الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام , وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على سيدنا محمد
نبي الرحمات, وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات.
Mukaddimah
Yang
dihormati Dato’ Pengerusi Tetap, Sahibul Fadhilah Dato’ Timbalan
Mursyidul ‘Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan
Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan
Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh
Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat,
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah
Muktamar dan Ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari
Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para
jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.
Selamat
datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan-rakan
seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang
sudi bersama kami dalam muktamar kali ini di Ayer Itam, Batu Pahat,
Johor.
Muktamar pada kali ini juga ingin mengambil kesempatan
untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada
seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat hilang
MH370 dan MH17 yang dibedil oleh pihak yang sangat tidak
bertanggungjawab. Seluruh ahli dan kepimpinan PAS melahirkan kesedihan
dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa bersabar dan tabah
dengan ujian ini. Kita juga mendesak pihak berkuasa kerajaan Malaysia
supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam
tragedi negara yang sangat mengejutkan itu.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,
Muktamar
yang ke - 60 pada kali ini bertandang ke negeri Johor. Di sini lah pada
awal 1920 bermulanya pengaruh Sarekat Islam apabila Haji Ibrahim Sidin
dari Singapura menggerakkan penubuhan cawangan Sarekat Islam di Johor
dalam keadaan masyarakat Islam menunggu lahirnya sebuah gerakan Islam
dalam negara kita ini.
Bagi mengingatkan semua di kalangan
pendukung parti ini, maka kita bermuktamar pada hari ini dengan tema
Terus Beristiqamah. Kita ingin menyahut seruan Allah SWT :وَأَنَّ هَذَا
صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ
فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ . (الأنعام :153).
Dan sesungguhnya inilah jalan ku
yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan
yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya
(yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu,
supaya kamu bertaqwa (kepadanya).
Istiqamah dalam perjuangan
kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan,
menerima amanah dari Allah SWT, dan seterusnya bersama kumpulan Islam
menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita
beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan
kita.
TERUS BERISTIQAMAH
Berasaskan kepada keyakinan
terhadap teras perjuangan PAS inilah maka kita melafazkan rasa penuh
syukur kepada Allah S.W.T. yang meletakkan kita dalam wadah Parti Islam
SeMelaysia (PAS), di mana sejarah penubuhannya menjadi mata rantai
perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Kita
sama-sama memahami dan meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk
Allah yang tidak boleh dipadamkan, maka selagi kita beristiqamah
(konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya yang ditetapkan oleh
Allah dan ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita
tetap berada di pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup
yang teguh. Maka kita akan selamat di dunia dan akhirat, walau pun
menghadapi keadaan rebah dan bangun, kalah dan menang, serta belum
dilihat hasilnya di alam dunia ini.
Kita juga difitnahkan oleh
berbagai golongan tertentu untuk mencalarkan Islam yang sebenarnya,
walaupun Islam itu adalah paling sempurna dan murni. Fitnah itu sama ada
daripada musuh luar yang mewarwarkan sementara waktu agenda Islamofobia
atau menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan kelompok jahil
yang bersemangat tinggi melalui dalaman umat Islam sendiri. Semuanya
akan gagal kerana mukjizat ilmu dari al-Quran dan Sunnah adalah tetap
terpelihara dengan rapi dan amanah.
Islam yang kita imani dan
hayati ini adalah dari petunjuk al-Quran (Kalam Allah) dan arahannya,
supaya mengikut penafsiran Rasulullah S.A.W. yang dipilih oleh Allah
bukan dipilih oleh kita. Manakala ilmu serta kebijaksanaan yang diwarisi
pula adalah secara benar dan amanah oleh para ulama muktabar.
Bagi
mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita
wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang
digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang
tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL
serta IJMA’ ULAMA dan QIYAS. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi
makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, samada dalam aspek
politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang
tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan
konsep Tafaqquh Fi al-Din.
Para pemimpin yang terdahulu daripada
kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi
nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan
Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan
Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas. Semuanya
wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di
semua peringkat.
Sepanjang perjalanan PAS sejak ditubuhkan
sehingga kini, denai yang kita ikuti adalah penuh dengan ujian dan sarat
dengan pengalaman. Kita bermula daripada sifar, kita pernah menjadi
pembangkang paling sedikit jumlahnya, kita pernah menjadi kuat, kita
pernah menyertai kerajaan pusat dan kita juga sedang memerintah kerajaan
negeri.
PAS pernah bersendirian dan bertahaaluf dengan pihak
lain dalam kerajaan dan tanpa kerajaan. Dalam semua keadaan ini PAS
tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasarnya
yang kukuh dan matlamatnya yang nyata. Hanya mereka yang beristiqamah
bersama PAS sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh
berguguran di sepanjang perjalanan kita. Maka jangan ada orang yang
merasakan dirinya cukup kuat, tidak bijak tidak sabar dalam perjuangan,
merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan
matlamat perjuangan kita.
Sepanjang perjalanan perjuangan ini
juga, ada di kalangan ahli yang hidup selesa dengan kegiatan Parti yang
mengembirakan kerana bersama pengikut yang ramai, dan organisasi jamaah
yang baik dan kuat. Ada pula ahli yang disisihkan di tengah masyarakat
paling jahil dan zalim terhadapnya, cawangannya lemah atau tanpa
cawangan.
ISTIQAMAH TERHADAP DISIPLIN ILMU DAN TARBIYAH
Kita
mestilah meletakkan agenda ilmu dan beramal dengan ikhlas, bersama
konsep tarbiyah yang sangat penting dalam parti. Tarbiyah mendidik diri
masing-masing dengan ilmu dan kefahamannya, mengeratkan hubungan kita
dengan Allah, hubungan dengan jamaah sendiri dan ahli, hubungan dengan
semua kumpulan Islam dan anggota masyarakat majmuk yang wajib
diselamatkan bersama Islam dengan rahmat Allah dan adilnya.
Tarbiyah
mengikut acuan Allah ialah, ilmu fardu ain dalam aspek aqidah, syariat
dan akhlak secara menyeluruh menjadikan kita beristiqamah. Ilmu dan
amal yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan muslimah, ilmu
yng diimani dan diamalkan, serta diperjuangkan demi menegakkannya dengan
penuh keikhlasan. Ada pun mendalami Islam secara feqah dan semua ilmu
keperluan duniawi berpandukan Islam adalah menjadi fardu kifayah bagi
kewajipan yang memampukan kita melaksanakan risalah (mesej) rahmat Islam
terhadap semua.
Kita telah berjaya menggabungkan semua kalangan
ilmuan ini sejak mula ditubuhkan, sehingga PAS kaya dengan semua
kepakaran terkini. Namun peningkatannya wajib dilakukan dalam semua
aspek ilmu dan tarbiyah secara istiqamah. Untuk mendapat petunjuk dari
Allah S.W.T. maka kita wajib memohon pertolongan Allah pada setiap
rakaat salat:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهدِنَــــا
الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ
المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
ISTIQAMAH PAS DALAM MUWAJAHAH SILMIYYAH
Kita
berada dalam bahtera negara yang sangat mencabar, bukan sahaja
dikelilingi gelombang hubungan antara bangsa yang sangat bergelora,
bahkan keadaan dalam negara ini sendiri yang sangat bercelaru, kerana
tidak diurus dengan baik dan bijak. Walau pun begitu PAS tetap tegas
memilih pendekatan muwajahah silmiyyah bersama konsep demokrasi walau
pun banyak ketempangannya. Apa yang nyata ialah kita menghadapi
kelemahan dalaman umat sendiri dan tanahair tempat kita berpijak, sangat
berbeza dengan musuh asing yang datang menyerang dan menjajah. Inilah
sabda Rasulullah S.A.W :
مَثَلُ القَائِمِ في حُدودِ اللَّه،
والْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سفينةٍ فصارَ بعضُهم
أعلاهَا وبعضُهم أسفلَها وكانَ الذينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا
مِنَ الماءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا
خَرَقْنَا في نَصَيبِنا خَرْقاً وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ
تَرَكُوهُمْ وَمَا أَرادُوا هَلكُوا جَمِيعاً، وإِنْ أَخَذُوا عَلَى
أَيْدِيهِم نَجوْا ونجوْا جَمِيعاً". رواهُ البخاري.
(Bandingan orang
yang tegak di atas sempadan Allah dengan orang yang (MELAMPAU)
menceroboh ke dalamnya laksana satu kumpulan yang menaiki kapal bahtera.
Maka ada kalangan berada di atas dan ada kalangan yang berada di
bawah. Jadilah kalangan berada di bawah itu kalau memerlukan air
terpaksa melalui kalangan yang berada di atas mereka. Lalu mereka
berkata : “Kalau kita tebukkan sahaja kapal ini tanpa mengganggu sesiapa
yang ada di atas kita ?. Kalau dibiarkan kapal ditebuk (oleh pengacau)
mengikut kemahuan itu, nescaya semuanya binasa (tenggelam), kalau
dihalangnya daripada menebuk kapal, nescaya semuanya selamat”).
Di
sinilah PAS beristiqamah sehingga kita bersyukur apabila mencapai
kejayaan walau pun sedikit peluang dan masanya, dan bersabar apabila
belum mencapai kejayaan kerana banyak halangannya. Namun PAS tidak
menjadikan rakyat yang lemah sebagai mangsa yang disalahgunakan untuk
mendapat kuasa, atau sama ada kerana ingin menang dengan gopoh, atau
tidak bersabar menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga
sanggup melakukan apa sahaja, walau pun rakyat yang lemah menjadi mangsa
ditipu, dibeli dan dikacau atau tanahair ini menjadi bahtera yang
ditenggelamkan.
Ahli-ahli PAS wajib teguh dan bersabar walau
pun terpaksa menghadapi kesulitan perjalanan yang jauh kerana amalan
demokrasi yang tidak adil dan berdepan dengan rakyat yang jahil ilmu dan
maklumat. Cabaran ini semua wajib dihadapi dengan istiqamah dan
bersabar dengan penuh kebijaksanaan.
Perjalanan yang sangat
mencabar ini, sebenarnya membersihkan Jamaah Islam seperti PAS daripada
anasir hipokrit dan yang lemah imannya, dari individu yang tidak sabar
dalam tindakan sehingga tidak istiqamah dalam perjuangan ini. Mereka
sebenarnya adalah golongan yang tidak sabar dalam perjuangan. Marilah
kita menghayati firman Allah:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا
قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ
وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ
يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Kalau
yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan
perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu dengan
ramai, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.
Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ""Jika kami sanggup tentulah
kami berangkat bersama-samamu"" Mereka membinasakan diri mereka sendiri
dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang
yang berdusta. [at-Taubah: 42]
MEMAHAMI IJTIHAD PAS: ISTIQAMAH DALAM TAHAALUF SIYASI
Sejarah
perjuangan panjang PAS dalam persada politik tanahair bukan sahaja
membekalkan kepada kita ilmu bahkan pengalaman yang tidak banyak
diperolehi oleh gerakan Islam lain. Penglibatan PAS dalam sistem
demokrasi memberi ruang kepada kita untuk melebar sayap pengetahuan
tentang sistem politik Islam kepada rakan-rakan gerakan Islam lain di
seluruh dunia. Manakala pengalaman kita mengadakan pelbagai tahaaluf
dengan hampir semua parti politik utama dalam negara sejak tahun lima
puluhan lagi, dan terkini tahaaluf bersama Pakatan Rakyat, di samping
penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)di kalangan bukan Islam,
adalah merupakan khazanah kekayaan sistem politik Islam yang sangat
mahal harganya.
Tahaaluf yang dilaksanakan ini mestilah
memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya. Amat malang bagi kita
sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita,
mengkucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran
sanggup berlawanan sesama sendiri.
Kerjasama politik bukan
bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain,
sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran
kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar
parti bagi pelaksanaan Islam. Matlamat kemenangan mesti digunakan bagi
memperteguhkan prinsip Islam yang bersifat syumuliyyah.
Saya
ingin mengingatkan pimpinan dan ahli parti, bahawa perjuangan kita
adalah kerana Allah. Perjuangan kita kerana Islam, perjuangan kita
adalah mata rantai sejak zaman Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mestilah
berada di atas landasan syarak dan memperolehi pahala di sisi Allah.
Bukan sekadar politik biasa sebagaimana yang difahami oleh Barat. Paksi
perjuangan kita mestilah teguh dan kukuh kerana ianya berpaksikan kepada
aqidah tauhid.
Inilah keindahan siyasah Islam kerana
membenarkan tahaaluf antara mana-mana golongan yang tidak memusuhi
Islam. Prinsip tahaaluf ini membuktikan Islam bukanlah agama ekstrem
sebagaimana yang dijaja oleh media barat. Sebagai sebuah gerakan yang
berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, maka setiap langkah tahaaluf kita
mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaaluf
yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan
Islam. Firman Allah,
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ
تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ
اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : “Bertolong bantulah kamu dalam
kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara dosa
dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah
amat berat siksa-Nya” [al-Maaidah : 102]
Oleh yang demikian,
dengan merujuk kepada syarat-syarat tahaaluf yang diputuskan oleh Majlis
Syura Ulama PAS serta hukum tertinggi PAS, maka PAS akan terus
istiqamah dengan tahaaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat (takbir) selama
mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan (takbir).
Justeru Nabi Muhammad saw telah mengajar kita:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا, او أحل حراما
“Seorang
muslim wajib menunaikan persyaratan yang telah disepakati kecuali
persyaratan yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.”
(HR. Muslim)
Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah
khianat kepada rakan tahaaluf kita, maka kita minta rakan tahaaluf kita
juga tidak mengkhianati tahaaluf ini. (takbir) Sebagai sebuah parti
politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum
ianya dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan
bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai UMNO atau bergabung dengan
UMNO menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah
belahkan keutuhan jamaah kita. Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang
membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam
dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali
Allah.
PAS juga tetap menghubungkan silaturrahim dengan semua
pihak berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu
membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana
demi kebaikan dan masa depan ummat Islam Firmah Allah:
وَاعْتَصِمُواْ
بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ
اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ
فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ
مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ
آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpeganglah kamu semuanya
kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan
ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah)
bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu
karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada
di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.
Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat
petunjuk. [al-Imran : 103]
ISTIQAMAH DALAM MENYANTUNI MASYARAKAT MAJMUK
Walau
pun tanahair kita ini mempunyai sumber alam kurnia Allah yang kaya
raya, tenaga manusia masyarakat majmuk berbagai kaum, budaya dan
kebolehan, namun ianya masih diolah dengan cara yang salah oleh
kepimpinan negara kita. Sepatutnya dengan sumber-sumber yang ada dan
kemampuan yang tersedia, ianya akan membolehkan kita merdeka dari
berkiblatkan kepada timur dan barat. Tetapi apabila ianya tidak
dimanfaatkan dengan cara yang betul, maka sumber yang berfaedah itu
menjadi sia-sia dan masa sudah lama terbuang, walau pun dikatakan
merdeka daripada penjajahan asing sejak lebih daripada setengah abad
mempengaruhi kita.
Inilah akibatnya apabila kita masih meneruskan
agenda penjajah yang dijadikan pusaka oleh kalangan tertentu yang masih
bertapak mempertahankan kuasa dengan apa sahaja tanpa melakukan
perubahan dan islah walau pun tanpa maruah diri kerana sarat dengan
kesalahan dan kelemahan. Akhirnya kita berterusan berada dalam kepompong
sistem warisan penjajah walau pun bebas daripada penjajah ketenteraan
dan imperialis asing, namun kita masih dibelenggu dengan penjajahan
pemikirannya.
Masyarakat majmuk yang sengaja diatur oleh penjajah
dahulu adalah bertujuan untuk meneruskan masalah perpecahan kaum yang
sentiasa diapi-apikan, bagi mengekalkan peluang mereka menjajah lagi
secara halus. PAS menerima kepelbagaian masyarakat dalam negara kita ini
sebagai jalan untuk saling kenal mengenal dan memperkuatkan di antara
satu sama lain. Sepatutnya kita berpegang kepada konsep berbagai kaum
yang ditunjuk oleh Al Quran:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا
خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ
عَلِيمٌ خَبِيرٌ
(Wahai manusia !, Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami
jadikan kamu berbangsa -bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenalan
di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia kalangan kamu
di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa (mentaati Allah).
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam
pengetahuannya) [al-Hujurat : 13].
Islam juga memperkenalkan
konsep masyarakat madani secara sejagat, dalam amalan politik, ekonomi
dan social, dengan ilmu dan berakhlak tanpa paksaan dalam perkara agama
dan budaya dan saling mengerti. Kita juga sedar bahawa ada perbezaan
bangsa dan agama serta pertembungan budaya dan tamadun di antara satu
sama lain, tetapi Islam berjaya menyelesaikan masyarakat majmuk melalui
pendekatan banyaknya titik persamaan dari segi fitrah kemanusiaan dan
keperluan hidup bermasyarakat.
Di antaranya ialah
memperkenalkan konsep adil terhadap semua yang menjadi ciri ketakwaan
dalam ajaran Islam yang meninggikan martabat manusia di sisi Allah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ
لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى
أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ
اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang
beriman, Jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan
kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali dengan
sebab kebencian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku
adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan mendalam apa-apa sahaja
yang kamu kerjakan [al-Ma’idah : 8]
Sebab itulah kedatangan Islam
ke negara lain dinamakan Futuhat (pembukaan untuk pembebasan daripada
kezaliman), bukannya Isti’mar (penjajahan). Kerana pemerintah Islam
tidak memperhambakan rakyat dan merampas harta rakyat dan harta negeri
yang dikuasai, konsep yang sangat berbeza dengan penjajahan
(Imperialisme) yang dilaksanakan oleh penaklukan barat terhadap negara
lain, dan kerajaan zalim daripada bangsa sendiri.
ISTIQAMAH TERHADAP PRINSIP DALAM BERNEGARA
Islam
juga telah memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia yang maju pada
hari ini dengan mengambil segala yang baik dan positif daripada tamadun
semua bangsa sebelumnya yang bertembungan, bertukar kepada pertautan
dengan konsep menerima segala yang ma’aruf dan menghapuskan segala yang
mungkar dalam seluruh kehidupan manusia, serta mencari dan mengekalkan
kebijaksanaan kaum lain, walau pun daripada kalangan bukan Islam, kerana
sabda Rasulullah S.A.W :
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها فهو أحق بها
ابن ماجه
Kebijaksanaan
itu laksana barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di
mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak (mengambilnya).
Islam
tidak memaksa perkara yang haram dalam ajaran Islam terhadap pihak lain
dan mereka juga diwajibkan menjaga sensitiviti umat Islam. Amalan
menghormati agama lain ini telah berlaku dalam masyarakat Islam terhadap
bukan Islam sehingga kini. Hal ini dapat difahami oleh penganut Islam
yang sebenar walau pun dalam keadaan negaranya tidak beramal dengan
syariat Islam yang sempurna.
Di zaman Islam menjadi kuasa besar
dunia, berbagai bahasa termasuklah bahasa Arab, Turki, Farsi, Urdu
pernah menjadi bahasa rasmi negara berkenaan, bahkan bahasa Melayu
tulisan jawi menjadi bahasa rasmi alam Melayu. Tamadun Islam pula
berjaya ditegakkan dengan kemajuan ilmu semasa. Mengapa kini kita tidak
mampu memperkasakan bahasa Melayu yang hanya diisytiharkan menjadi
bahasa kebangsaan, tetapi dalam pelaksanaannya dipinggirkan? Walau pun
bahasa ini telah menjadi bahasa perantaraan di rantau ini. Ini adalah
salah satu contoh kegagalan kerajaan yang ada ini setelah memerintah
lebih dari setengah abad.
Apa yang sepatutnya berlaku ialah,
bahasa asing ini digunakan untuk mendapat dan memperluaskan ilmu, dan
bukannya dipaksakan ke atas semua rakyat. Ada pun mengilmukan rakyat
hendaklah dengan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda kaum masing-masing.
Firman Allah:
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ
لِّلْعَالِمِينَ
(Dan di antara tanda-tanda (ketuhanan Allah) ialah
ciptaan langit dan bumi, dan berbagai-bagai bahasa dan warna kalangan
kamu. Sesungguhnya itu semua adalah menjadi dalil-dalil yang
ditunjukkan kepada orang-orang yang berilmu) [ar-Rum : 22]
Islam
juga mengharamkan assobiyyah. Assobiyyah bermakna taksub terhadap kaum
dan bangsa sendiri walau pun berlaku zalim. Perkara ini ditegaskan oleh
sabda Rasulullah S.A.W.
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ،
وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ
مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ» سنن أبي داود (4/ 332).
(Bukan daripada
kalangan kita orang yang mengajak kepada asobiyyah, bukan daripada
kalangan kita orang yang berperang diatas dasar asobiyyah dan bukan
daripada kalangan kita orang mati kerana asobiyyah).
ISTIQAMAH MERUBAH KONSEP YANG SALAH
Pemisahan
agama daripada urusan kehidupan manusia (way of life) dengan sistem
pelajaran, pendidikan dan media maklumat adalah merupakan satu konsep
ciptaan sekularisma barat yang tidak mampu menangani pekembangan ilmu
sains dan teknologi yang berlaku dalam tamadun barat di waktu ini.
Dasar,
sistem dan konsep pendidikan sedia ada pula masih gagal membangun insan
yang sebenar, kerana membekal ilmu tanpa roh, iman dan akhlak. Semuanya
kerana melaksanakan sistem pendidikan mengikut acuan sekularisme yang
memisahkan ilmu daripada iman dan akhlak, dunia dan akhirat. Urusan
keduniaan dipisahkan daripada agama. Pada hal Allah telah meletakkan
acuannya dalam wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W.
اقْرَأْ
بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2)
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4)
عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (العلق:1-4).
Bacalah
dengan nama Tuhan mu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan
manusia daripada segumpal darah (campuran mani lelaki dan perempuan).
Bacalah dengan nama Tuhan mu Yang Paling Mulia. Dia telah mengajar
manusia dengan kalam (alat tulis). Dia telah mengajar manusia apa-apa
yang manusia tidak tahu. [al-‘Alaq : 1- 4]
Allah Tuhan pencipta
alam seluruhnya, mencipta manusia dengan sifat fitrah yang diletakkan di
alam bumi dengan tugas hamba Allah yang memakmurkannya dengan rahmat
dan adil. Allah juga telah menetapkan kepada manusia, acuan ilmu yang
mentarbiyah mengikut fitrahnya, disertakan kemampuan dan panduan yang
betul. Konsep dan sistem yang menghubungkan manusia sesama mereka dan
juga dengan makhluk yang lain di alam langit dan bumi, berprinsipkan
iman kepada Tuhan pencipta alam dan beriman kepada adanya hari akhirat.
Kemusnahan
semua kuasa besar yang paling kaya, kuat dan maju adalah apabila
terkeluar daripada acuan Allah yang dibawa oleh para Rasul a.s. Maka PAS
wajib beristiqamah di atas acuan Islam, tanpa peduli sama ada orang
lain percaya atau tidak.
Apa yang paling menyedihkan kita ialah,
di atas sifat gagalnya kita mendalami khazanah sumber Islam yang kaya
itu, maka ada di kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa ideologi
ciptaan manusia seperti komunisme, sekularisma, sosialisma, kapitalisma
dan seumpamanya ini sebagai tidak bersalahan dengan panduan al-Quran dan
Sunnah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, maka PAS mestilah menjadi
benteng umat Islam dari dirosakkan oleh penularan ideologi ciptaan
manusia dari bercambah dalam masyarakat kita ini.
ISTIQAMAH MEMPERJUANGKAN SYARIAT ALLAH
Ketidak
stabilan politik, ekonomi dan sosial berlaku apabila adanya manusia
yang berlagak Tuhan yang maha suci daripada segala kelemahan dan
kekurangan. Keadaan ini berlaku apabila acuan sekularisma menjadikan
kefahaman bahawa urusan dunia dipisahkan daripada agama yang meletakkan
aspek kuasa Allah dan adanya kepercayaan hari akhirat dengan perhitungan
dosa dan pahala.
PAS mengajak seluruh manusia dan umat Islam
secara khusus supaya kembali kepada Syariat Islam yang sempurna tanpa
kongkongan terhadap akal, pengalaman dan kajian ilmu kurnia Allah kepada
mereka.
Islam menggalakkan kepada menggunakan akal, menuntut
ilmu dan membuat kajian di seluruh pelosok bumi dan angkasa lepas, namun
Allah yang memberi rahmatNya melimpah ruah terhadap manusia tidak
membiarkan mereka hanyut dengan sebab kelemahan makhluk yang tetap ada
pada diri mereka. Maka kitab Allah yang dibawa kepada umat ini iaitu Al
Quran, adalah kurnia Allah yang wajib menjadi petunjuk yang diimani dan
diamalkan. Hanya orang-orang yang beristiqamah sahaja menerima petunjuk
ini. Firman Allah:
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللّهُ
النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ
بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا
اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ
الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا
اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء
إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Manusia itu adalah umat yang satu.
(Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai
pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan
bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara
manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih
tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka
Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang
nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk
orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka
perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk
orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.
Berasaskan
kepada hakikat inilah, maka PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan isu
syariat Islam, termasuklah juga isu-isu pendidikan dalam negara kita,
isu hubungan federalism yang lebih adil, pengagihan kekayaan dan sumber
negara secara lebih adil, isu royalti petroleum ke negeri-negeri yang
berterusan menjadi agenda penting, memupuk perpaduan kaum, dan menolak
undang-undang yang bersifat zalim dan menindas. Agenda-agenda ini akan
diteruskan menerusi Lajnah-Lajnah, PAS Negeri dan menerusi pembentukan
jawatankuasa yang berkaitan.
ISTIQAMAH MENGISLAH EKONOMI NEGARA
Kerajaan
baru sahaja mengumumkan prestasi terkini ekonomi Malaysia iaitu
pertumbuhan 6.4% untuk separuh pertama tahun 2014. Namun secara
keseluruhannya daya tahan ekonomi Malaysia masih belum kukuh dan
mempunyai daya tahan yang sepatutnya. Ini mengambil kira hutang sektor
awam yang masih tinggi dan defisit bajet negara yang masih tinggi.
Secara
umumnya, PAS istiqamah untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi
berteraskan khazanah Islam yang sangat luas sehingga benar-benar dapat
memobilisasi sumber-sumber kekayaan negara dengan baik dengan
menggunakan ‘modal insan yang terlatih’ dan berakhlak, sehingga lahirnya
kemakmuran dalam negara dan kesejahteraan rakyat.
PAS istiqomah
dalam mendukungi matlamat membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’ yang
bakal melahirkan suasana kemakmuran yang dikecapi oleh semua golongan
rakyat. PAS sekaligus komited untuk terus berusaha membenteras kewujudan
jurang kaya-miskin yang semakin melebar serta pembolotan kekayaan
negara oleh segelintir manusia yang tersangat-kaya akibat dari amalan
memanipulasi pasaran. Inilah yang menyebabkan tidak berlakunya
persaingan sihat dan terbuka serta diparahkan lagi dengan amalan
kronisme-nepotisme dan terbelenggu dengan penyakit ketirisan seperti
yang laporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.
PAS
mendesak supaya kerajaan membatalkan pelaksanaan GST kerana eko-sistem
ekonomi Malaysia dan suasana mikro/makro ekonomi Malaysia masih tidak
bersedia untuk GST. PAS mahukan sistem cukai pendapatan dikaji semula
kerana wujud ketidakadilan dari segi cukai yang dikenakan kepada
golongan berpendapatan sederhana (middle-income) berbanding yang sangat
kaya. Kesemua ini, termasuk menghentikan pemberian AP kepada
kroni-kroni, pastinya mampu menjana hasil untuk negara daripada langkah
GST yang membebankan semua rakyat secara langsung.
Pengumuman
Perdana Menteri tentang pertumbuhan KDNK 6.4% dalam suku kedua 2014
serta pengisytiharan yang dibuat seorang menteri di Jabatan Perdana
Menteri bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia telah mencecah RM5,900
sebulan adalah “propaganda angka” yang biasa sahaja dilakukan kerajaan
BN. Apakah makna angka-angka ini kepada rakyat teramai?
Kepada
rakyat teramai, mereka mahu tahu mengapa negeri-negeri seperti Sabah,
Sarawak, Terengganu dan Kelantan, adalah negeri-negeri termiskin di
Persekutuan Malaysia, sedangkan negeri inilah yang paling kaya di segi
hasil minyak dan dan gas serta kayu-kayan dan logam? Mereka tak mahu
tahu tentang angka yang tidak ada erti dengan kehidupan mereka yang
terbeban dengan kos saran hidup yang tinggi dan bakal di ’Gasak Sampai
Tumbang’ oleh GST tahun depan?
PAS mahu Kerajaan bertanggungjawab
terhadap menguruskan kekayaan negara supaya tidak berulang tadbir-urus
yang memalukan seperti ditunjukkan oleh syarikat penerbangan negara
kita, MAS, yang pernah menjadi kebanggaan rakyat dan menggondol pelbagai
pingat dan anugerah. Jumlah hutang MAS berada pada tahap RM10 bilion
kepada bank-bank tempatan dan RM2.5 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah
Pencen (KWAP) dalam bentuk sukuk.
Kita sama-sama lihat bagaimana
kerajaan yang memiliki MAS pada masa itu telah memberikan kontrak yang
sangat tidak adil seperti kontrak selama 25 tahun bernilai RM6.25
bilion yang antaranya mengenakan harga RM45 sebungkus nasi lemak,
sebagai paling tidak wajar dan ‘zalim’ kepada rakyat untuk diteruskan.
Inilah antara gaya tadbir-urus pemerintahan UMNO-BN yang menjahanamkan
aset-aset negara dan membawa kerosakan dan kemungkaran dalam ekonomi dan
pembangunan.
Secara keseluruhannya dan prinsipnya, adakah
kerajaan BN sendiri sebenarnya tidak yakin kepada ekonomi berkat dengan
sifat takwa iaitu meninggalkan yang haram dan amalan haram seperti
rasuah, dan salah laku dan boros? Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ
أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ
مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا
كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman
dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari
langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka
Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya [al-A’araf 96]
SERUAN KEPADA DEWAN-DEWAN DAN PAS NEGERI
Muktamar
kali ini pula dilangsungkan setelah kita bermuktamar kurang dari
setahun yang lalu, maka tentulah masih ada aspek tertentu dari muktamar
lalu yang perlu dilihat-laksanakan kembali. Antaranya ialah pemantapan
gerakerja Dewan Himpunan beserta dengan pembinaan modul-modul latihan
yang bersesuaian untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan (DHPP) yang mampu
bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang
penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam
perjuangan PAS kepada kaum bukan Islam. DHPP ini juga wajar dikembangkan
ke setiap negeri, di mana peranan mereka dibina dan diperkuatkan oleh
Badan Perhubungan PAS Negeri sendiri.
Kita juga telah bersetuju
supaya semua PAS Negeri mesti berterusan mendekati medan baharu dalam
masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan
ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah.
Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja
yang lebih terarah.
Dewan-Dewan pula yang menjadi benteng
perjuangan kita, wajar dibajai dengan persiapan diri dengan pengetahuan
dan pengalaman yang mendalam sebelum turun ke medan memimpin masyarakat,
dengan lebih memahami realiti politik semasa dalam masyarakat berbagai
lapisan yang ada ini. Peluang kemenangan yang dilihat seperti hampir dan
cabaran baru di era alam maya juga memerlukan ulama, pemuda dan
muslimat untuk menguruskan cabaran tersebut secara berhemah dan
berstrategi. Tarbiyah ulama, pemuda dan muslimat pula perlu dinamik,
bukan hanya untuk melahirkan pemimpin parti yang murni fikrah
perjuangannya tetapi juga untuk membentuk pemimpin masyarakat dan negara
yang mempunyai sakhsiah, keterampilan yang tinggi dan mampu merungkai
persoalan-persoalan besar yang mewarnai kehidupan bernegara.
ISTIQAMAH UNTUK MEMBAWA KEBAIKAN MENERUSI MEDIA BARU
Kebelakangan
ini, PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana
yang masuk ke dalam setiap buah rumah sehingga mewujudkan situasi tidak
seimbang di kalangan rakyat. Malah serangan dikalangan ahli-ahli PAS
sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter
dan sebagainya sekarang ini sendiri seolah-olah mereka yang terlibat
dalam perang siber ini sudah hilang punca. Firman Allah SWT:
أَلَمْ
تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي
الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ
النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا
كِتَابٍ مُّنِيرٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah
mempermudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada dilangit dan apa yang
ada dibumi, dan telah melimpahlan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang
zahin dan batin. [Luqman : 20]
Media baru dalam dunia tanpa
sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah
bagi memperbetulkan manusia dan mengembalikan manusia ke jalan yang
benar. Saya bersetuju dengan saranan Lajnah IT, Komunikasi dan
Multimedia yang menyarankan tiga langkah jangka panjang yang boleh
dijadikan polisi dan garis panduan dalam memanfaatkan komunikasi dan
sebaran maklumat secara pantas melalui media baru ini agar lebih
bertanggungjawab dan berhikmah iaitu:
- Tanggungjawab kepimpinan
dalam memanfaatkan ICT dan Media Baru di mana kepimpinan dan ahli-ahli
PAS perlulah memikul amanah dan bertanggungjawab dengan apa jua maklumat
yang berpunca dari diri mereka.
- Memanfaatkan Laman Web dan
Media Sosial rasmi PAS untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan
lebih bertanggungjawab, terurus dan mengandungi mesej dakwah dan
kebenaran melalui proses penyebaran yang selamat.
- Sentiasa
memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi
mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan
perjuangan Islam itu sendiri.
Media organ parti seperti Harakah
dan Harakahdaily perlu dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa
ke semasa terutamanya dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang
siber sekarang ini. Kerjasama pintar bersama dengan agensi media swasta
dari rakan-rakan gerakan Islam yang lain diperingkat antarabangsa
perlulah dimulakan.
Seperti yang ditegaskan dalam
muktamar-muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily
dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha membentuk fikrah dan
menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan
bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam
pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti. Kita juga jangan
sekali-kali terpengaruh dengan pendekatan sensasi-songsang yang
bertujuan melariskan jualan semata-mata tanpa memikirkan hukum-hakam
dalam melaporkan sebarang berita.
Marilah kita memahami peringatan yang dinyatakan oleh Allah SWT dengan firmanNya :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا
أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ
نَادِمِينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang
fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu
tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui
keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
[al-Hujurat :6]
LUAR NEGARA YANG BERGOLAK: ISTIQAMAH DALAM PERANAN KITA
PAS
amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Gaza. Serangan demi
serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini yang
menggunakan segala kelengkapan tentera telah mencabul segala batasan
undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta
merupakan satu jenayah perang yang besar.
Tahniah dan syabas saya
ucapkan kepada Gerakan Muqawamah di Gaza yang telah berjaya dengan
kentalnya berhadapan dengan kekejaman tentera Zionis yang menyerang bumi
Gaza selama hampir 2 bulan. Mereka telah berjuang dengan pengorbanan
darah dan nyawa demi mempertahankan bumi suci ini.
Sekali lagi
saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadhah yang di
terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi suci Palestin. PAS
mengutuk sikap ‘double standard’ Kuasa Barat yang mempertahankan segala
tindakan zalim dan dan tidak bertamaddun ini kononnya atas dasar
‘memerangi keganasan’. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan
Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat
antarabangsa.
PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi
Syria, Iraq, Libya dan Mesir. Pertumpahan berdarah yang sedang berlaku
di Syria mesti dihentikan segera. Apa yang kita sedang lihat adalah amat
trajis dan memilukan. Kini lebih 200,000 orang rakyat Syria yang
kebanyakannya rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 4 juta rakyatnya
terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran.
Lebih parah
lagi kini dunia Islam dikejutkan dengan kemunculan kumpulan yang
dinamakan ISIL (ISLAMIC STATE OF IRAQ and SYRIA) dan kumpulan yang
bertindak secara melampau tanpa memahami fiqh-jihad. Mereka berperang
sesama sendiri sehinggakan dianggarkan lebih 3000 yang dikaitkan dengan
pejuang mujahidin terbunuh akibat pertempuran sesama sendiri.
Saya
ingin tegaskan sekali lagi, PAS tidak mahu dan tidak akan membenarkan
ahlinya terlibat dengan mana-mana kumpulan yang bertindak ganas
melangkaui fiqh-jihad, malah bercanggah dengan etika berperang dalam
Islam.
Campurtangan asing juga tidak boleh sekali-kali
dibenarkan di bumi umat Islam. Biarlah rakyat Syria sendiri yang
menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan asing.
Yang pasti rejim kejam Bashar Al-Assad mesti diturunkan segera. Bagi
rakyat di Mesir dan Iraq pula, biarlah rakyat mereka di negara
masing-masing menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang
campurtangan Kuasa Barat yang cuba memporak-perandakan negara-negara
ini.
PAS juga amat prihatin terhadap nasib umat Islam di rantau
ini iaitu di Bangladesh dan Myanmar. Umat Islam di kedua-dua negara
yang bergolak ini terus dibebani dengan konflik yang tidak nampak jalan
penyelesaiannya. Di Bangladesh, pertumpahan berdarah masih berterusan
sehingga sekarang. Begitu juga di Myanmar. Penduduk minoriti Rohingya
telah di halau dari bumi mereka sendiri dengan berlakunya pembantaian
umat Islam dengan membakar perkampungan mereka, sekolah-sekolah serta
masjid-masjid yang mengakibatkan beribu-ribu umat Islam Rohingya kini
menjadi pelarian.
PAS ingin membuat seruan terbuka kepada
kedua-dua negara jiran kita agar kekejaman ini di hentikan segera. Saya
ingin menegaskan bahawa PAS sentiasa mencari jalan bagi membantu
saudara-saudara kita di Bangladesh, Myanmar, Kashmir dan Selatan Thai.
PAS
juga mendesak kepimpinan negara umat Islam supaya sedar dari tidur
mereka, tidak mementingkan tampuk kuasa dan kedudukan sehingga
menyebabkan badan dunia Islam seperti OIC, dan badan dunia yang lain
seperti PBB, ASEAN, NAM hanya sekadar menjadi pemerhati ketika mana umat
Islam diusir dan dizalimi di serata dunia.
SERUAN
Maka
muktamar kali yang ke 60 ini pula, sebagai kesimpulan, kita akan
memfokuskan kepada tiga aspek hala tuju pemantapan, iaitu:
(1)
Organisasi parti – istiqamah terhadap dasar perjuangan PAS, merapatkan
ukhuwwah dan saf, memperkukuhkan organisasi, memperbaiki akhlak
berjamaah, memahami persoalan fiqhu-tho’at, memperkemaskan gerakerja,
memberdayakan tarbiyah dan aktiviti dakwah di medan baharu;
(2)
PAS dalam negara – istiqamah PAS terhadap melakukan perubahan dalam
negara ke arah negara yang lebih baik, menentang amalan rasuah –
ketirisan – penyelewengan, istiqamah terhadap peranan PAS dalam
masyarakat, istiqamah untuk membetulkan salah faham terhadap Islam,
menyedarkan masyarakat kepada kehidupan beragama di mana Islam adalah
sebagai cara hidup, menekuni hubungan kaum dan agama yang lebih aman dan
adil;
(3) PAS di luar negara – istiqamah PAS untuk
memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam urusan dunia antara bangsa
yang lebih aman dan adil.
PENUTUP
Akhirnya, marilah
sama-sama kita perteguhkan jamaah, perkukuhkan saf perjuangan,
perkemaskan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita kepada janji Allah
S.W.T. kepada sesiapa yang berjuang di jalan Nya, yang berbeza dengan
yang tidak berjuang, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
أَمْ
حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللّهُ
الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ (3:142)
“Apakah
kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi
Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang
yang sabar”. [al-Imran : 142]
Akhirnya, saya juga ingin
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima
kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi, Pengarah dan Jawatankuasa
Panitia Muktamar, Badan Perhubungan PAS Johor, Petugas-petugas, anggota
Jabatan Amal dan semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-60 ini.
Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah
s.w.t.
Saya RASMIKAN Muktamar PAS kali ke-60 ini dengan menyebut sabda Rasulullah S.A.W. :
سيروا على بركة الله .
وآخر دعوانا أن الحمدلله رب ا لعالمين .
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد .
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !