KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera terbunuh
manakala dua orang awam cedera selepas seorang anggota tentera
dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan
di hadapan kedai Gemilang 24 Jam di kawasan Pekan Lahad Datu awal hari
ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata dalam
kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, anggota tentera berkenaan, Lans
Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di kiri dadanya dan
meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Kedua-dua orang awam
yang cedera adalah lelaki warganegara Indonesia masing-masing berumur 31
dan 38 tahun, yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.
Seorang
daripada mereka cedera di betis kiri manakala seorang lagi cedera di
bahagian belakang sebelah kiri badan, kata Hamza ketika dihubungi
Bernama.
Butiran lengkap berkaitan kedua-dua mangsa orang
awam itu belum diperoleh dan mereka masih menerima rawatan di Hospital
Lahad Datu.
Hamza berkata semasa kejadian, anggota tentera yang
melepaskan tembakan itu sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan
berkenaan dan siasatan di tempat kejadian menjumpai beberapa kelongsong
peluru dan kesan tompokan darah.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang berusaha mengesahkan anggota tentera yang terlibat.
"Tangkapan akan dibuat dan senjata yang digunakan akan dirampas," kata Hamza.
Beliau
turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana keadaan
keselamatan adalah terkawal manakala kes itu pula diklasifikasikan
sebagai kes jenayah dan tidak melibatkan penjenayah dari luar. - Bernama
Home »
Berita Semasa
» Anggota tentera maut, dua awam cedera ditembak
Anggota tentera maut, dua awam cedera ditembak
Written By zabidi on Wednesday, 28 May 2014 | 13:13
Labels:
Berita Semasa
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !