Headlines News :
Home » » Elak buat kenyataan jejaskan imej parti

Elak buat kenyataan jejaskan imej parti

Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 October 2014 | 22:10

Oleh ABD SHUKUR HARUN

SESEORANG itu dilihat kebodohannya apababila ia membuka mulutnya.Ini sebuah pribahasa klasik Inggeris yang sangat dalam maknanya, iaitu bagaimana seseorang itu tanpa disedarinya boleh memperlihatkan kebodohannya apabila ia berkata-kata.

Adakah ini bermakna seseorang itu perlu lebih banyak membisu saja, tanpa menyatakan apa-apa akan apa yang terjadi? Tentunya tidak begitu. Ini kerana sama ada ia seorang tokoh politik, atau tokoh pelbagai bidang yang lain, boleh saja memberikan pandangan, asalkan munasabah, cukup dengan fakta dan alasan kukuh, selepas lama difikirkan.


Dalam hal ini, secara umum, antara golongan yang paling banyak bercakap ialah ahli politik. Mereka bercakap siang dan malam, di medan ceramah, di pelbagai mesyuarat, seminar, dialog ketika bertemu rakyat, membuat kenyataan akhbar atau bercakap di depan sidang media, di face-book, twitter dan pelbagai lagi.

Maka itu, kata-kata mereka itu akan diikuti oleh rakyat dan tentunya rakyat menilai kualiti, atau daya intelek seseorang tokoh politik itu. Ini menyebabkan sang tokoh itu terdedah kepada penilaian masyarakat dari sudut imej dan persepsi.

Ini berlaku kerana sang tokoh adalah milik parti yang dianggotainya, tidak kira statusnya dalam parti itu,  justeru media – lebih-lebih lagi media musuh politiknya  – akan segera mengaitkan kenyataannya itu dengan partinya.

Sama ada kenyataannya itu adalah pendapat peribadinya atau suara partinya, namun rakyat mengasosiasikannya dengan parti yang dianggotainya. Maka itu, pendukung parti politik perlulah waspada akan hal ini, supaya kenyataannya itu tidak menjadi beban kepada parti yang didukungnya,  yang  mengakibatkan persepsi dan imej buruk kepada partinya sendiri.

Di Malaysia, tidak kurang riuh rendahnya kenyataan politik pelbagai pihak yang menyebabkan suasana politik di negara ini menjadi jungkir balik, kata orang Indonesia.

Hampir setiap hari ada saja kenyataan yang kadang-kadang ‘mengerikan’ apabila rakyat mendengar dan membacanya, malah ada yang jadi bahan tertawaan kerana lucu, tidak munasabah, malah, mengarut.

Di kalangan PAS sendiri, pelbagai kenyataan yang serupa itu sering bermunculan, menghantar isyarat bahawa sesetengah pendukung PAS mempunyai kecenderungan luar biasa untuk membuat kenyataan.

Sehubungan itu, timbullah isu wala’ dan tidak wala’ atau setia dan tidak setia ahli kepada parti dan pemimpin, di mana isu ini telah sekian lama berlegar di kalangan ahli PAS, atas pelbagai sebab tertentu. Isu yang sangat merimaskan ini rupanya semakin dibubuh baja, direndangkan dan disegarkan, tanpa memikirkan akibatnya yang boleh mencederakan parti itu sendiri.

Maka itu, jika isu ini tidak ditangani dengan bijaksana dan berkesan, ia akan menyebabkan berantakan sesama ahli, yang akhirnya partilah yang rugi.

Menurut pendapat saya, masih tetap ada di kalangan pimpinan dan pendukung PAS yang mahukan isu wala’ ini diselesaikan segera kerama menyedari kesan buruknya. Oleh itu ia perlulah disokong.

Berhubungan dengan pelbagai kenyataan yang keluar dari segelintir pendukung PAS, saya tertarik dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin mengulas mengenai dakwaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengatakan wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Hanipa menyangkal kenyataan Nik Abduh itu, malah menganggapnya sebagai pandangan peribadi semata-mata.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, walaupun pihaknya mengakui sayap ulama parti itu sering dikritik sejak kebelakangan ini, tetapi itu tidak bermakna ia didalangi negara luar untuk menjatuhkan imej parti Islam itu dan pemimpinnya.

"Saya rasa kuasa besar dunia pun ada banyak masalah lain hendak difikirkannya daripada (merancang) konspirasi," kata Hanipa.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Khalid Samad pula menganggap Nik Abduh membuat andaian tanpa asas kukuh.

Katanya, situasi konflik di negara Timur Tengah tidak boleh diramalkan akan sama berlaku di Malaysia.
"Kena ada asas untuk buat andaian. Asas dia apa? Kalau kata usaha hendak jatuhkan ulama (PAS), siapa yang nak jatuhkan?" kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid berkata, teguran yang dibuat ahli PAS dan pihak luar terhadap Majlis Syura tidak bererti mahu menjatuhkan badan tertinggi PAS itu.

"Kepimpinan ulama dijamin dalam perlembagaan (parti), tetapi janganlah mengagap pelbagai pandangan berbeza itu sebagai usaha hendak menjatuhkan kepimpinan ulama, kerana berbeza pendapat itu perkara biasa,” katanya.

Berhubung dengan dakwaan wujudnya konspirasi itu, maka sudah tentu pelbagai pihak menuntut pembuktian yang nyata jika ada. Oleh itu, sebarang dakwaan ia mesti didukung oleh asas yang kukuh dan munasabah, bukan agak-agak atau berdasarkan bacaan politik yang naïf. Jika ada bukti yang kukuh, barulah boleh dipercayai.

Sementara itu, perlulah diakui hakikat bahawa PAS yang kini sudah berusia 60 tahun memiliki sejarahnya yang unik. Ahlinya mencapai 1.3 juta orang dari pelbagai golongan, latar belakang pendidikan, ekonomi, keluarga, budaya dan tradisi yang membentuk pelbagai cara berfikir dan pandangan.

Tetapi walaupun wujud warna warni kepelbagaian mereka, namun selepas mereka menyertai PAS, mereka sangat istiqmah dengan dasar dan perjuangan parti. Tidak ada siapapun yang berhak mencabar wala’ atau kesetiaan mereka, walaupun diakui ada segelintir pendukung PAS –sepanjang sejarahnya - yang tersingkir dari jamaah atas pelbagai sebab tertentu.

Dengan itu sewajarnyalah diterima hakikat kepelbagaian pendapat dalam jamaah dalam usaha mendapatkan keputusan terbaik. Ini kerana Seerah Nabi SAW sendiri menyerlahkan hal ini. Cuma apabila sesuatu telah diputuskan oleh parti, maka semua pihak wajib mematuhinya.

Oleh itu, jika semua ahli matang berpolitik, memahami fikul-waqie, mamahami kaedah dan struktur parti, saya kira pelbagai kenyataan kontrovesi dan tidak munasabah tidak akan bermunculan lagi.

Sewajarnyalah setip ahli sentiasa memikirkan secara positif akan hal ini, bagaimana hendak memperkukuh parti, meningkatkan perpaduan supaya dapat menyerlahkan imej dan persepsi cemerlang kepada masyarakat. Ini kerana masyarakat sedang memerhati dan mengadili PAS.

Begitulah hendaknya dan ini adalah sebuah harapan.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU