RUU 355 terus menjadi sasaran untuk ditolak oleh
sebahagian manusia di Malaysia sekarang, walaupun tujuannya khusus bagi
penganut Islam sahaja untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang dihina
dizaman penjajah dahulu setelah mereka merampas negara dan kuasa
Raja-Raja yang melaksanakan Islam di zaman itu. RUU 355 juga menepati
kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Malaysia dan
konsep kebebasan beragama.
Kajian para orientalis yang mengkaji
Islam dan masyarakatnya menegaskan bahawa rahsia kemajuan umat Islam
termasuk di rantau ini kerana berpegang dengan ajaran Islam yang
sebenarnya secara menyeluruh termasuklah dalam aspek pentadbiran dan
hukum syariat yang adil sehingga mewujudkan keamanan dan keselamatan,
seterusnya berjati diri dengan iman, ilmu dan akhlak mulia.
Negeri
Melaka yang bersejarah dicatatkan sebagai tempat pertemuan budaya dan
ekonomi serantau dan banyak catatan dipadamkan dalam Sejarah Nusantara,
sebahagiannya masih tersimpan dalam arkib di negara-negara barat secara
bertulis. Bahasa Melayu bertulisan huruf Al-Quran yang ditambah dengan
huruf yang tidak mampu ditampung oleh huruf Bahasa Eropah yang dipaksa
pada hari ini masih tetap ada pengaruhnya di seluruh rantau ini
termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Kaum Cham di
Kemboja dan Vietnam. Ini menujukkan betapa pengaruh tamadun Islam itu
bertapak sehingga segala surat perjanjian dengan semua pihak ditulis
dengan Bahasa Melayu dan hurufnya.
Barat yang datang menjajah
melaksanakan agenda menghapuskan pengaruh Islam dalam masyarakat
serantau dengan niat yang jahat sehingga hari ini. Walaupun mereka sudah
keluar dan kita telah merdeka pada sebutan dan tulisannya, sedarlah
bahawa kemerdekaan itu dirancang dan diatur supaya kita terus lemah dan
bergantung kepada mereka dalam semua perkara. Dalam masa yang sama,
mereka meninggalkan saki baki pengaruh melalui pendidikan dan pelajaran
yang membentuk jati diri anak negeri yang dijajah supaya menjadi hamba
kepada mereka secara halus, seterusnya boleh menjadi khadam meneruskan
agenda yang diatur.
Penjajah itu telah mengatur strategi samada
dijadikan rantau ini untuk terus digunakan untuk mendapatkan hasil dan
rakyatnya dijadikan khadam atau mereka boleh dipanggil kembali menjadi
penyelamat yang jahat dan tidak berperikemanusiaan.
Sedarkah
bahawa segala gejala negatif yang berselerak seperti kezaliman sesama
sendiri, salahlaku kuasa dan harta negara, merebaknya rasuah, jenayah,
maksiat, arak, dadah, judi, pergaulan bebas dan semuanya kerana
kelemahan ideologi, teori, undang-undang, sistem dan segala warisan
peninggalan penjajah yang dikekalkan. Tidakkah sepatutnya kita membuang
saki baki peninggalan penjajah bila kita sudah merdeka? Mana yang baik
terus dikekalkan, mana yang buruk dibuang dan ditinggalkan.
Islam
adalah petunjuk paling sempurna kepada manusia seluruhnya dalam semua
urusan dan aspek kejadian kerana Islam ini ciptaan Allah Pencipta
seluruh alam.
Umat Islam wajib kembali kepada aqidahnya sendiri
kecuali kalau aqidahnya sudah batal dan wajib dihidupkan semula secara
ilmu dan ikhlas mencari kebenaran sebelum meninggal dunia kerana wawasan
kita adalah wawasan akhirat, wawasan selepas mati.
Adapun orang
bukan Islam tidak dipaksa menganut Islam, namun mereka mestilah membuat
kajian secara jujur sepertimana mereka membuat kajian terhadap teori dan
ideologi barat yang juga bukan berasal daripada China dan India.
Pembacaan terhadap Islam hendaklah diambil daripada sumber yang asal,
bukannya melalui penulisan orientalis barat yang tidak ikhlas terhadap
Islam. Kalau penulisan orientalis itu menjadi rujukannya, penganut Islam
juga boleh menjadi sesat dan salah faham terhadap agamanya sendiri.
Sangat
malang nasibnya kalau merasa megah kerana merujuk kepada bekas penjajah
seperti penyakit yang disifatkan oleh Ibnu Khaldun dalam Kitab
Al-Muqaddimah:
"أن المغلوب مولع أبداً بالاقتداء بالغالب" (مقدمة ابن خلدون ص: 73، بترقيم الشاملة آليا)
“Sesungguhnya bangsa yang dikalahkan seringkali tertarik dan terpengaruh dengan bangsa yang mengalahkan dan menjajahnya”
Bangsa
Jerman dan Jepun yang kalah perang dunia bangkit bersama jatidiri
bangsa dan bahasa masing-masing dan kembali menjadi kuasa besar yang
tidak bergantung dengan kuasa besar yang mengalahkannya. Dua negara ini
disaksikan kembali menjadi kuat.
Kita kembali kepada masalah
mereka yang menolak RUU 355 adalah sebenarnya menghalang Islam kembali
membangun umat. Mereka menghujahkan bukan tajuk asalnya RUU 355 tetapi
mempersoalkan hukum Hudud, Qisas dan Takzir yang termasuk dibawah bidang
kuasa negeri.
Sebenarnya, RUU 355 bertujuan memperkasa bidang
kuasa Mahkamah Syariah supaya ditinggikan kerana kedudukan Islam adalah
Agama Persekutuan mengikut Perlembagaan dan agama lain bebas diamalkan.
RUU 355 juga dapat memperkenalkan sistem kehakiman Islam secara
terperinci dan meluas dan memperkenalkan konsep hukuman bertujuan
mendidik bukannya mendera yang khusus bagi umat Islam sahaja.
Ada
yang menjadikan adanya dua sistem mahkamah sebagai alasan. Sebenarnya
tidak menjadi salah adanya dua sistem mahkamah atau lebih dalam beberapa
aspek kerana perbezaan agama dan budaya yang tidak harus dipaksa
seperti contohnya undang-undang keluarga adalah berbeza diantara
penganut Islam dan bukan Islam, bahkan sesama bukan Islam juga tidak
sama agama mereka. Peraturan restoran Islam dan bukan Islam juga boleh
berbeza kerana hukum halal dan haram yang tidak boleh dipaksa terhadap
bukan Islam dan undang-undang pusaka turut berbeza. Ada juga perkara
yang tidak boleh dibezakan undang-undangnya seperti undang-undang
jalanraya kerana tidak masuk akal kalau dibezakan. Maka janganlah kita
kelirukan akal kerana perkara yang berbeza yang dapat diselesaikan
melalui dua sistem mahkamah.
Pelaksanaan Islam juga memberi
hikmah kepada semua pihak untuk membuat perbandingan diantara
undang-undang Islam dan undang barat dalam perkara menyelesaikan masalah
bersama yang tidak dapat diselesaikan seperti kadar jenayah, kemalangan
jalanraya yang semakin meningkat dan gejala dadah yang tidak dapat di
atasi sehingga kini di seluruh dunia.
Islam bersikap tegas dalam
perkara nas iaitu ketetapan Allah dan Rasul yang tidak mampu difikirkan
oleh akal manusia tanpa memaksa orang bukan Islam. Namun Islam terbuka
dalam isu kemanusiaan seperti hak asasi manusia mengikut fitrah seperti
perlindungan terhadap agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta sehingga
Islam mengiktiraf dalam persamaan undang-undangnya dan membenarkan
perbezaan terhadap agama dan adat kaum tertentu. Adanya banyak mazhab
dalam hukum cabang syariat Islam adalah disebabkan oleh perubahan
tempat, masa, dan perbezaan masyarakat.
Sejarah perundangan
moden banyak dipengaruhi oleh syariat Islam melalui kajian orientalis
dan pergaulan dizaman penjajahan apabila mereka menerima banyak kajian
para ulama Islam. Contohnya, demokrasi moden berubah daripada demokrasi
purba sehingga wujudnya pilihanraya, apabila mereka membaca sejarah
pemilihan ketua negara dizaman awal Islam.
Selain itu juga, teori
kalangan ahli falsafah barat untuk menghapuskan peperangan terpaksa
menyerah kalah kepada panduan Al-Quran. Terjemahan Al-Quran dijadikan
rujukan utama ketika menggubal undang-undang antarabangsa diawal abad
yang lalu. Al-Quran mengajar bahawa peperangan menjadi tabii manusia dan
menjadi wajib bagi menentang pencerobohan yang melampau tetapi jangan
melampau dengan menggunakan undang-undang antarabangsa.
Perbezaan
syariat Islam dengan perundangan moden barat adalah dari sudut aspek
rohani (hubungan dengan Allah dan Hari Akhirat), adanya perhitungan dosa
dan pahala yang tidak ada pada dasar, konsep dan sistem barat. Mereka
tidak mengambil contoh pemerintahan Rasulullah S.A.W. yang mengarahkan
supaya dibayar diat (ganti rugi) di atas kesilapan tentera Islam
terhadap nyawa dan harta musuh dalam satu peperangan. Peristiwa itu
berlaku di zaman tidak ada undang-undang antarabangsa seperti hari ini,
sebabnya kerana aspek rohani yang tersebut.
Perbandingan di zaman
kini adalah peristiwa pesawat MAS ditembak dan hilang, sebelumnya
peristiwa pesawat Iran yang ditembak di Teluk, pesawat Libya dan Korea
beberapa dekad yang telah berlalu, walaupun ada Mahkamah Antarabangsa
dan berbagai-bagai pertubuhan antara negara, undang-undang antarabangsa
dan hak asasi manusia, semuanya laksana sarang labah-labah sahaja,
boleh dirempuh oleh yang besar dan gagah mengikut undang-undang di hutan
rimba.
Kejayaan syariat Islam mewujudkan keadilan untuk semua
dan keamanan sejagat kerana kehebatannya yang menawan hati manusia
sehingga berjaya menjadikan rantau yang dikuasai Islam di Asia, Utara
Afrika dan Selatan Eropah sebagai tumpuan pedagang dan perkembangan
sains dan teknologi yang bermanfaat daripada tamadun Islam yang memberi
sumbangan kepada seluruh dunia. Kedengkian barat yang melihat kehebatan
ini menyebabkan mereka mencetuskan Perang Salib dan Penjajahan Barat
setelah mereka mencapai ilmu duniawi yang dicedok daripada tamadun Islam
tetapi berkonsepkan sekularisma yang memisahkan cara hidup daripada
agama dan mencetuskan imperialisma yang menindas.
Hari ini dunia
barat sedang menerima padahnya apabila tercetusnya krisis nilai
kemanusian, kemusnahan moral, politik, ekonomi dan sosial tetapi
menyalahkan pihak lain khususnya Islam yang menjadi mangsa utama. Sudah
banyak kenyataan menunding jari terhadap Islam daripada beberapa tokoh
ilmuan dan politik barat.
Maka percayalah bahawa mereka yang
menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam adalah khadam
upahan yang dilantik di negeri masing-masing yang terperangkap dalam
krisis nilai. Mereka boleh menerima negara yang bersih rasuah tetapi
boleh kalau pemimpinnya pemabuk, mengamalkan seks bebas dan sebagainya
yang lebih besar dosanya daripada rasuah. Mereka boleh menerima pemimpin
yang bercakap benar dalam mengerjakan maksiat kerana bagi mereka berani
berterus terang walaupun mengerjakan maksiat dan meneruskan maksiat
yang lebih besar kerana tidak ada konsep bertaubat dalam kefahamamnya.
PAS
tidak boleh terpengaruh dengan mereka yang terperangkap dalam krisis
nilai, apa lagi Islam berbeza menentukan nilai kemanusiaannya.
Islam
meletakkan sifat yang menyeluruh terhadap fitrah manusia dari segi
nilai baik buruknya merangkumi jasad, akal, roh, individu, keluarga,
masyarakat, hubungan dengan Tuhan dan alam sekeliling yang tidak ada
dalam teori barat yang mengalami krisis nilai sehingga terserlah tanda
kejatuhannya.
Perbezaannya, Islam menjadikan segala amalan baik
dan buruk laksana hubungan mata rantai yang tidak berpisah. Allah telah
menyebut sebab keruntuhan tamadun terdahulu yang dipandang hebat
pembangunan kebendaannya:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ
بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا
فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9)
وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11)
فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ
عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14) الفجر.
“Apakah
kamu tidak melihat (dengan mengambil iktibar) betapa Tuhan lakukan
terhadap kaum Aad, kotanya bernama Iram punya bangunan yang teguh dan
tinggi yang tidak pernah dibangunkan sepertinya di negeri lain. Kaum
Thamud yang dapat membina bangunannya di batu besar dan bukitnya
dilembah kediaman mereka. Firaun (Raja Mesir) yang mempunyai bala
tentera ramai jumlahnya. Mereka semuanya melampau di negeri
masing-masing, mereka juga banyak melakukan kejahatan dalam negeri
masing-masing. Lalu Tuhanmu timpakan ke atas mereka hukuman azab yang
membinasakan semuanya. Sesungguhnya Tuhanmu sentiasa melihat dengan
nyata (apa-apa yang dilakukan).”
Sangat malang terhadap kalangan
yang tidak senang dengan pertemuan dua parti UMNO, PAS dan NGO Islam
kerana perbincangan perkara RUU 355, tetapi merasa senang kalau
pertemuan DAP, MCA, GERAKAN dan sebagainya? Umat Islam sentiasa dianggap
salah bila adanya sebarang usaha untuk melaksanakan Islam walaupun atas
kepentingan bersama demi menyelamatkan semua.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !