Headlines News :
Home » » Enakmen Jenayah: Tidak timbul isu perangkap

Enakmen Jenayah: Tidak timbul isu perangkap

Written By zabidi on Monday, 23 March 2015 | 23:29

Oleh NASRUDIN HASSAN

Sebahagian pihak bersikap prejudis terhadap Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac 2015 yang lalu. Sedang ia adalah satu langkah murni Kerajaan negeri Kelantan kearah melaksanakan Syariat Allah swt sebagaimana perintah Allah swt:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (Surah Al Maaidah: 49)

Tidak kurang juga pihak yang berlapik alas bahawa mereka tidak bersetuju Private Members Bill (PMB) dikemukakan ke Parlimen bagi membolehkan Syariat Islam dapat dilaksanakan di negeri Kelantan khasnya kerana ia adalah jerat dari Umno dan apabila PAS mengambil sikap yang tegas untuk terus mengambil perjalanan bagi membolehkan Syariat Islam yang tertangguh sejak 1993 dapat dilaksanakan, mereka anggap PAS telah masuk perangkap Umno.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS telah menegaskan bahawa tanggungjawab PAS memperjuangkan Islam dan berusaha untuk memastikan Syariat Islam ini dapat dilaksanakan di bumi bertuah ini. Tugas dan tanggungjawab PAS membentangkannya di Parlimen. Sementara PMB adalah mekanismenya.

Adapun persoalan berapa ramai Ahli Parlimen yang akan menyokong dan Ahli Parlimen mana yang tidak menyokong adalah persoalan kedua. Kita mendoakan agar Allah swt memberi hidayah-Nya kepada ahli-ahli Parlimen untuk menyokong PMB yang bakal dikemukakan.

Tidak timbul isu jerat dan perangkap. Sebaliknya kita senantiasa berhati-hati kerana memahami bahawa jerat dan perangkap musuh sememangnya dipasang pada bila-bila masa malah sejak awal Islam diperjuangkan. Kita juga mohon pedoman dan pandu arah dari Allah swt agar meloloskan kita dari perangkap yang dimaksudkan.

Namun, kita tidak boleh berhenti dari berjuang dan berusaha untuk mendaulatkan Syariat Islam ini semata-mata kerana menyedari ada perangkap yang dipasang.

Jerat dan perangkap musuh ini bukan perkara baru. Ia telah dipasang di sepanjang jalan perjuangan Islam ini sejak hari pertama ia digerakkan oleh Nabi s.a.w. Kita semua tahu bahawa Nabi saw tidak pernah berhenti dari berjuang, sebaliknya terus mencari jalan agar Islam dapat didaulatkan.

Kini kita punya sedikit ruang untuk membentangkan PMB di Parlimen maka ruang itu dimanfaatkan. PAS tidak rugi apa-apa dalam isu PMB ini. Jika ianya disokong maka Alhamdulillah, hasrat PAS berjaya.

Jika ia tidak disokong, maka sekurang-kurang PAS telah menunaikan tanggungjawab membawanya ke Parlimen sebagai tempat membuat dan meluluskan undang-undang dalam negara ini dan Insyaallah PAS tidak akan berhenti di situ.

Kita telah bersedia untuk membawa PMB bagi membolehkan Akta 355 dipinda dengan sokongan simple majoriti Ahli Parlimen.

Sehubungan dengan itu, kuasa mahkamah syariah diperluaskan dan membolehkan sebahagian hukum Syariat Islam dapat dilaksana. Sama-sama kita doakan agar Allah swt buka pintu hati ahli-ahli parlimen untuk menyokong khasnya dari kalangan ahli parlimen muslim tanpa mengira dari parti mana ia wakili.

Kita tidak boleh menanti semua orang berjanji mahu menyokong, barulah kita mahu membentangnya kerana kita tidak tahu sampai bila untuk semua ahli parlimen boleh berjanji untuk menyokongnya.

Saya setuju langkah PAS untuk bentangkan terlebih dahulu PMB di Parlimen bagi sessi Mac-April ini. Sekurang-kurangnya untuk bacaan kali pertama. Insyaallah bacaan kali kedua boleh dibuat pada sidang akan datang. Ianya perlu di bawa ke Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen kita mengemukakan hujjah, berbahas dan menerima hujah balas lalu memberikan pencerahan yang wajar di Dewan Rakyat tempat menggubal undang-undang.

Harapan kita setelah hujjah kita didengar oleh mereka sama ada muslim atau non muslim, terbukalah pintu hati mereka untuk menerima Syariat Islam yang indah ini.

Kalau kita tidak membentangnya, ertinya tertangguh lagi hasrat pelaksanaan Syariat Allah swt di bumi Kelantan yang telah kita kuasai sejak 1990 yang lalu. Sehabis daya kita mahu menghormati dan mengambil ruang demokrasi bagi membolehkan Syariat Islam ini dapat dilaksanakan.

Kita masih menaruh harapan pada ruang demokrasi negara untuk memberi laluan kepada hasrat pelaksanaan Syariat Islam sementara ruang masih terbuka. Sungguhpun begitu, perjuangan Islam ini tidak akan berhenti di sini kiranya pintu demokrasi ditutup atau demokrasi tidak berlaku adil terhadap Islam.

Terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa tidak Umno sahaja yang membawa usul pindaan Akta 355 itu ke Parlimen jika mereka ikhlas mahu menyokong EKJS II sebagaimana ucapan wakil UMNO di Dun Kelantan baru-baru ini. Benar! Begitulah selayaknya.

Namun kita tidak boleh menunggu Umno buktikan keikhlasan mereka apatah lagi untuk kita bergantung kepada keikhlasan mereka. Wallahu a'lam, bagaimana pendirian Umno sekarang terhadap Syariat Islam setelah mendengar ucapan wakil Umno di Dun Kelantan tempoh hari, tetapi berdasarkan rekod lama mereka, PAS tidak boleh bergantung harap kepada mereka. Sementelah perlaksanaan Syariat Islam ini adalah perjuangan kita, bukan perjuangan mereka.

Insyaallah, apa yang saya mahu tegaskan dalam risalah yang agak panjang ini ialah:

a) PAS tidak rugi apa-apa jika membawa PMB ke Parlimen. Andai ia disokong, Alhamdulillah kita berjaya. Andai ia ditolak maka kita telah berusaha.

b) PAS tidak boleh lengah dan tangguh setelah sekian lama EKJS II 1993 diluluskan di Dun Kelantan, sementara dunia dan masyarakatnya sangat memerlukan Syariat Islam.

c) PAS wajar mengambil kesempatan terbaik atas ruang yang dibuka dan mengharapkan semua ahli parlimen khasnya yang beragama Islam memberi sokongan.

Adapun Pakatan Rakyat boleh terus utuh dengan rakan tahaaluf menghormati PAS untuk mengangkat dasar perjuangannya. Sekurang-kurangnya pihak yang tidak bersetuju dalam DAP atau PKR boleh mengambil kaedah "bersetuju untuk tidak bersetuju" bukan mengugut dan bertindak menyingkir. -

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU