Oleh Ustaz Idris Ahmad
ALLAH SWT mewajibkan orang beriman berpuasa pada tahun kedua hijrah. Ertinya perintah puasa
setelah Nabi s.a.w. dibangkit menjadi Rasul selama 15 tahun.
Menunjukkan Islam mewajibkan sesuatu perkara setelah mereka benar-benar
beriman, maka baru diperintahkan untuk melakukan ibadah puasa supaya
masyarakat yang baru menerima Islam tidak terkejut.
Allah memerintahkan wajib berpuasa kepada orang beriman.
Menunjukkan bahawa puasa tidak akan diterima oleh orang yang tidak
beriman kepada Allah SWT. Mereka yang tidak beriman tidak sanggup
menahan makan dan minum sepanjang mereka berpuasa.
Mereka anggap
amalan yang membinasakan tubuh badan dan tidak mempunyai nilai tambah
kepada keuntungan duniawi. Tetapi ia berbeza dengan pandangan orang
beriman, mereka menerima dengan penuh kegembiraan seperti pengantin
hendak bertemu kekasihnya di malam pertama. Kerana mereka mengetahui
bahawa Ramadan bulan yang mempunyai seribu kelebihan yang Allah SWT
tidak beri kepada bulan yang lain.
Oleh itu perkara Iman adalah
perkara yang tidak boleh diukur dengan mata benda tetapi mesti dengan
nor keimanan kepada Allah SWT. Orang kafir Musyrikin ketika baginda
membawa Islam kepada mereka, ditolak dengan mentah-mentah.
Pada
mereka seruan baginda tidak masuk akal. Bagaimana mereka hendak
menyembah Allah SWT yang tidak nampak dan berobjek? Tetapi baginda
meneruskan juga berdakwah dengan seruan Tauhid tanpa mengira menolak
atau tidak. Walaupun sukar itulah perjuangan yang dilalui oleh baginda
dan para Rasul yang terdahulu.
Akhirnya agama Islam telah sampai
seluruh dunia hasil kesabaran dan ketabahan mereka di dalam
berdakwah. Begitulah juga kita, sebagai duat Ilallah perlu yakin dengan
akidah perjuangan, walaupun sukar untuk masyarakat menerima seruan kita,
namun kebenaran akhirnya terserlah. Hanya masa dan waktu sahaja akan
menentukannya. Jika baginda pun memakan masa yang lama untuk meyakinkan
manusia tentang akidah Islam.
Walaupun baginda dianugerahkan
wahyu, mempunyai sifat maksum namun masyarakat masih sukar untuk
menerima seruan baginda. Tambahan kita sebagai manusia yang mempunyai
jutaan kekurangan, sudah pasti masyarakat sukar untuk menerima dakwah
kita. Namun kita tidak boleh kecewa di dalam kerja dakwah.
Tanpa takwa, tumbang di tengah jalan dakwah Matlamat puasa ialah untuk menjadikan hamba Allah yang bertakwa.
Hamba yang menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Ungkapan takwa yang begitu menarik disebut oleh Sayidina Ali
Karramallhuwajhah “Bahawa takwa adalah takut kepada Allah yang Maha
Agung, dan beramal dengan al-Quran (at-tanzil) dan menerima (qona’ah)
terhadap yang sedikit, dan bersiap menghadapi hari akhirat.”
Masya-Allah satu ungkapan yang indah.
Alangkah bahagianya jika kita mampu melaksanakan intipati daripada
konsep takwa di dalam kehidupan duat. Ia merupakan perkara asas dan
menjadi sendi kekuatan kepada seorang duat. Tanpa takwa seorang akan
mudah tumbang di pertengahan jalan dakwah.
Ia merupakan prasyarat
untuk mendapat nusrah daripada Allah SWT. Kita tidak boleh bergantung
kepada kepintaran dan kekuatan makhluk sematamata.
Puasa melatih hambanya untuk melawan nafsu yang jahat yang sentiasa bertarung di dalam diri manusia.
Sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w. “Nafsu yang sentiasa
bertarung di dalam diri manusia.” Salah satu daripada mekanisme untuk
melawan nafsu jahat ialah dengan berpuasa. Perut yang kenyang senang
terikut dengan nafsu yang jahat. Nafsu inilah banyak menggagalkan
kerja-kerja dakwah. Ia boleh menyerupai dalam berbagai bentuk untuk
menggoda manusia supaya tersasar dalam hidup dan meninggalkan kerja
perjuangan.
Benarlah kata-kata seorang ahli Sufi: “Kami pulang
daripada jihad kecil kepada jihad besar (lawan nafsu).” Jihad qital
tidak boleh dilaksanakan jika nafsu masih berkarat dengan noda dan dosa.
Badan akan terasa berat, jiwa akan terasa kosong sehingga sukar untuk
bergerak dan melaksanakan tuntutan agama dan jemaah. Perkara ini boleh
dirasai oleh kita semua jika nafsu ammarah menguasai batang tubuh kita.
Ini merupakan kayu ukur yang boleh dilihat oleh setiap individu, apakah
kita merasa malas untuk bergerak dan berat untuk melakukan amal fardi
dan amal jemaah.
Ini petanda nafsu jahat sedang menguasai tubuh
badan kita. Semoga tarbiah Ramadan memberi kekuatan kepada kita untuk
meningkatkan amal dan membuang nafsu buruk yang bersarang di dalam diri.
>> Penulis merupakan Naib Presiden PAS
Puasa bekalan buat Duat
Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 July 2015 | 16:22
Related articles
Labels:
Agama
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !