Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kehilangan tokoh penting yang kembali
mengadap Pencipta, Allah azza wajalla iaitu al-Mursyidul Am, Tuan Guru
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sesungguhnya pemergian Almarhum
kerahmatullah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti khususnya
kepada PAS dan amnya kepada negara serta seluruh umat Islam.
Almarhum
adalah pemimpin, guru, bapa dan sahabat yang telah mendamba dan
memperhambakan diri kepada al-Khaliq dengan teguh menyambung usaha
Rasulullah SAW dan para Nabi menegakkan risalah agama ini.
Dunia
dan umat kurun ini telah menyaksikan, bahawa Almarhum telah meletakkan
bumi Serambi Makkah yakni Kelantan ke peta dunia dalam istiqamahnya
beliau memartabatkan Islam di negeri itu.
Almarhum juga negarawan
di mana telah melakar sejarah sejak usia mudanya bersama PAS untuk
memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, sebagaimana nyata di dalam
Perlembagaan PAS.
Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga seorang ulama yang tekun menyebar aqidah Islam dan bertegas terhadap semua idealogi asing.
Pemergian
Almarhum telah meninggalkan tapak kukuh dan jasa yang mesti
dilangsungkan oleh generasi Islam hari ini dengan itqan sebagaimana
telah diteladaninya.
Antaranya untuk melaksanakan Enakmen Syariah dalam perundangan negeri Kelantan, menjadi amanah dan warisan yang wajib disambung.
Semoga roh Almarhum berbahagia di sisi Allah dan dipertemukan dengan roh Rasulullah yang dicintanya sepanjang hidup.
Saya
merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta para pendukung
dan penyokong PAS semoga kita redha dan sama-sama bersabar menghadapi
saat-saat sukar ini.
DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !