KES wabak denggi
di negara ini nampaknya masih berlarutan dan tiada tanda-tanda yang
jumlahnya
akan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.Paling membimbangkan keadaan itu boleh membuatkan populasi nyamuk berkenaan meningkat dalam tempoh tersebut.
Perkara itu diberitahu sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang siarkan oleh akhbar ini tiga hari lalu.
Membaca kenyataannya itu Dr. Noor Hisham turut memaklumkan suhu panas akan menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi serta penyebaran virus denggi akan lebih meluas.
Yang pasti, El-Nino boleh menyebabkan hujan semakin kurang dan apabila hujan semakin kurang sudah tentu bekalan air kepada pengguna akan terjejas.
Pada kebiasaannya jika berlaku kekurangan bekalan atau bekalan terputus, pengguna akan mengambil air yang dihantar oleh syarikat bekalan air kemudian menakungnya untuk menampung keperluan seharian mereka.
Isunya sekarang, takungan air tersebut sekiranya dibiarkan begitu sahaja atau tidak diperiksa setiap hari boleh menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes.
Mungkin ramai masyarakat yang tidak sedar tentang perkara itu hingga menyebabkan kes denggi meningkat dari semasa ke semasa.
Oleh itu, setiap pemilik rumah di negara ini perlu lebih bertanggungjawab dengan melakukan pemeriksaan berkala terhadap semua takungan air di sekeliling kawasan rumah terutama pasu-pasu bunga atau kolah supaya mereka menghapuskan segera jentik-jentik aedes sekiranya ada.
Setiap ahli masyarakat perlu lebih berperanan dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab menghapuskan nyamuk aedes di atas bahu kerajaan semata-mata.
Sekurang-kurangnya mereka menyembur rumah masing-masing dengan penyembur nyamuk pada setiap waktu pagi dan senja kerana pada kedua-dua waktu itu nyamuk aedes aktif.
Begitu juga dengan peranan jawatankuasa penduduk atau komuniti dalam satu-satu penempatan.
Mereka seharusnya menggerakkan usaha itu secara lebih bersepadu dalam bentuk gotong-royong dengan turut melibatkan kerjasama semua pihak supaya tempat pembiakan nyamuk aedes dapat dimusnahkan dengan lebih berkesan.
Jawatankuasa penduduk atau komuniti yang saya maksudkan bukan hanya membabitkan taman-taman perumahan sahaja malah perlu melibatkan kumpulan komuniti di kampung hinggalah kawasan setinggan.
Mereka perlu bergabung tenaga mencari tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes antaranya pusat pembuangan sampah dan kemudian memusnahkannya dengan segera.
Tin-tin kosong, pasu-pasu bunga, tayar dan tong-tong kosong adalah contoh tempat yang sering dijadikan sasaran oleh nyamuk aedes untuk membiak.
Kekerapan mengadakan gotong-royong perlu dipertingkatkan agar risiko berlakunya demam denggi dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.
Di peringkat kerajaan pula sudah pasti Kementerian Kesihatan perlu terus membuat semburan fogging di kawasan berlakunya kes denggi selain meningkatkan pemeriksaan khususnya di tapak-tapak pembinaan.
Berdasarkan angka terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 3,337 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,511 kes pada minggu sebelumnya (minggu akhir tahun 2015) iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus.
Peningkatan kes tersebut melibatkan 13 negeri iaitu Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Perlis, Sabah serta Perak.
Pernah disiarkan pada Jun tahun lalu, berita tentang jumlah kematian akibat denggi yang meningkat 100 peratus pada bulan berkenaan berbanding tempoh sama tahun 2014.
Meskipun berita itu telah disiarkan lebih tujuh bulan lalu namun semua pihak perlu mengambilnya sebagai peringatan memandangkan implikasi denggi amatlah besar iaitu sehingga boleh membawa kematian.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berpadu tenaga menghapuskan aedes.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !