Oleh Abd Shukur Harun
TIDAK mudah rupanya untuk memenuhi tuntutan supaya menjadikan ‘Islam rahmat seluruh alam’,
walaupun Allah SWT menyatakan hal ini dengan sangat tegas di dalam
al-Quran dan dicerminkan dalam Sunnah Nabi s.a.w., iaitu seluruh
kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.
Perlakuan sesetengah umat Islam
sendiri di mana-mana, termasuk di negara ini, didapati tidak memenuhi
tuntutan supaya ‘Islam rahmat seluruh alam’.
Elemen pergeseran antara agama yang tajam sebenarnya tidak perlu telah pun berlaku.
Beberapa kes yang sangat mencabar keharmonian antara kaum dan agama
telah berlaku di tanah air kita yang mencederakan nama agama Islam
sebagai ‘Rahmatan Lil- Alamin.’
Antaranya tindakan pihak Jabatan
Agama Islam Selangor (Jais) di majlis perkahwinan wanita yang namanya
Islam, tetapi dibesarkan dalam suasana Hindu, yang telah berkahwin
mengikut cara Hindu. Juga beberapa kes lain yang terdahulu seperti
rampasan Bible dalam bahasa Melayu, seminar yang mengkritik tajam agama
Kristian dan beberapa kes lain sebelumnya di pelbagai tempat.
Perlakuan pihak tertentu ini sama sekali tidak mencerminkan ‘Islam
sebagai rahmat seluruh alam’. Pelbagai tindakan yang tidak didahului
dengan penyiasatan menyeluruh akan sesuatu kes itu
menampakkan sikap
tidak bijaksana, gopoh dan sebagainya. Maka semua ini sangat mencemarkan
nama baik agama Islam sendiri.
Sesetengah pihak selalu mengira
bahawa mereka bertindak atas nama pihak yang berautoriti (berkuasa) dan
bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam serta untuk menyelamatkan
akidah umat.
Tetapi dalam masa yang sama, tanpa mereka sedar,
tindakan itu merosakkan nama baik Islam sebagai agama rahmat untuk
seluruh alam.
Di sini saya kira tidak ada umat Islam yang tidak
cintakan agamanya dan sanggup mempertahankan agamanya walau dengan harga
paling mahal. Jika tidak masakan ada konsep jihad di dalam Islam.
Ratusan ribu umat Islam telah syahid dalam pelbagai peristiwa dalam
sejarah Islam, terutama sejak tercetus perang Badr Al- Qubra dulu.
Tetapi keadaan ini dalam situasi perang, di mana toleransi berakhir dan
peperangan bermula. Tidak ada pilihan lain bagi umat Islam ketika itu
demi untuk mempertahankan akidah umat.
Demikian juga dalam situasi beberapa peperangan yang disertai dan tidak disertai oleh Nabi s.a.w.
Namun begitu, ketika tidak dalam suasana perang, bagaimana sikap Nabi
s.a.w. dan para sahabat dalam bertoleransi, yang sewajarnya menjadi
renungan dan teladan kita.
Ada riwayat daripada Jabir bin
Abdullah ra.a. yang berkata, “Suatu jenazah melewati kami, lalu Nabi
berdiri kerananya, dan kami pun berdiri. Kami bertanya, ‘wahai
Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah orang Yahudi.’ Beliau bersabda,
‘Jika kamu melihat jenazah, maka berdirilah!’” (HR Bukhari)
Contoh ini saja sudah mencerminkan Nabi s.a.w. sangat menghormati siapa
pun kerana beliau menyedari pada dasarnya semua manusia adalah ciptaan
Allah SWT. Dalam hal ini, beliau tidak membeza-bezakan agama orang
tersebut.
Sudah terbukti bahwa di Madinah yang bermasyarakat
majmuk, Nabi s.a.w. sangat menekankan supaya umat Islam saling
menghormati dan menghargai umat Yahudi atau Nasrani. Belum pernah
ditemukan dalam sejarah seorang Muslim pun yang menghina, merosak, atau
mengganggu tempat peribadatan non Muslim.
Ini menjadi hal yang
wajar dicontoh, justeru ada firman Allah SWT yang menegaskan: “Dan
janganlah kamu mencaci sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah
kerana mereka nanti akan mencaci Allah dengan melampaui batas tanpa
pengetahuan.” (QS Al-An’am: 108)
Sudah semakin jelas bahawa
Rasulullah s.a.w. telah menggariskan bahawa kita wajib bertoleransi
kepada keyakinan orang lain selama mereka tidak melakukan penyerangan
terhadap keyakinan kita. Bahkan dalam kehidupan berbangsa dan bernegara,
Piagam Madinah (Shahifah al-Madinah) merakamkan mengenai Yahudi
sebanyak 24 pasal daripada kesemuan 47 pasal.
Antara isi piagam
ini ada yang menyusun kesepakatan bahwa apabila ada musuh yang menyerang
Madinah, maka semua wajib saling membantu mempertahankan kota itu,
tanpa melihat apa pun agamanya.
Sesungguhnya masih banyak isi
dalam piagam ini yang mencerminkan kehidupan harmonis antara Muslim dan
non Muslim. Ini menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sangat
berusaha menjaga hubungan baik dengan kalangan di luar Islam.
Ada
banyak lagi contoh toleransi yang diperlihatkan dalam sejarah Islam
sejak generasi pertama, zaman Nabi s.a.w. dan seterusnya para sahabat,
terutamannya Sayidina Umar Al-Khatab.
Kini, 1400 tahun lebih
telah berlalu; apakah generasi umat masa kini melupai semua toleransi
yang dipancarkan di dalam al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w. dan para sahabat?
Pelbagai kejadian seperti yang saya sebutkan di atas tadi menunjukkan
umat sama sekali tidak mengambil contoh apa yang dilakukan oleh Nabi
s.a.w. dan para sahabat, sungguh pun kita menyambut Maulidur Rasul saban
tahun dengan penuh gegak gempita – mengadakan perarakan, berselawat,
membawa sepanduk, bunga manggar dan mengadakan pelbagai ceramah serta
jamuan.
Diikuti seruan supaya umat mencontohi Nabi s.a.w. Tetapi
pada masa yang sama, toleransi antara agama kini semakin terhakis dan
sangat membimbangkan. Hampirhampir tidak ada satu hari pun yang berlalu
tanpa ada kejadian yang boleh merosakkan toleransi beragama.
Hendak dikatakan umat ini masih dalam kejahilan, tidak mungkin, kerana
setiap hari ada pelbagai ceramah dan kuliah agama pelbagai bentuk, baik
di masjid, surau, dan pelbagai saluran TV, siang dan malam.
Belum
lagi kitab-kitab agama yang begitu banyak di pasaran. Ribuan pula para
agamawan – baik lepasan universiti dalam negara mahupun luar negara
kolej, madrasah dan pelbagai lagi.
Pendeknya sumber ilmu begitu
banyak sekali. Pelbagai forum – perdana dan tidak perdana – dihadiri
oleh ribuat umat. Memang suasana perkembangan agama Islam sangat
menggalakkan. Tetapi dalam suasana begini, mengapa kes-kes yang tidak
mencerminkan toleransi beragama di negara ini masih terus berlaku?
Inilah persoalan yang saya kira, sangat wajar diberikan perhatian oleh
semua pihak, kerana ia bukan saja memusnahkan keharmonian antara umat
beragama, tetapi yang lebih parah merosakkan nama baik Islam itu sendiri
sebagai agama rahmat seluruh alam.
Memperjuangkan Islam adalah dituntut, tetapi menjaga nama baik Islam juga sangat dituntut.
Oleh itu kebijaksanaan sangat diperlukan.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !