Oleh SAIDATUN NADRAH 
 
ALLAH SWT ciptakan seorang ibu itu lengkap 
dengan segala keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Ibu merupakan 
kurniaan Allah yang tidak ternilai buat kita kerana hadirnya dalam hidup
 kita adalah sebagai pelengkap sanubari.
 Setiap orang punyai ibu,
 namun tidak semua dapat menyedari betapa berharga dan bernilainya 
seorang ibu. Naluri keibuan dan kewanitaan yang dimiliki seorang ibu itu
 membuatkan ibu seorang yang bersifat penyayang, pelindung dan penyabar 
dalam membesar dan mendidik anak-anaknya.
 Ibu adalah seorang 
wanita yang melahirkan kita dan setiap permulaan hidup kita di dunia ini
 adalah bermulanya dengan kelahiran seorang ibu.Tanpa ibu,kita tidak 
akan dapat melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang indah
 ini.
 Lantaran itu, kita dituntut untuk sentiasa taat, berbuat baik,dan berlemah-lembut terhadap ibu bapa kita.
 Firman Allah yang bermaksud “Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar 
berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya 
dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua
 tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada
 Aku kembalimu.” (Luqman, 31:14).
 Sejak kecil lagi, banyak jasa 
dan pengorbanan yang telah ibu curahkan buat kita termasuklah membesar 
dan mendidik kita dengan ajaran serta ilmu agama supaya kita akan 
menjadi seorang insan yang berguna apabila dewasa kelak.
 Islam 
sangat memuliakan kedudukan dan darjat seorang ibu sehingga tiga kali 
ganda lebih tinggi berbanding bapa. Hal ini kerana tiga kali darjat 
tersebut mewakili peranan seorang ibu yang tidak akan pernah dapat 
digantikan oleh seorang bapa. Ibu mampu melakukan tugas seorang bapa, 
tetapi bapa tidak mampu melakukan tugas seorang ibu.
 Jika seorang
 bapa mencari nafkah atau bekerja,seorang ibu juga mampu melakukannya 
sebaliknya tidak semua bapa mampu mengambil alih peranan seorang ibu 
termasuklah mengandung, melahirkan, menyusukan serta menjaga anak dengan
 penuh kasih sayang.
 Ini belum termasuk lagi dengan tugas dan 
taggungjawab di rumah iaitu melakukan kerjakerja rumah seperti mengemas,
 menyapu, membersih, mencuci, melipat baju dan sebagainya.
 
Sungguh banyak tugas seorang ibu walaupun tidak bekerja tetapi dipenuhi 
pula dengan tugas-tugas di rumah. Oleh kerana itulah kerja sebagai 
seorang suri rumah merupakan suatu pekerjaan yang sa ngat mulia.
 
Terdapat sebuah riwayat yang datang dari Abu Hurairah menceritakan kisah
 seseorang yang bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. “Siapakah orang 
yang pa ling berhak untuk saya temani dan layani, ya Rasulullah?” 
Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi,” Kemudian
 siapa lagi? Rasulullah s.a.w. menjawab “Ibumu,” Lelaki itu bertanya 
lagi, “Kemudian siapa lagi?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ibumu,” Lelaki
 itu bertanya lagi, “Kemudian siapa lagi?” Rasulullah s.aw. menjawab 
“Bapamu.” (HR Bukhari dan Muslim).
 Berdasarkan hadis ini, jelas 
menyatakan bahawa ibu lebih diutamakan berbanding bapa sebanyak tiga 
kali dan ini menunjukkan Islam sangat memuliakan darjat seorang wanita 
bernama ibu berbanding bapa.
 Kebanyakan mereka yang sibuk bekerja
 siang dan malam mengejar harta dunia sering mengabaikan tanggungjawab 
mereka terhadap ibu bapa mereka dan akibatnya mereka dengan mudahnya 
menghantar ibu bapa ke rumah orangorang tua dengan alasan tiada masa 
menjaga mereka.
 Orang-orang seperti ini barangkali lupa bahawa hidup mereka selama ini tidak akan bermakna tanpa doa seorang ibu.
 Doa seorang ibu itu sangat mustajab dan selalu akan dimakbulkan oleh 
Allah. Kebanyakan daripada kita sering memohon atau meminta doa daripada
 ibu supaya apa-apa sahaja perkara yang kita lakukan menjadi mudah 
berkat doa seorang ibu.
 Tetapi ramai dalam kalangan kita yang 
hanya mengingat ibu apabila waktu susah, dan mengabaikan serta 
melupakannya dikala senang. Ibu tidak putusputus mendoakan kesejahteraan
 kita, namun adakah kita juga berbuat demikian? Cuba kita muhasabah diri
 kita. Tepuk dada tanyalah diri, tanyalah iman.
 Sayangi dan 
hargailah ibu bapa kita selagi hayatnya masih ada. Berbuat baiklah 
kepada mereka sebanyak mungkin kerana anak yang baik serta soleh dapat 
menjamin untuk mendapat jannah- Nya kelak.
 Teruskan berdoa buat 
ibu bapa kita tidak kiralah yang masih hidup atau sudah tiada kerana itu
 adalah salah satu cara buat kita sebagai anak untuk berbakti pada 
mereka. Selamat Hari Ibu kepada seluruh ibu di Malaysia.
 Ibu, kaulah segalanya.
 >> Penulis merupakan mahasiswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)






0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !