Oleh NUR FATIHAH ABDULLAH
DALAM era yang serba moden dan canggih kini, kita sering alpa tentang
tanggungjawab sebagai
seorang hamba kepada Tuhan Yang Esa. Tugas
manusia bukan hanya pada duniawi sahaja
tetapi kita mempunyai satu hala tuju dan matlamat yang sama iaitu
kembali kepada fitrah semula jadi sebagai seorang khalifah yang membawa
satu amanah yang mulia di muka bumi yang penuh dengan cabaran dan
dugaan.
Allah tidak menciptakan manusia dengan sia-sia
melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan meneruskan perjuangan
bagi menegakkan syiar Islam. Mutakhir ini, ramai manusia tewas dengan
godaan duniawi yang tiada kesudahan.
Mereka lebih mementingkan
keseronokan dunia yang sementara sedangkan alam akhirat adalah alam yang
kekal abadi yang akan menentukan sama ada manusia itu akan mendapat
tempat yang tertinggi di sisi Tuhan ataupun sebaliknya.
Kurangnya pengetahuan dan kesedaran terhadap maksud dan tujuan sebenar kehidupan, mendorong mereka kepada kancah moral.
Antara kesan jelas adalah bertambahnya jumlah kes pembuangan bayi,
gejala penyalahgunaan dadah, ajaran sesat, sumbang mahram, pembunuhan
dan banyak lagi. Perkara ini yang sering kali menjadi tatapan kita di
dada akhbar bahkan telah menjadi satu isu yang entah bila akan berakhir.
Golongan ini menganggap bahawa dunia merupakan medan bagi mencari
keseronokan dan kebebasan sedangkan Allah menitipkan dalam diri setiap
anak Adam itu satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh
keikhlasan dan pengabdian berpandukan al-Quran dan hadis. Kedua aspek
ini penting untuk memandu manusia ke jalan yang diredai Allah selari
dengan hukum yang telah ditetapkan sejak azali lagi.
Allah
mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. untuk memimpin manusia daripada
kegelapan kepada cahaya. “Tidak aku utuskan kamu wahai Muhammad
melainkan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam.” (Surah Al-Anbia,
ayat 107)
Allah mengurniakan manusia akal fikiran untuk memberi
peluang bagi menilai sesuatu perkara sama ada akan memberi kebaikan
ataupun sebaliknya. Justeru, sebagai seorang Muslim kita patut bersyukur
dengan kurniaan yang tidak ternilai itu.
Inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan.
Betapa Allah amat mengasihi hamba-Nya dengan memberikan segala bentuk
kebaikan walaupun terkadang kita sering melakukan sesuatu yang di luar
kewarasan akal fikiran manusia.
Pengabdian kepada Yang Maha Esa
merupakan wadah yang utama kepada seluruh umat Islam untuk mendapatkan
keredaan Allah dalam kehidupan yang kekal selama-lamanya iaitu alam
akhirat.
Dunia hanyalah tempat percubaan untuk mengetahui tahap
keteguhan iman kepada Allah. Dengan pengabdian diri terhadap Allah di
dunia, maka akan cemerlanglah kehidupan di alam akhirat kelak.
>> Penulis adalah siswi USIM
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !