Headlines News :
Home » » Penyakit dan makanan tradisional

Penyakit dan makanan tradisional

Written By zabidi on Wednesday, 28 May 2014 | 12:06

MALAYSIA boleh dikatakan syurga makanan. Pelbagai jenis makanan lazat sama ada tradisional,
Timur atau Barat semuanya boleh dinikmati dengan mudah di negara ini sama ada di gerai, restoran sehingga restoran lima bintang. Makanan boleh dikatakan punca pelbagai penyakit. Tetapi adakah makanan tradisional memberikan mudarat kepada kesihatan?

Makanan tradisional seperti rendang, masak lemak, kari, asam pedas, keropok, kerepek, pulut panggang, seri muka, kuih lopes - sekadar menyebut beberapa menu - biasanya diadun dengan bahan seperti santan, kelapa, gula, pulut, sagu, garam dan serbuk perasa secara berlebihan bagi mendapatkan rasa yang enak serta membuka selera.

Bahan-bahan berkenaan biasanya menyebabkan pelbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi atau jantung jika diambil secara berlebihan tanpa kawalan.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Sains Makanan dan Keselamatan Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Umi Kalsum Hussain Zaki berkata, masyarakat Melayu sejak lama dulu mengambil nasi sebagai makanan asasi atau ruji tetapi tidak mendatangkan banyak masalah.

"Kajian menunjukkan masalahnya bukan terletak kepada karbohidrat tetapi cara dan kuantiti makanan diambil," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai carta pemakanan atau piramid makanan sebagai panduan bagi masyarakat untuk menjadi lebih sihat.

Umi Kalsum berkata, biasanya kita melihat makanan tradisional Melayu tidak seimbang dan tidak mengikut keperluan badan.

"Apa yang penting kita perlu mengambil nasi atau apa juga makanan dengan kuantiti yang sesuai dengan usia, jantina dan aktiviti seseorang. Misalnya seorang kanak-kanak memerlukan karbohidrat dan protein yang tinggi berbanding dengan mereka yang kurang menggunakan tenaga," katanya.
Misalnya mengenai makanan segera, Umi Kalsum menjelaskan, tiada larangan asalkan tidak keterlaluan dan hadkan hanya dua kali sebulan.

"Tapi jangan sesekali tinggalkan sarapan pagi kerana makanan diperlukan untuk membakar lemak, dan semasa berpuasa jangan sesekali meninggalkan sahur," katanya.

Akan tetapi jelas Umi Kalsum, amat sukar sebagai pengguna menentukan berapa kalori yang kita ambil dalam makanan yang kita makan. Berapa kalori dalam semangkuk nasi? Atau berapa kalori terdapat dalam sepinggan mi goreng atau nasi lemak? Adakah kalori yang diambil sesuai dengan keperluan seharian?

"Sebagai pengguna, kita hanya boleh membuat anggaran kalori yang diambil. Dan apa yang penting, kita seimbangkan apa yang kita makan setiap hari," katanya.

Umi Kalsum mengambil contoh, sate yang dihidangkan dengan bawang dan timun amat baik kerana sate yang dibakar menghasilkan agen pengoksidaan manakala bawang dan timun adalah anti oksida. Ini adalah keseimbangan.

"Masyarakat dahulu walaupun mereka mengambil santan, gula dan garam berlebihan dalam makanan, mereka menyeimbangkannya melalui mengambil ulam-ulaman dengan banyak serta membuat kerja berat seperti bersawah dan berkebun.

"Gaya hidup masyarakat sekarang tidak memerlukan banyak tenaga seperti mereka yang bekerja di pejabat menyebabkan mereka menyimpan banyak tenaga dalam badan dan menjadi lemak dan gula.

"Ini menyumbang kepada obesiti dan pelbagai penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi dan jantung," katanya.

Seelok-eloknya kawal pemakanan tetapi jangan sampai menahan lapar dan membiarkan badan dalam keadaan kelaparan.

Gula dalam makanan akan dibebaskan menjadi tenaga dan kandungan gula dalam badan dikira dengan indeks glisemik.

Apabila gula dalam darah adalah tinggi, ini akan menyebabkan diabetes dan pesakit memerlukan diet yang berbeza.
Menyentuh tentang makanan tambahan atau suplemen, Umi Kalsum berkata, jika badan mendapat makanan berkhasiat, suplemen tidak diperlukan.

"Seelok-eloknya ambil bahan semula jadi. Jika selesema selain mengambil vitamin C, apa kata gantikan dengan memakan limau.

"Lagipun vitamin yang berlebihan akan dibuang melalui air kencing," katanya.
Selain itu lakukan senaman dua hingga tiga kali seminggu.

"Anda tidak perlu ke gimnasium kerana kerja rumah juga adalah senaman ringan yang boleh mengeluarkan peluh dan membakar lemak," katanya.

Umi Kalsum menyarankan masyarakat mengubah gaya cara pemakanan secara beransur-ansur. Misalnya menggantikan roti biasa dengan roti gandum.

"Bagi mereka yang beragama Islam pula, amalkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis bagi menyeimbangkan makanan yang diambil. Jika makan lebih, banyakkan senaman.

"Seelok-eloknya masak di rumah dan bawa bekal ke pejabat sebab makanan yang dimasak sendiri lebih bersih dan berkhasiat," katanya.

Ujarnya lagi, makanan tradisional tidak mengundang penyakit jika ia diambil secara seimbang.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU