Headlines News :
Home » » Menghadapi persempadanan semula bahagian pilihan raya

Menghadapi persempadanan semula bahagian pilihan raya

Written By zabidi on Tuesday 17 June 2014 | 13:32

Oleh Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

PAS perlu serius

Sebaik selesainya dua pilihan raya kecil, Bukit Gelugor dan Teluk Intan nampaknya Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia (SPR) sibuk pula dengan tugas kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya. Ia merupakan tugas asasi SPR seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia dinyatakan secara khusus di dalam Fasal (2) Perkara 113 dan Bahagian I Jadual Ketiga Belas; Perkara 116 dan 117, Perlembagaan Persekutuan.

Menurut peruntukan perlembagaan, urusan kajian semula persempadanan perlu dilakukan setiap 10 tahun sekali. Ia perlu demi untuk menyeimbangi perkembangan sosial, budaya, pembangunan melibatkan topografi, perkembangan demografi, kemudahan asas dan komunikasi di sesebuah bahagian pilihan raya (Negeri dan Persekutuan) untuk mempastikan amalan demokrasi sentiasa subur dan praktikal. Sehingga kini, telah berlaku sebanyak enam kali persempadanan bahagian pilihan raya, iaitu tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, 2003 dan tahun 2014 ini adalah yang ketujuh.
Gerrymandering

Berdasarkan senario kajian persempadanan yang lepas itu, strategi persempadanan biasanya diambil kesempatan oleh pemerintah (dibuat oleh SPR setelah mendapat kelulusan Perdana Menteri) untuk memasukkan unsur-unsur yang menguntungkan dalam usaha bagi mengukuhkan demi mengekalkan kuasa/geopolitik yang disebut sebagai gerrymandering.

Konsep gerrymandering ini diasaskan oleh gabenor Massachusetts, Amerika Syarikat, Elbridge Gerry (1744-1814) pada tahun 1812. Konsep ini menerangkan tindakan memanipulasi secara sengaja pihak berkuasa dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbirannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang. Tujuan untuk mengurangkan undi parti pembangkang dan memenangkan parti pemerintah. Contoh mikro gerrymandering ialah kes Dun Kajang dan Dun Bangi semasa persempadanan bahagian pilihan raya tahun 2003 dibuktikan melalui satu kajian oleh Junaidi Awang Besar & rakan-rakan (2012) yang mendapati persempadanan semula pilihan raya itu menyebabkan berlakunya perubahan bilangan pemilih secara keseluruhan, perubahan bilangan pemilih mengikut kaum, perubahan kedudukan dan pertambahan serta pengurangan daerah mengundi, dan Dun Kajang dibelahbahagi diwujudkan pual satu Dun baru iaitu Bangi. Ini sudah tentu memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya, apabila sempadan baru bagi Dun Kajang dan Dun Bangi telah digunapakai dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008, serta 2013.

Keputusan pilihan raya umum 2004 memang telah memberi kelebihan kepada parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN). Namun ia berubah pada 2008 dan 2013 apabila BN gagal mempertahankan kerusi itu selepas sepenggal. Ia sudah tentu, faktor persempadanan bukanlah menjamin sepenuhnya strategi pengekalan dominasi pemerintah. Ia ada kaitan dengan perubahan landskap politik baru Malaysia, apabila isu-isu sosiopolitik bersifat merentasi perkauman dan geopolitik. Namun pada tahun 2008 dan 2013 dalam konteks Dun Kajang, cara gerrymandering tidak lagi relevan kerana faktor “tsunami politik” yang dijana oleh faktor isu semasa, ketidaktelusan dan ketidakbolehpercayaan terhadap pemerintah. Ia juga dikaitkan dengan ekonomi, perkauman dan politik setempat yang telah “menenggelamkan status quo dan hegemoni politik BN yang berteraskan politik pembangunan.

Asas Persempadanan

Skop persempadanan oleh SPR adalah aspek keperwakilan di setiap negeri yang terbahagi kepada empat struktur bahagian pilihan raya iaitu bahagian Parlimen, di dalam Parlimen pula diwujudkan bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun), kemudian dalam Dun dibahagikan kepada Daerah Mengundi (DM) dan di dalam setiap DM adanya lokaliti sebagai unit terkecil. Keempat-empat peringkat bahagian persempadanan tersebut, SPR akan melakukan kajian semula persempadanan setiap antara 8-10 tahun.

Apa pun asas bagi persempadanan di sisi SPR adalah berlandaskan kepada rasionaliti jumlah pemilih, keluasan, sempadan pentadbiran dan ketersampaian khidmat wakil rakyat (Ahli Parlimen/Ahli Dun) kepada pengundi.

Walaupun begitu, ruang untuk mengimbangi kuasa SPR di dalam melakar semula (menyempadankan) bahagian pilihan raya ini masih ada. Peluang itu disediakan oleh peraturan yang ada masih membolehkan pihak-pihak tertentu mengemukakan cadangan balas (syor representasi) kepada SPR.
 
Syor representasi

Pihak yang ada hak mengemukakan syor representasi ialah pengundi kalangan pemilih berdaftar di dalam bahagian pilihan raya masing-masing, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri. Syor representasi, berupa suatu cadangan dan atau bantahan boleh dilakukan di dalam dua peluang, iaitu semasa pameran draf persempadanan semula dan semasa tempoh rayuan selepas SPR melakukan siasatan tempatan terhadap cadangan yang diterimanya.

Pihak SPR pula akan mempertimbangkan sebarang cadangan/bantahan oleh ketiga-tiga pihak tadi berlandaskan rasionaliti seperti keadaan peta, senarai pemilih mengikut DM, jumlah pemilih mengikut tempoh masa yang ditetapkan, kemudahan untuk mengundi dan kemudahan menjalankan aktiviti harian dan pelbagai alasan.

Persempadanan kawasan pilihan raya ini amat penting kerana selain daripada menentukan bahagian-bahagian yang perlu ada dalam pilihan raya ia juga bertujuan, pertamanya untuk memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan atau hal yang menyulitkan pentadbiran kerajaan peringkat daerah (jajahan) atau PBT berikutan pertambahan penduduk, terutama bahagian pilihan raya yang menjadi pusat aktiviti utama. Keduanya pula, bertujuan memenuhi matlamat murni kajian semula persempadanan iaitu mewujudkan bahagian pilihan raya yang positif terhadap amalan berpilihan raya secara bebas, adil dan demokratik.

 Peranan PAS

Berdasarkan tatacara persempadanan bahagian pilihan raya, pihak SPR terlebih dulu perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri serta selari dengannya suatu notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar tempatan dan disiarkan dalam Warta, serta dipamerkan di semua bahagian-bahagian pilihan raya selama satu bulan untuk pemeriksaan dan cadangan balas orang ramai.

Selepas itu, proses persempadanan bermula dengan arahan Ibu Pejabat SPR (dikeluarkan setelah tamat tempoh lat 8 tahun dengan selesainya kajian semula persempadanan sebelum ini) kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri untuk mengumpul maklumat-maklumat bilangan pemilih di bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri, kemudahan-kemudahan baru seperti bangunan pejabat, sekolah untuk digunakan sebagai tempat mengundi, atau kemudahan perhubungan serta pengangkutan.

Sehubungan tempoh pameran (sebulan), peluang mengemukakan syor representasi berupada cadangan/bantah boleh dilakukan kepada SPR. Kemudian SPR pula mesti mengadakan siasatan tempatan untuk meneliti rayuan dan cadangan balas yang diterima dalam tempoh pameran itu. Ada tiga pihak yang boleh mengemukakan syor: 1) mana-mana Kerajaan Negeri, 2) Pihak Berkuasa Tempatan, dan 3) kumpulan 100 orang pemilih dan lebih yang berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan kajian tersebut.

Bagi PAS mahupun rakan Pakatan Rakyat, peluang mengemukakan syor itu sebaiknya dimanfaatkan secara serius bila tiba masa pameran nanti. Ia boleh dibuat atas nama pihak ketiga, iaitu kumpulan 100 orang atau lebih pemilih tempatan di mana bahagian pilihan raya yang memerlukan cadangan balas atau bantahan kepad SPR. Kepentingan utama syor representasi itu adalah bagi memastikan draf sempadana baru itu tidaklah menyebelahi pemerintah atau mirip mengekalkan kuasa Barisan Nasional.

Sehubungan itu, langkah yang perlu ialah kumpulan 100 orang pemilih hendaklah meneliti draf sempadan itu nanti dengan mengambil kira kepentingan sosioekonomi, komunikasi dan sosiobudaya serta pusat aktiviti komuniti (central business district) masing-masing. Sekiranya apa yang dipamerkan oleh SPR itu boleh menyebabkan kesusahan dan menimbul halangan kepada komuniti pengundi/penduduk di situ, maka cadangan/bantahan (yang disertakan alasan-alasan) bolehlah disyorkan.

Oleh sebab itu, bagi memudahkan urusan syor representasi nanti, bolehlah kumpulan 100 orang pemilih membentuk satu Jawatankuasa Bertindak Persempadanan bagi meneliti dan memberi cadangan/bantahan atas syor SPR dalam perkara yang melibatkan kepentingan komuniti pemilih di lokaliti masing-masing.

Misalnya membantah syor nama baru bagi Dun/Parlimen kerana nama asalnmya lebih baik/memiliki nilai sejarah yang disanjung oleh penduduk tempatan; atau mencadangkan daerah mengundi A dikeluarkan dari Dun baru berikutan kesulitan jalan perhubungan (tiada jalan/terhalang kerana sungai/terpisah oleh bukit) untuk ke tempat mengundi; atau mencadangkan Dun B dimasukkan bersama-sama Dun C di dalam Parlimen yang sama disebabkan majoriti pemilih dari Dun B menjalankan aktiviti ekonomi, pendidikan anak-anak dan pusat beli-belah adalah di dalam Dun C. Semua syor oleh kumpulan 100 pemilih ini hendaklah dipersetujui/ditangani dalam satu representasi ditujukan kepada Setiausaha SPR.

Peranan negeri Pakatan Rakyat

Sebagaimana dinyatakan, pihak Kerajaan Negeri dan PBT turut berpeluang mengemukakan syor representasi persempadanan ini. Oleh sebab itu, bagi negeri bawah kuasa Pakatan Rakyat atas nama Kerajaan Negeri, bolehlah mengemukakan cadangan/bantahan bagi kerajaan di negeri masing-masing (Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang). Matlamatnya bagi mengimbangi pameran persempadanan oleh SPR agar relevan dengan pentadbiran negeri. Sekiranya apa yang dipamerkan oleh SPR tidak relevan dalam konteks pentadbiran negeri, maka cadangan/bantahan (yang disertakan alasan-alasan) bolehlah disyorkan.

Begitu pula, PBT di negeri Pakatan Rakyat perlu dimanfaat sama bagi mengemukakan cadangan/bantahan berlandaskan perancangan pembangunan dan perkembangan demografi di dalam kawasan operasi agar selari dengan ketersampaian pengundi. Terutama apabila didapati apa yang dipamerkan oleh SPR tidak relevan dalam konteks perancangan pembangunan dan kependudukan PBT.

Sekiranya syor representasi (cadangan/bantahan) oleh mana-mana pihak tidak diterima semasa siasatan tempatan, syor tersebut masih boleh dibangkit semula dalam bentuk rayuan ketika pameran semula (selama sebulan) bagi membolehkan SPR membuat apa-apa pindaan syor persempadanan bahagian pilihan raya berkenaan.

Apa yang penting, persempadanan semula bahagian pilihan raya kali ke-7 nanti dapat meningkatkan tahap perwakilan rakyat di negara ini. Sekaligus akan memenuhi amalan pilihan raya yang lebih demokratik apabila bertambahnya bilangan Dun dan Parlimen selari dengan nisbah pengundi yang dijangka mencecah 15 juta. Semoga kerterlibatan semua pihak bakal membantu SPR melaksanakan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang lebih telus dan adil. Sekaligus akan terlaksananya prinsip demokrasi yang mengambilkira nisbah yang seimbang antara bilangan pemilih dengan jumlah bahagian pilihan raya Dun dan Parlimen.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU