Oleh Dian Anais
Anwar Ibrahim dipenjara. Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. Ini adalah minggu nestapa, bukan sahaja buat pembangkang, tapi juga buat rakyat Malaysia.
Memang, ini adalah minggu kenestapaan. Kita tidak lagi dapat mendengar
alunan retorika ketua umum PKR, setidaknya buat sementara ini. Kita
juga tidak lagi dapat memandang wajah jernih Tok Guru, buat
selama-lamanya.
Semua ini telah lenyap, dengan pemenjaraan
dan pemergian mereka. Jasad mereka tidak lagi bersama kita. Tubuh
mereka tidak lagi hadir untuk berkomunikasi langsung dengan kita.
Namun, nanti dulu. Sapu dahulu air mata kita.
Di sebalik air mata ini, terdapat sebuah berita gembira: Anwar dan Nik
Abdul Aziz masih lagi bebas dan masih lagi hidup. Tatap sajalah media
massa: sampai saat ini, nama dan tindakan mereka terus hidup. Mereka,
dalam bahasa komunikasi, rupa-rupanya tidak pernah dipenjara dan tidak
pernah meninggal dunia.
Sebab, komunikasi– tentang mereka–boleh
saja terus berkesinambungan meski tanpa memerlukan kehadiran sosok
tubuh. Pemenjaraan Anwar, rupa-rupanya, hanyalah melanjutkan lagi
sebuah komunikasi politik yang berantaian.
Bagi saya,
disumbatnya Anwar ke penjara Sungai Buloh hanyalah merancakkan lagi
komunikasi politik di Malaysia. Rancak kerana politik kini telah
ditambah dengan perisa babak-babak dramatik. Dan, di sinilah politik
terus berkomunikasi dengan rancaknya.
Hemat saya, untuk
membunuh politik Anwar, itu bukanlah dengan memenjarakannya. Malah,
bukan juga dengan membebaskannya. Kini, yang menjadi tanda-tanya
musuhnya: bagaimanakah caranya untuk membunuh karier politiknya?
Malangnya, memang tidak ada cara.
Paradoks komunikasi
Tidak ada cara, kecuali: dengan menjadikan Anwar tidak lagi
dikomunikasikan. Dan, ini sama sekali tidak mungkin. Jadi, di sinilah
paradoks komunikasi.
Untuk tidak mengkomunikasikan Anwar, maka
kita perlu menghentikan segala pembicaraan masyarakat mengenai Anwar.
Sudah tentu, ini adalah tidak mungkin, lebih-lebih lagi di era
masyarakat bermaklumat ini.
Anwar, namanya dan tindakannya,
akan terus-menerus menjadi buah mulut. Penjaranya hanya menjadikan
setiap hingar dalam masyarakat bertukar menjadi suara kepada
langkah-langkah politiknya. Bagi saya, di sinilah cemerlangnya Anwar
sebagai seorang politikus moden.
Dalam sosoknya, tidak sekadar
terdapat ciri-ciri Machiavellian. Hatta, lebih dari itu, terzahir juga
paparan seorang pemimpin politik yang berprinsip teguh. Malah, saya
juga yakin beliau sanggup untuk mati (secara jasad), sekiranya tindakan
itu dapat mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik.
Dengan
kematiannya, mungkin, Anwar hanyalah ingin mendambakan kesejahteraan
buat negara kita: yakni, demi untuk melihat Malaysia yang lebih baik.
Ini adalah sebuah kejujuran Anwar yang dapat kita rasai dalam sanubari
kita.
Lalu, dengan kematian ini, komunikasi tentangnya akan
terus harum. Malah, itu hanya akan menjadikan Anwar sebagai manusia
yang abadi, yang terus-menerus, sepanjang zaman, dibicarakan dalam
politik tanah air.
Mungkin kata-kata ini berlebihan. Tapi, marilah kita ambil pemergian Nik Abdul Aziz sebagai contoh.
Sebagai seorang ahli politik yang luar biasa, jenazahnya telah pun
diring khalayak dari seluruh pelosok tanah air. Beliau dicintai, bukan
sahaja oleh pengikut-pengikutnya, tapi juga dihormati oleh
musuh-musuhnya.
Tak pernah mati
Nik Abdul Aziz, dalam hal ini, adalah sebuah sosok yang inklusif, yang merangkumi sama ada: sisi politik mahupun sisi apolitik.
Sebagai Mursyidul Am PAS, kehilangan Nik Aziz sudah tentu ditangisi
oleh ahli-ahli PAS. Mereka kehilangan seorang ahli politik yang
berkarisma. Ia memang tidak diragukan lagi adalah seorang politikus
teladan untuk semua yang bercita-cita menjadi ahli politik unggul.
Tapi, di sebalik itu, mereka yang tidak berparti politik juga mencintai
Nik Abdul Aziz. Dan, ini adalah sebuah terobosan yang menarik dalam
politik di Malaysia. Kerana itu, bagi saya, kehilangan Nik Abdul Aziz
adalah kehilangan buat semua.
Namun, apakah Nik Abdul Aziz memang pergi buat selama-lamanya? Tidak juga.
Nik Abdul Aziz, sama seperti Anwar Ibrahim, masing-masing terus hidup.
Nama-namanya akan terus berkumandang. Cerita-ceritanya akan terus
didendang. Ternyata, komunikasi mereka terus menebar. Ia ditebarkan oleh
kita, yang memuji dan juga mungkin mencelanya. Kitalah (termasuklah
musuh-musuhnya!) yang sebenarnya menjadikan mereka terus hidup abadi.
Sudah jadi lumrah, manusia-manusia besar memang sentiasa hidup dalam
masyarakat. Kita tidak pernah kehilangan mereka. Mereka tidak pernah
mati. Sama ada mereka dipenjara mahupun meninggal dunia, kita memang
tidak terdaya untuk menghentikan komunikasi tentang mereka.
Jadi, apa yang dapat kita belajar dari minggu nestapa ini? Kita belajar
bahawa sebenarnya terdapat sebuah cara untuk kita hidup selama-lamanya
di dunia ini. Untuk hidup abadi, kita hendaklah meninggalkan sebuah
bakti untuk masyarakat terbanyak.
DIAN ANAIS adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi dian.anais@yahoo.com
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !