OLEH DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
1. Keperluan hidup bermasyakat mewajibkan wujud pertemuan berbagai kelompok manusia dari berbagai latarbelakang untuk mengumpulkan keperluan asasi bagi kehidupan diri, keluarga dan masyarakat umum. Keperluan asasinya adalah seperti bahan bagi makanan, pakaian, penginapan, perhubungan dan lain-lain sehingga segala kemudahan hidup untuk penambahbaikan, nilai dan kemewahan. Maka wujudnya bandar dan segala pengurusanya, menjadi rukun dan syarat hidup bermasyarakat di peringkat negara dan antarabangsa.
2. Ibnu Khaldun (1332M – 1406M), yang bergelar bapa ilmu “sosiologi – historiogafi – ekonomi” tersohor di seluruh dunia menegaskan lagi : “Bahawa bandar yang dibangun dan dihidupkan juga oleh masyarakat luar bandar dikelilingnya, dan semua pihak yang membekalkan bandar itu menjadi hidup dan maju”. Hakikatnya bukan sahaja peniaga besar, bahkan termasuk peniaga kecil yang datang dari kampung dan pendalaman, sehinggalah petani, nelayan dan pengangkut hasil yang membawanya ke bandar, antara bandar dan sekitarnya, sehingga diedarkan, kerana hasil yang berbeza antara desa dan bandar; dan semuanya menjadi keperluan bersama.
3. Pembangunan bandar bukan sahaja dilihat dari segi kemudahan asas lahiriyah seperti lebuh raya, jalan raya, bangunan, kenderaan yang mencukupi untuk manusia dan barangan, dengan sistem lalu lintas yang lancar dan teratur. Bukan sahaja bangunan industri yang memperoses segala hasil dengan segera, kualiti yang baik, nilai tambah yang menguntungkan. Pasar borong, pasar raya, dan gedung-gedung yang teratur oleh mereka yang merancang bagi pembangunan bandar dan hubungannnya dengan desa; semuanya adalah keperluan perbandaran.
4. Satu hakikat yang kita selalu lupa, atau dilupaka oleh pemodenan yang bersimpang siur bahawa hubungan jasad dan roh kalangan manusia disemua peringkat yang berkaitan bagi mewujudkan keharmonian juga sangat penting, khususnya dalam himpunan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Pembangunan insan melalui pendidikan, media, pengurusan dan pentadbiran yang dikawal oleh undang-undang sahaja tidak mencukupi. Ini adalah kerana menjalinkan hubungan sesama manusia tidak sama dengan menyusun kayu dan batu-bata mendirikan bangunan, disebabkan manusia itu ada perasaan yang boleh tersentuh dengan mudah dan menolak paksaan.
5. Dalam aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisma didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat. Pendekatan sosialis pula boleh menzalimi orang kaya yang menyumbang kemajuan ekonomi negara. Pendekatan komunis yang lebih radikal sehingga menolak agama menjadi lebih parah. Semuanya tidak dapat memenuhi fitrah manusia atau nalurinya. Manusia punya jasad, roh dan akal, tidak dapat hidup secara individualistik dan mestilah bermasyakat, mewajibkan keseimbangan yang saksama dalam semua aspek. Dunia telah menyaksikan kegagalan semua pendekatan itu. Bandar yang menjadi pusat bergeraknya kegiatan ekonomi, politik dan sosial menerima padah awal daripada segala kesannya yang positif dan negatif.
Rasulullah S.A.W. menegaskan dengan sabdanya:
رحم الله رجلا سمحا إذا باع وإذا اشترى وإذااقتضى (البخاري
(Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bersikap pemaaf apabila dia menjual, membeli dan mengendalikan urusan).
Peringatan ini menunjukkan bahawa kita semua wajib bertimbang rasa oleh semua pihak, peniaga, pengguna, dan pentadbir.
6. Dalam aspek politik mengendalikan bandar, maka oleh itu wajib kita mengambil kira semua pihak dan lapisan yang memakmurkan bandar itu. Maka pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek. Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar. Lihat sahajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di majlis daerah di kawasan desa di Selangor yang pula bermajoritikan satu kaum yang lain.
7. Kita tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk. Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.
8. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar. Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.
9. Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah yang mengalir ke dalam jasadnya. Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang.
PRESIDEN PAS
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !