Oleh ABDUL HADI AWANG
1. Saya mendengar dan menekuni pembentangan Bajet 2015 oleh Menteri Kewangan Pertama
yang juga YAB Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat 10 Oktober
2014, di samping cuma membandingkannya dengan pembentangan yang lalu.
Saya akan hanya menyentuh persoalan asas dan prinsip yang bersifat
makro sahaja pada saat ini, di mana perincian lanjut sedang hangat
diperbahaskan oleh berbagai pihak sebaik sahaja pembentangan itu
berakhir.
2. Respon awal saya ialah, kita sebenarnya
agak hairan apabila tiada elemen-elemen baru yang mengejutkan dalam
bajet ini yang mampu melonjakkan Malaysia untuk mencapai suatu tahap
ekonomi yang lebih tinggi, mampan dan berdaya tahan terutama ke arah
mencapai wawasan kerajaan dalam tahun 2020.
3. Umumnya, kita dapati bahawa Bajet 2015 masih gagal menjawab masalah-masalah utama yang menghantui ekonomi Malaysia, iaitu :
a. Struktur asas ekonomi Malaysia yang tidak kukuh.
b. Kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
c. Daya saing ekonomi Malaysia.
d. Kemampanan ekonomi Malaysia.
4.
Saya berpandangan bahawa kerajaan masih tidak jelas akan halatuju dan
ke arah mana ekonomi Malaysia hendak dibawa. Selagi mana kerajaan gagal
untuk menjawab dan bertindak secara konkrit kepada semua
persoalan-persoalan di atas, maka maklamat negara berprestasi tinggi
atau apa saja sasaran yang diletakkan oleh kerajaan akan hanya menjadi
retorik politik. Ianya sekadar cantik pada angka dan statistiknya,
tetapi tidak memberi makna yang sebenar kepada rakyat marhain dalam
negara kita ini.
5. Penekanan secara tidak bersepadu dalam
pendekatan ekonomi hanya akan melemaskan lagi rakyat dalam suasana
tekanan sara hidup yang sudah cukup membebankan. Pendekatan fiskal
melalui pengurangan subsidi dan pengenalan GST (di mana kami menolak
pelaksanaan GST ini) hanya akan terus meningkatkan lagi inflasi dan sara
hidup rakyat. Sepatutnya tindakan kerajaan perlu lebih bersepadu
dengan juga mengambil kira dasar kewangan, yang akhirnya akan
meningkatkan permintaan dan seterusnya meningkat keluaran ekonomi
Malaysia.
6. Struktur ekonomi sebuah negara maju sepatutnya juga
menekankan sumbangan sektor perkhidmatan yang substantif iaitu
sekurang-kurang 70% dari KDNK negara. Namun sasaran kerajaan yang hanya
meletakkan 60% sumbangan sektor perkhidmatan dalam tahun 2020
membuktikan kerajaan tidak menekankan atau bersedia ke arah struktur
ekonomi yang betul untuk Malaysia.
7. Bajet juga telah gagal
untuk memperincikan langkah-langkah ke arah meningkatkan produktiviti
negara bagi mengatasi kadar pertumbuhan produkitiviti yang semakin
merosot. Malah kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia adalah lebih
rendah dari kebanyakan jiran-jiran negara ASEAN yang lain. Struktur
ekonomi yang mampan dan berdaya saing, sepatutnya mengambil kira
elemen-elemen penting pertumbuhan ekonomi seperti input buruh, input
modal dan faktor produktiviti keseluruhannya.
8. Oleh yang
demikian, langkah kerajaan yang terlalu bergantung kepada input modal
melalui projek infrastruktur dengan memperuntukan jumlah yang besar
iaitu lebih RM48 billion bagi mengerakkan ekonomi hanya akan memberi
kesan yang tidak seimbang dan tidak mampan. Sepatutnya penekanan juga
harus diberikan kepada meningkatkan total produktiviti kerana ianya
akan menghasilkan peningkatkan produktiviti dan ekonomi yang lebih
mampan dan berdaya saing untuk bergerak ke hadapan.
9. Bajet
juga dilihat tidak konsisten dalam pelaksanaannya. Dalam satu masa
kerajaan bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan subsidi, namun
dalam masa yang lain menambahkan pula nilai BR1M. Tidakkah ini juga
akan menghasilkan kesan yang sama seakan inflasi, iaitu mengherot
keseimbangan ekonomi negara, dan yang lebih teruk, akan juga
mengurangkan produktiviti, menjejaskan daya saing dan meningkatkan lagi
inflasi.
10. Berdasarkan corak perbelanjaan kerajaan BN
sepanjang tahun-tahun yang lalu, kadar defisit negara dijangka akan
terus berada pada tahap kronik. Kegagalan untuk menurunkan kadar defisit
ini juga sangat mengejutkan kerana kerajaan sepatutnya sudah dapat
menjimatkan RM1.4b pada tahun 2014 apabila memotong subsidi minyak
sebanyak 20 sen walaupun harga minyak dunia mengalami penurunan. Kita
masih belum melihat keinginan jitu oleh kerajaan BN untuk membuat
penjimatan perbelanjaan, sebaliknya kerajaan BN memilih untuk terus
memotong subsidi daripada rakyat yang sudah memang lemas dalam kos hidup
yang semakin meningkat. Perbelanjaan berlebihan dalam majlis-majlis
kerajaan dan pembaziran kos melibatkan delegasi ke luar negara dengan
disertai bilangan kakitangan yang keterlaluan adalah antara perbelanjaan
yang wajar dikawal. Cukuplah kita sama -sama meneliti Laporan Ketua
Audit Negara yang saban tahun memperincikan ketirisan dan pembelanjaan
boros ini.
11. Secara keseluruhannya semua faktor-faktor ini
dilihat masih gagal untuk diselesaikan oleh kerajaan. Ini secara jelas
dapat dibuktikan dengan pengaliran keluar berterusan modal asing dan
pelaburan domestik. Malah sikap hipokrit kerajaan BN dalam menangani
masalah ketirisan sumber, penyelewengan dan rasuah, hanya akan
memburukkan lagi kenyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia dan
seterusnya memberi kesan negatif kepada tahap kualiti hidup rakyat
seluruhnya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !