Headlines News :
Home » » Rakanku Bakar Chik mendahuluiku

Rakanku Bakar Chik mendahuluiku

Written By zabidi on Thursday, 26 June 2014 | 00:04

Oleh SUBKY LATIF |

KURANG dari 24 jam saya berada di Birmingham, England saya menerima SMS, Ustaz Abu Bakar Chik maut dalam kemalangan jalan raya. Inna lilla waina ilaihi rajiun.
   
Dia adalah guru kepada Datuk Sabarey Cheek. Itulah murid yang paling disayangi dan diharapkannya untuk menyambung perjuangan dalam gerakan Islam bermula daripada ABIM dan seterusnya dengan PAS. Biasalah murid tidak bersama guru.
   
Almarhumlah orang PAS yang pertama mencari saya di Terengganu apabila saya ke negeri itu pertama kali sebagai ahli PAS. Ustaz Hadi Awang memaklumkan kepada saya, Ustaz Bakar Chik akan menemui saya di tempat persinggahan saya di Kuala Terengganu.
   
Dia pun datang. Rumahnya dan sekolah yang dipimpinnya tidak jauh dari tempat saya bermalam di Jalan Sultan Omar. Itulah perkenalan pertama saya dengannya. Dia bawa saya bertemu dengan orang-orang PAS yang menyusun program saya beberapa hari di negeri itu.
   
Ceramah pertama saya di Jeram bersama Ustaz Hadi dan Harun Taib. Beberapa tahun kemdian, dalam PRU 1982, Ustaz Bakar jadi calon PAS DUN Jeram dan menang.
   
Kali pertama kami bertemu, dia belum menjadi orang penting PAS Terengganu. Dia baru mengambil alih jawatan ketua ABIM negeri daripada Ustaz Hadi. Masa itu dia mengepalai sekolah swasta Islam, Berakan, institut pendidikan yang serangkai dengan Yayasan Anda milik ABIM di Kuala Lumpur.
   
Sekolah Berakan adalah sinonim dengannya. Sekolah Berakan adalah Bakar Chik dan Bakar Chik adalah Berakan. Sekolah Berakan adalah dunia pertamanya. Lepas itu barulah dia PAS. Setelah dia lahir sebagai seorang dari lima orang kuat PAS Terengganu selepas Ustaz Hadi, Mustafa Ali, Harun Taib dan peguam Wan Abdul Mutalib, maka PAS pula jadi dunia  utamanya sambil Berakan tetap dikendongnya.
   
Ujian besarnya ialah menghidup dan mempertahankan Institut  Berakan. Dia bersilat menangkis usaha kerajaan negeri mengambil tapak asal Berakan di Jalan Sultan Omar. Tiada terdaya kerajaan mengusirnya siang hari. Yang kerajaan dapat buat ialah mengirim jentolak merobohkan bangunan tua sekolah itu hingga musnah segala peralatan dan bertaburan puluhan naskah al-Quran di sekitar kawasan.
   
Atas roboh sekolah itulah dia bangunkan komplek pengajian Islam yang lebih sempurna di Tok Jiring, jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu. Ia adalah antara pusat pengajian yang penting di negara ini sekarang.
   
Dua kali dia ditahan ISA. Kali ketiga dia sempat lari ke Amerika semasa Operasi Lalang. Justeru tinggal lama di Amerka dengan visa pelancong untuk menyambung pelajaran, usahanya gagal, apabila pulang dilarang masuk semula ke Amerika.
   
Saya sempat bersamanya dalam Dewan Pemuda PAS pusat. Kami jadi orang PAS pertama melawat Republik Islam Iran. Dia agak kritikal dengan fahaman Syiah. Bahkan semasa jadi tetamu kerajaan di Iran, dia mentakwil bebarapa ajaran Syiah kepada tuan rumah.
   
Seorang pemimpin PAS yang otaknya 24 jam berfikir dan bercakap tentang PAS. PAS patut buat itu dan ini. Apabila berdepan dengan sesuatu dia terus bercakap apa PAS patut buat?
    
Banyak projek dan rancangannya untuk PAS. Semasa jadi Ketua Dewan Pemuda, dia mencetuskan Unit Amal yang jadi petugas penting PAS dan dia mengambil pentadbiran PASTI sebagai tanggungjawab Dewan Pemuda.
    
Tanggungjawab besarnya sebelum menemui kemalanngan jalan raya ialah pemimpin Lajnah Pendidikan. Dia dalam rangka memperkasakan PAS sebagai institusi pendidikan yang penting. Malang, dia terpaksa pergi dengan meninggalkan banyak kerja besar yang belum selesai. Dia adalah pemimpin, pekerja dan pemikir. Payah diganti. -
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU