OLEH MELATI A. JALIL
Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang mula menimbulkan
isu mengenai dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan
menyertai PAS sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat
biasa.
Bercakap pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis
Zunar di Petaling Jaya hari ini, beliau mengakui berminat dengan PAS
kerana parti itu menegakkan Islam.
"Saya akan menjadi ahli
PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa," katanya yang
ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu selepas
didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh
Mahkamah Tentera.
"Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu
saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan
cara ini," katanya merujuk kepada nama penuh parti pembangkang yang
merupakan sebahagian Pakatan Rakyat (PR) itu.
Zaidi dipecat dari
TUDM kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan
media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi
maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran
Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.
Beliau didapati bersalah melanggar protokol dengan membuat pengumuman
terbuka mengenai dakwat kekal yang digunakan semasa PRU13 tetapi boleh
dibasuh dengan mudah, menimbulkan persoalan mengenai integriti PRU.
Selepas dibebaskan, Zaidi menyuarakan hasratnya memberi ceramah dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan orang ramai.
Hari ini beliau menyatakan harapan memainkan peranan menyatukan PR yang
ketika ini dilihat seperti berada di ambang perpecahan kerana beberapa
isu dan konflik dalaman sesama tiga ahlinya – PAS, PKR dan DAP.
"Saya ni 'middle ground' (pertengahan)... Saya bukan ustaz, insyaAllah
saya cuba main peranan untuk satukan PR untuk menghadapi PRU14.
"Cabaran itu memang besar, terutamanya dengan ketiadaan (Datuk Seri)
Anwar (Ibrahim), kita terpaksa menghadapinya, harap-harap pemimpin baru
akan muncul," katanya.
Katanya, rakyat memerhatikan tindakan
Putrajaya dan dasarnya, dan ini akan menentukan bagaimana mereka akan
mengundi dalam PRU berikutnya.
"Apa saja yang mereka lakukan diawasi rakyat. Rakyat tahu siapa benar, siapa salah.
"Apa saja yang kerajaan mahu lakukan, biarkan mereka lakukan. Di pihak
kami, kami akan terus berjuang. Kita mohon pertolongan Allah.
InsyaAllah, pada PRU14, akan ada perubahan."
Zaidi juga mengulas
mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat,
menyifatkannya satu kehilangan besar.
Beliau yang sepatutnya
melancarkan buku Zunar bertajuk "ROS in Kangkongland" yang menampilkan
kartun isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata,
kartunis satira itu tidak sepatutnya dihukum kerana hasil karyanya.
Sejumlah 200 naskhah buku itu dirampas polis ketika ia sedang dalam perjalanan di bawa ke lokasi majlis pelancaran.
"Zunar seorang yang unik, kerana beliau berjuang melalui kartun. Secara
tidak langsung beliau membantu perjuangan kami menegakkan keadilan,"
katanya.
Home »
Berita Semasa
» Bekas mejar Zaidi akan sertai PAS
Bekas mejar Zaidi akan sertai PAS
Written By Editor Bebas on Sunday, 15 February 2015 | 15:58
Labels:
Berita Semasa
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !