Oleh AHMAD AMZAD HASHIM
KEDUDUKAN kuasa yang ada pada mahkamah syariah pada
hari ini paling tinggi pun boleh menjatuhkan hukuman 3 tahun penjara,
RM5,000 denda dan 6 kali sebatan. Seorang Ketua Hakim Syariah yang
paling tinggi pun, setakat itulah sahaja kuasanya kerana enakmen syariah
yang digubal diperingkat Dewan Undangan Negeri masing masing tidak
boleh memperuntukkan lebih dari kuasa yang dibenarkan sekarang.
Mahkamah
yang paling rendah di dalam sistem kehakiman biasa (bukan syariah)
misalnya mahkamah rendah atau mahkamah sesyen pun mempunyai bidang kuasa
lebih besar walaupun yang menghakimi adalah cuma berjawatan Pendaftar
Mahkamah dibandingkan seorang Ketua Hakim Syariah.
Bukan sedikit senarai kesalahan yang boleh didenda lebih RM5,000 atau penjara lebih 3 tahun.
Oleh
itu, sekalipun Mahkamah Syariah hanyalah untuk orang Islam, ia
dipandang rendah, tidak perkasa, tidak digeruni malah kadang-kadang
dilayan kelas kedua dalam mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan
undang-undang seperti PDRM.
Ia tidak dilihat gagah dan perkasa.
Kekurangan
ini mendatangkan masalah dalam menegakkan hukum-hakam yang menjaga
maslahah umat Islam misalnya gejala maksiat, khalwat, zina, minum arak,
judi.
Hukuman yang ada tidak cukup memberi pengajaran. Bagi yang
kaya, langsung tidak menjejaskan apa-apa bagaikan membayar tiket hiburan
mewah mereka sahaja.
Gejala sosial dalam kalangan umat Islam
sekarang parah. Percambahan pusat maksiat dan hiburan yang menyajikan
arak dan perempuan adalah kerana ia mendapat sambutan daripada orang
Islam sendiri. Gejala ini penyumbang masalah rumahtangga, penagihan
dadah, pengabaian anak anak.
Hukuman yang berat selain proses
pendidikan di sisi yang lain boleh menghindarkan orang Islam daripada
berkunjung ke tempat maksiat. Tanpa sambutan, perniagaan tidak
menguntungkan dan dengan sendiri boleh dikurangkan.
Suatu hal
lagi yang perlu diperhatikan yang juga sangat serius adalah berkaitan
lambakan kes tertangguh berkait cerai, gantung tidak bertali, tuntutan
nafkah anak, kes pusaka.
Perkara ini sangat berkait kebajikan
kaum wanita dan anak-anak khususnya yang ramai bilangannya. Mereka yang
sebenarnya menjadi mangsa.
Sebahagian besar punca tertangguh
adalah berkait sikap saksi, defendan, responden yang mengambil sikap
acuh tidak acuh dalam menghadirkan diri dalam perbicaraan yang telah
ditetapkan.
Kes lepas tangguh ditangguh lagi.
Ia berkait
persepsi memandang rendah dan acuh tidak acuh mahkamah syariah. Jika
namanya mahkamah tinggi biasa, masing-masing tahu pula takut dan tidak
berani berlebih kurang.
Mahkamah syariah perlu lebih kuasa untuk
memastikan keputusannya dikuatkuasakan serta memperoleh sokongan dan
kerjasama polis dan agensi berkaitan. Yang gagal hadir, memberi
keterangan palsu di mahkamah, menghina mahkamah, mesti boleh dikenakan
hukuman yang berat.
Tindakan menggambarkan RUU355 semata-mata dalam konteks hudud oleh pihak yang menentang adalah sangat dikesali.
RUU355
boleh membantu memperbaiki banyak masalah dalam masyarakat khususnya
kebajikan wanita dan anak-anak dalam membina masyarakat yang sejahtera
dan diredhai Allah. –
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !