporkan adalah pada 
rumah-rumah yang berstruktur separuh kekal  dan harta benda akibat 
dihanyut air deras bukannya asakan kuat gumpalan puin-puin tanah yang 
runtuh dari lereng tanah tinggi.
Sebagaimana kajian pihak Food 
and Agriculture Organization of the United Nation (FAO, 1984) berhubung 
kesan hujan dari tanah tinggi ke atas larian air permukaan, bagi kawasan
 hujan lebat akan membawa kesan hakisan yang bawaan tanah-tanih berkadar
 banyak apabila permukaannya banyak diterokai dan digondolkan (misalnya 
aktiviti permukaan untuk pertanian), maka kadar lariannya ialah 330 mm 
per hektar.
Manakala keadaan hujan yang sama tetapi permukaannya 
dilitupi dengan pelbagai litupan, kadarnya kurang daripada 100 mm per 
hektar.
Dalam hal ini, keadaan hujan di Kelantan yang lalu masih 
dikuasai oleh litupan muka bumi yang terkawal dan kemusnahan permukaan 
akibat larian tanah yang gondol bukan fenomena yang dahsyat. 
Maka
 asas pembalakan haram dan penerokaan tanah secara haram bukanlah 
sesuatu insiden yang boleh dikaitkan sebagai punca utama banjir. 
Justeru
 dalam konteks pengurusan hutan di Kelantan, apa yang pasti standard 
pengurusan hutannya adalah mengamalkan Sistem Pengurusan Memilih 
(Selective Management System) yang mengutamakan pengekalan dan 
pengoptimuman hasil hutan yang ekonomik.
Di samping pencapaian 
Jabatan Perhutanan Kelantan sendiri yang mendapat pengiktirafan 
Certificate for Forest Management (Natural Forest) di bawah Skim 
Pensijilan Kayu-kayan Malaysia ( the Malaysian Timber Certification 
Scheme, MTCS) bagi tempoh 9 Februari 2014 hingga 9 Februari 2017.
Salah
 satu kejayaan pengurusan hutan itu ialah berlakunya aktiviti penanaman 
semula hutan (reforestation) dalam lima tempoh kebelakangan ini, iaitu 
antara tahun 2010 hingga 2014 sebanyak 4,055.426 pokok hutan telah 
ditanam semula.  
Sekiranya hutan simpan atau kawasan 
perhutanan Kelantan sekian lama banyak diganggu oleh aktiviti penerokaan
 haram yang melampau sudah tentu dengan keadaan hujan yang lebat dalam 
tempoh tiga atau empat hari itu, pastinya kerosakan permukaan, lurah dan
 tanah runtuh akan menjadi fokus berita yang utama.
Namun 
kerosakan dan kehilangan serta kermusnahan aktiviti pertanian adalah 
banyak terkesan akibat limpahan air yang banyak dan deras bukannya 
ledakan puin-puin akibat penggondolan.
Sehubungan itu, suatu 
hakikat yang harus diterima, berlakunya ketentuan Allah SWT yang telah 
menurunkan hujan lebat. Apapun di sebaliknya, pihak Kerajaan Negeri 
Kelantan harus lebih bertanggungjawab bagi menghadapi suasana dan musim 
banjir yang melanda Kelantan setiap tahun.
Harapannya, 
perancangan pembangunan masa depan perlu mengambil kira asas kemampanan,
 kelestarian dan penampanan air hujan (seumpama adanya empangan besar di
 dua alur utama sungai – Sungai Lebir dan Sungai Galas) yang sering 
menerima jumlah air banyak setiap kali pada musim tengkujuh.
Home »
Penulis Tamu
 »   Hujan, pembalakan dan banjir di Kelantan
Hujan, pembalakan dan banjir di Kelantan
Written By Editor Bebas on Monday, 19 January 2015 | 16:27
Labels:
Penulis Tamu






0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !