PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan
hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami
penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin
disayangi ramai, di dalam dan luar negara.
Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.
“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,”
itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila
mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat
selama-lamanya.
Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari
sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan
insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.
Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada,
mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,”
walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.
(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu
air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi
keluarganya di kediamannya).
Kini, anak-anaklah yang akan
menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru
sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.
Tiada
istilah mahukan ‘privacy’ dalam kamus hidupnya. Walaupun wartawan
sentiasa menerjahnya tidak kira di mana, termasuk di kediamannya di
Pulau Melaka. beliau akan melayan mereka.
Beliau juga tidak
pernah amalkan ungkapan 'off the record' (tidak boleh siar) walaupun
perkara yang dijawabnya agak kontroversi.
Apa yang diucapkan
nampak datangnya dari hati, tanpa nampak sebarang percubaan untuk
menyembunyikan sesuatu. Kadang-kadang kenyataan beliau menjadi bahan
untuk dikritik, namun beliau tidak pernah memulaukan wartawan atau
media terbabit, tetapi hanya membiarkan ia berlalu.
Umum mengetahui beliau seorang pemimpin sederhana.
Pada suatu hari semasa masih menjadi menteri besar, wartawan menunggu
di depan rumahnya di Pulau Melaka, beliau tiba dengan membawa dua
bungkus nasi.
“Minta maaf la, ambo (saya) rasa nak makan nasi
bungkus, tadi ke pasar di Bachok. Cukuplah untuk dua orang (bersama
isteri), ” katanya sambil menguntumkan senyum kepada wartawan.
Oleh kerana rumahnya terbuka dan tidak berpagar, ia sering kali dikunjungi pelawat mahupun peminta sedekah.
Sering kali diperhatikan walaupun penat seharian menjalan tugas beliau
cuba sedaya upaya melayan pelawat atau peminta sedekah sebaik mungkin.
Lima tahun saya berkhidmat dengan Sinar Harian di Kelantan, ada
beberapa kenangan dengan Tok Guru, yang membuat pemergian beliau cukup
terkesan, terutama apabila menyaksikan betapa teguhnya pendirian beliau
dalam meneruskan perjuangan walaupun sentiasa berhadapan dengan
pelbagai cabaran dan ujian.
Beliau tidak pernah menjadikan
kanser yang dihadapinya sebelum PRU13 itu penghalang untuk berdakwah
sehingga ke akhir hayat walaupun terpaksa membawa kantung air kencing
ke hulu ke hilir.
Rumah saya tidak jauh dari rumah Tok Guru dan kadang-kadang bersolat di masjid Pulau Melaka.
Biasa saya lihat dalam keadaan uzur, Tok Guru berusaha ke masjid,
kadangkala terpaksa dipimpin oleh anak lelakinya Nik Omar atau
pelajar-pelajar Maahad Darul Anuar yang diasaskannya.
Sepanjang bertugas di negeri ini, saya pernah mengadakan empat kali
wawancara eksklusif bersama beliau dan setiap kali berjumpa saya gunakan
sebaik mungkin peluang untuk bertanya isu-isu semasa, sama ada
pentadbiran kerajaan negeri mahupun sebagai Mursyidul Am Pas.
Ada kalanya saya bertanya soalan yang agak sensitif dan bersifat peribadi, tetapi dijawab dengan penuh berhemah.
Dalam satu wawancara tiga hari sebelum PRU13, iaitu tempoh akhir
beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, saya bertanya
mengenai jawatan yang disandangnya begitu lama sehingga mengundang
kritikan banyak pihak.
Jawapan yang diberikan cukup bersahaja, antara kata-katanya yang dipetik:
“Orang pilih saya, ia bermakna orang bersangka baik pada kita. Sangka
baik bukan boleh dibeli. Bila kita tolak ia bermakna kita tak
menghargai. Dalam umur saya, sekali sahaja saya minta mahu jadi calon.
Ketika itu zaman Pas belum bergabung dengan Umno. Saya merayu minta nak
jadi calon, sebab bila jadi calon kita akan ada nilai. Saya nak
bercakap atas kapasiti YB, lepas itu saya tak pernah minta, sebaliknya
parti calonkan dan saya terima,” katanya.
Beliau menambah:
“Jawatan yang berat bagi saya bukan menteri besar, tetapi mursyidul am,
(kerana) sebagai mursyidul, mesti ada gambaran macam Nabi Muhammad
SAW; (dari segi) tutur kata, tidur, makan, minum, kuliah kita akan
diperhatikan. Kalau nak tengok Nabi tengok mursyid. Tidak kira
mana-mana negara atau gerakan, mursyid adalah sesuatu yang besar. Sebab
itu saya merasakan jawatan itu sangat-sangat berat untuk dipikul."
Dalam satu soalan lain, saya bertanyakan adakah Tok Guru seorang pendendam kerana sering kali mengungkit kisah Umno dan Pas?
Beliau menjawab: “Saya tidak dendam, saya menerangkan kebenaran. Kita
ikut keadaan. Kalau kesalahan kuat, kita tingkatkan serangan. Nabi ajar
tak boleh surung (masuk) sekali kena sengat, tidak boleh sengat kali
kedua,” katanya.
Di akhir wawancara, Tok Guru meminta
jurufoto Sinar Harian mengambil gambar beliau bersolat jemaah di
pejabatnya, tetapi tidak siapa yang menyangka ia adalah hari-hari
terakhir beliau selepas menamatkan perkhidmatan 23 tahun mengetuai
kerajaan Kelantan.
September tahun lalu, saya juga sempat
mengadakan wawancara terakhir dengan beliau. Antara intipati yang
paling besar dalam wawancara itu adalah beliau menyatakan beliau sudah
reda dengan kehidupan dan rintangan yang ditempuhi dan berpesan kepada
semua cucunya “atok tidak meninggalkan harta banyak, tetapi carilah
bekalan ilmu dibawa untuk menghadap ALLAH”
Saya mengikuti
perkembangan kesihatan Tok Guru dari semasa ke semasa sehinggalah hari
terakhir beliau meninggal dunia. Kanser yang dihadapinya sudah lama
menjadi perbualan tetapi tiada siapa yang mengesahkan sehinggalah,
anaknya Nik Abduh, mengiyakan pada awal tahun lalu ketika kami menjadi
saksi kepada satu kes mahkamah.
Alhamdulillah, saya juga
diberi kesempatan melihat beliau di unit rawatan rapi Hospital
Universiti Sains Malaysia, walaupun melalui cermin.
Begitu
juga pada malam kematiannya, saya berada di pekarangan rumahnya setelah
mengetahui beliau akan dibawa balik dari hospital, namun tidak
menyangka beliau akan pergi selamanya hanya sejam selepas diusung dari
ambulans.
Allahuakhbar, saat diumumkan oleh sanak saudaranya,
Tok Guru sudah tiada, hati berdegup kencang, air mata mula membasahi
pipi, wajah Tok Guru terus terbayang.
Moga-moga Tok Guru ditempatkan ALLAH bersama mereka yang diredaiNYA. Alfatihah.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !