Headlines News :
Home » » Bajet 2016: Bertaubat dan maaf tidak menghukum

Bajet 2016: Bertaubat dan maaf tidak menghukum

Written By zabidi on Tuesday, 27 October 2015 | 16:26


Firman Allah:    
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا(29) إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا(30) سورة الإسراء: 29-30
“Dan Janganlah jadikan tanganmu terbelenggu dileher (bakhil) dan jangan pula terhulur seluas-luasnya (boros). Nanti kamu menjadi terduduk dalam keadaan tercela dan menyesal. Sesungguhnya Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dan menentukan kadarnya. Sesungguhnya Allah berlaku terhadap hamba-Nya dalam keadaan Maha Mengetahui lagi Maha Melihat” (Surah al-Isra’: ayat 29-30)

Inilah petunjuk Allah yang mengajar manusia cara-cara berbelanja dengan betul (istiqamah) dan menjadi panduan untuk individu sehinggalah dalam urusan negara. Allah menyifatkan sebagai salah satu daripada ciri-ciri kebijaksanaan (hikmah) bagi manusia.

Sudah menjadi kebiasaan pembentangan bajet akan dikemukakan jumlah hasil dan pendapatan. Dan dikemukakan juga peruntukan dan perbelanjaan yang besar bagi menjana ekonomi negara demi kemajuan, keselesaan kehidupan rakyat dalam segala aspek dan melancarkan perjalanan jentera kerajaan.

Ukuran kejayaan bajet yang sebenar adalah memastikan semua pihak dalam keadaan selesa. Bajet tidak mencapai matlamat kalau pihak kerajaan sahaja yang selesa, sedangkan rakyat masih menderita dengan masalah mereka yang belum selesai atau mendatangkan masalah baru yang menimpa kehidupan seperti masalah kemiskinan yang masih ada, kemudahan asas belum dipenuhi dan ditambah dengan masalah inflasi yang membebankan kehidupan dalam segala aspeknya, di antaranya; kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak boleh ditampung dengan pendapatan yang tidak mencukupi. Dan juga keamanan hidup yang tidak terjamin dengan kadar jenayah yang meningkat atau tidak di atasi serta kemalangan yang sering berlaku.

Parlimen menjadi tempat bermuhasabah samada membahaskan yang telah berlangsung untuk menjadi iktibar atau bakal dilaksanakan supaya lebih berhemat dan berhikmah.

Bagi penganut Islam diajar agar beriman bukan sekadar Wawasan 2020 yang sudah hampir tiba bahkan lebih mencabar lagi menghadapi wawasan akhirat dengan adanya perhitungan dosa dan pahala dalam segala aspek urusan hidup bermasyarakat yang tidak dipisahkan daripada Islam yang lebih luas maknanya daripada perkataan agama yang difahami pihak yang lain termasuk dalam aspek politik, ekonomi dan pengurusannya.

Dalam aspek ekonomi pula lebih menjadi penekanan dalam kehidupan duniawi apabila menjadikan ekonomi seperti berhala yang dipuji oleh semua ideologi dan teori ciptaan manusia seperti kiblat yang dihadap ketika beribadat.

Islam menegaskan bahawa aspek ekonomi merupakan sebahagian daripada perkara amanah yang besar tanggungjawabnya.
Firman Allah:     
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu (secara wajib) supaya menunaikan amanah kepada ahlinya yang layak dan apabila menghukum atau memerintah kalangan manusia hendaklah berlaku adil. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Rasulullah SAW memberi amaran apabila amanah dijadikan peluang untuk mendapatkan habuan diri, keluarga dan kroni sebagai tanda berlakunya kemusnahan umat

Dalam aspek ekonomi, setiap orang akan ditanya daripada mana diambil hartanya, bagaimana dan kemanakah harta itu dibelanjakan. Maka dalam aspek pemerintahan negara ianya lebih besar amanah dalam persoalan ini.

Dalam perkara hasil dan pendapatan wajib diambil kira bukan sahaja zat barangannya, bahkan diambil kira juga cara mendapatkannya.

Adakah ianya halal dan harus diambil daripada hasil bumi atau percukaian atau hutang?

Adakah ianya diambil dengan cara yang betul tanpa zalim atau menipu atau hasil rasuah atau terdapatnya salah laku cara mendapatkan hasilnya?

Dan dipersoalkan juga kemanakah harta tersebut dibelanjakan dan bagaimana?

Adakah mengenai sasarannya yang betul dengan kadar yang tepat atau melebihi sehingga boros?

Maka Allah berfirman:
وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا(26)
 إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا (27)
“Tunaikan terhadap kalangan yang ada hubungan keluarga akan haknya yang sepatut dan orang yang miskin dan musafir yang terputus bekalan dan jangan sekali berlaku boros terlampau boros. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu menjadi saudara-saudara syaitan dan syaitan itu terlalu kufur (ingkar dan melawan) terhadap Tuhannya ” ( Surah al-Isra’: ayat 26-27)

Bermula dengan cara mendapatkan hasil yang tidak betul atau salah akan tetap diambil kira kerana cara yang tidak betul tiada keberkatannya walaupun terlalu banyak jumlahnya. Al-quran menegaskan konsep keberkatan:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (96) أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ (97) أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ (98) أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ (99)
“Dan kalaulah penduduk negeri beriman dan bertaqwa nescaya kami bukakan untuk mereka keberkatan-keberkatan yang banyak, yang datang daripada langit dan yang keluar daripada bumi tetapi mereka membohonginya, lalu kami mengambil tindakan menghukum dengan sebab apa-apa yang telah dilakikan oleh mereka. Adakah penduduk negeri merasa aman selamat apabila tibanya hukuman kami diwaktu malam ketika mereka nyenak tidur. Adakah penduduk negeri merasa aman selamat apabila tibanya hukum kami diwaktu dhuha (pagi) ketika mereka bermain. Dan tidaklah mereka selamat daripada langkah hukuman kami itu melainkan orang yang rugi” (Surah al-A’Araf: 96-99)

Perkataan berkat tidak ada dalam istilah teori politik, ekonomi dan kemasyarakatan ciptaan manusia, hanya ada dalam Al-Quran. Tanpa keberkatan berlakunya bencana alam sekeliling seperti gempa bumi, banjir, termasuk jerebu. Bukan sahaja jerebu cuaca, termasuk juga jerebu politik, ekonomi dan sebagainya kerana kerakusan tanpa batas seperti tiada mesra dengan alam sekeliling sehingga boleh merosakkan alam sekitar kerana rakus mendapat hasil dan kerosakan secara langsung dilakukan oleh tangan manusia menyebabkan berlakunya inflasi dan kejatuhan matawang.

Berlaku juga kerana tiada kesaksamaan diantara pengeluaran dan kuasa membeli atau pengedaran wang palsu yang boleh berlaku diperingkat antarabangsa. Saya percaya banyak negara dalam ketakutan untuk menyiasat atau mengkaji USD yang menjadi sandaran kewangan dunia itu. Adakah kertas kosong yang dicetak sebanyak-banyaknya tanpa sandaran emas atau barang yang bernilai tinggi kerana pencetaknya negara kuasa besar. Semua kesilapan atau kezaliman dan salahlaku boleh menjadi bencana alam yang nyata.

HISBAH

Dalam sistem pemerintahan Islam disebut tentang hisbah. Hisbah dilakukan bukan sahaja terhadap hasil pendapatan, bahkan dilakukan juga terhadap manusia yang mengurusnya.

Di atas konsep hisbah tersebut berlaku peristiwa kepimpinan menjadi teladan secara kenyataan bukannya teori dan slogan. Di zaman Khalifah Umar Bin Al-Khattab R.A apabila Islam telah berjaya membebaskan tanah jajahan dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Walaupun dianggap negara paling besar, maju dan kaya dizamannya. Namun dia kuasa besar yang kuat dan kaya itu dianggap jahiliah kerana pelaksanan konsep federalism yang memperhambakan rakyat dan menjajah negara dan kaum lain. Walau pun kekayaanya melimpah ruah namun ramai rakyatnya menderita, kerana sekadar menjadi hamba kepada golongan atasan yang memerintah dan memiliki secara monopoli. Para petaninya tidak ada pemilikan tanah dan berlapis generasi hanya layak menjadi laksana hamba abdi kepada tuan-tuan tanah. Para peniaga dikenakan cukai yang membebankan dan diambil cukai seperti menyamun tanpa timbangrasa kemanusiaan.

Islam telah membawa perubahan dengan kebebasan ekonomi yang tidak menindas dan tidak memperhambakan rakyat serta menjana kewangan negara yang melimpah ruah. Bukan sahaja kemudahan asas rakyat yang sempurna mengikut zamannya bahkan kewangan negara yang melebihi keperluan tanpa kekurangan. Sabda Rasulullah SAW:
وليبذلن المال حتى لا يقبله أحد
“akan tiba masanya Islam mencapai kejayaan sehingga harta melimpah ruah tidak ada penerimanya”

Peristiwa menarik berlaku dizaman Khalifah Umar R.A. apabila datangnya longgakan kain di Madinah untuk dibuat pakaian dan kain merupakan bahan paling sukar didapati dizamannya, lalu dibahagikan secara percuma kepada penduduk Madinah. Setelah beberapa hari Khalifah Umar R.A datang menemui rakyat di masjid dengan berpakaian baru. Sebaik sahaja memulakan ucapannya:
“Tuan-tuan dan puan-puan. Sila dengar dan taat ”. Tiba tiba ada yang menyampuk : “ Kami tidak mahu dengar dan taat sehinggalah amir mukminin atau tuan khalifah memberi tahu daripada mana datangnya kain baju baru yang dipakai ini kerana mengikut bahagianya tidak mencukupi badanmu yang besar, sudah pasti diambil kain dari pintu belakang?”

Alasannya kerana mengikut pembahagian yang diberi kepada masing-masing secara saksama tidak boleh mencukupi saiz pakaian Khalifah Umar yang besar badannya.

Sehinggalah anak khalifah, Abdullah Bin Umar memaklumkan bahawa dia menghadiahkan bahagiannya kepada ayahnya. Sebaik sahaja penjelasan diberikan dengan cara yang boleh dipercayai maka si pengkritik menegaskan “Sila teruskan ucapan, sekarang kami sedia mendengar dan mematuhinya”.

KRISIS KEYAKINAN

Kita sedang mengalami krisis keyakinan yang lebih besar daripada sehelai kain, berjuta kali ganda daripada kepunyaan Khalifah Umar Bin Al-Khattab R.A. Krisis keyakinan yang berlaku diseluruh pelusuk dunia, kita menerima limpahan dan tempiasnya. Berulang kali berlakunya salah laku dalam hasil, perbelanjaan dan pengurusan.

Walaupun berlaku juga dibanyak negara lain yang dilanda krisis yang melemahkan keyakinan dan kepercayaan kerana tidak amanah. Namun kita jangan sekali-kali berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang memijak sebatang kayu buruk bagi menyeberangi parit kerana melihat semut yang banyak jumlahnya dapat meniti dengan selesa menyebabkan Pak Pandir basah kuyup jatuh ke dalam parit kerana meniti kayu buruk bersama semut itu. Atau jangan sekali-kali menyalahkan orang lain tanpa mencermin diri sendiri.

Marilah kita menjadikan iktibar secara ikhlas mengambil manfaat daripada hasil bumi negara kita yang melimpah ruah, tenaga manusia berbilang kepakaran, kemampuan daripada masyarakat majmuk yang sama kemanusiaanya walau berbeza bangsa, agama dan budaya.

Dengan semangat masyarakat madani yang bersumberkan bahasa al-Quran daripada perkataan tamadun (kemajuan) dan al-Deen (agama dan cara hidup tanpa pemisahan daripada agama).

Ibnu Khaldun menegaskan bahawa manusia itu bermasyarakat madani mengikut fitrahnya. Dengan syarat dibangunkan insannya ( sifat dan ciri manusianya ) dengan betul, aspek jasad, ruh, akal, individu, masyarakat sehingga mampu membina negara dalam segala aspeknya, bukan sahaja politik yang paling banyak dicaturkan sehingga mencelarukan. Bahkan termasuk juga ekonomi, keamanan dan keselamatan disemua peringkat merangkumi semua aspek kejadian manusia dan urusan kehidupannya daripada individu, keluarga, kelompok kecil sehinggalah sebuah negara masyarakat majmuk dan masyarakat antarabangsa.

Percayalah bahawa kegagalan terus berulang sehingga lebih setengah abad walaupun sudah memerintah sendiri tapi masih tetap naik turun dan pasang surut tanpa mencapai ke tahap negara maju dan kuat. Wawasan 2020 sudah hampir pencetusnya masih hidup dan sangat berusia, namun tahap pencapaiannya secara menyeluruh belum hampir mencecah harapan. Maka kaum bumiputera yang sudah kebelakang menjadikannya tetap menjadi lebih maju. Konsep perlumbaan dalam teori liberal kapitalisma menjadikan kekayaan berpusing dikalangan tertentu sahaja menyebabkan terus melakukan perkara yang ddilarang oleh al-Quran.
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا  وَاتَّقُوا اللَّهَ  إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Diagih dengan betul supaya harta itu tidak berpusing dikalangan orang-orang kaya tertentu dikalangan kamu sahaja. Apa-apa ajaran yang dibawa rasul ambilah pengajarannya secara amali dan apa-apa yang dilarang tinggalkanlah, dan bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha keras balasannya” (Surah al-Hasyr: ayat 7)

Allah mencipta manusia dengan sifat kemampuanya untuk mentadbir dan mengurus.
Firmannya:
أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً
“Adakah kamu tidak dapat melihat betapa Allah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada dilangit dan bumi, lalu Dia melimpahkan kepada kamu segala nikmat yang zahir dan tersembunyi ”

Allah mencipta manusia dengan sifat kemampuan dari sudut jasad, roh dan akal. Kalau diolah dengan tarbiah pendidikan dan pelajaran yang baik merangkumi semua sifat kemanusiaannya nescaya manusia dapat mengurusnya dengan kebaikan yang berkatnya akan membawa pulangan yang melimpah ruah.

Seseorang ulama zaman salaf terdahulu dizaman keemasan Islam mengesahkan dia menyaksikan dua zaman dalam era kerajaan Umawiyyah.

Katanya: “Saya menyaksiakan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik meninggalkan harta pusaka berjuta dinar dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggalkan harta pusaka sejumlah hanya dua puluh dinar. Tiba-tiba saya menyaksikan anak kepada Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjadi hartawan dan dermawan yang mampu menyumbang beratus ribu dinar.”

Menunjukkan betapa peranan manusia adalah pertama dan utama, peruntukan sumber modalnya hanyalah bahan dan alat yang dirancang dan urusan bagi melaksanakan pelaburan secara istiqamah.

Tanpa bakhil dan boros yang dimasukkan dalam perkara kebijaksanaan (alhikmah) daripada petunjuk Allah. Bermakna perlukan belanjawan yang konsisten tanpa bakhil dan tanpa boros. Bakhil menyusahkan rakyat sehingga menjadikan rakyat tidak menyumbang kepada negara maka negara tidak maju. Boros pula merosakkan harta negara sehingga tidak maju. Inilah makna al-Wasatiyyah dalam aspek ekonomi yang menjana ekonomi negara.

Negara memerlukan pengurusan yang bijaksana, perbelanjaan yang betul dan adil. Tanpa kebijaksanaan ini hasil yang banyak tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Berlakunya perbahasan bajet tambahan setiap kali selepas adanya persidangan bajet umum menunjukkan adanya lubang yang membocorkan, menjadikan kewangan yang diperuntukkan tidak konsisten atau pengurusan yang salah. Adanya surplus (lebihan) menandakan kebijaksanaannya. Berlaku defisit (kekurangan) menandakan tidak bijak atau berlaku penyelewengan.

Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita juga memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Seringkali berlakunya kehilangan wang negara dengan berbagai-bagai peristiwa yang ditinggalkan zaman tanpa penyelesaian dan ditutup puncanya dibawah karpet untuk dilupakan sehingga tidak menjadi iktibar.

Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar. Peristiwa terkini yang diwar-warkan 1MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, KPFZ, Maika Holding dan lain-lain.

Tidak habis-habis menyalahkan di antara satu sama lain dan silih berganti tanpa keinsafan. Nampaknya kemampuan kita sekadar meminta supaya bertaubat, insaf dan jangan ulang lagi.

Namun Islam mencipta sejarah apabila Nabi Muhammad SAW bertindak memaafkan kepada yang bersalah semasa Fathul Makkah dengan keinsafan selepasnya telah berjaya mencipta tamadun baru. Apabila mereka yang istiqamah (betul) sepanjang masa bergabung tenaga dengan mereka yang insaf menebus kesalahan yang lalu dengan khidmat yang sangat cemerlang sebelum meninggal dunia.
Allah sentiasa menguji kita dengan cabaran dalaman dan di luar kita.
Firman Allah:
وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ(25) وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ ۚ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ (26) وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ(27)
“Dialah yang menerima taubat hamba-hambaNya dan memaafkan mereka daripada dosa-dosa pada hal Dia mengetahui apa-apa sahaja yang kamu lakukan. Dia menerima orang-orang yang beriman dan menambahkan kurniaanya dan bagi orang-orang yang kufur (melawan) hukuman azan yang sangat dahsyat. Kalau Allah melimpah ruahkan rezekinya tanpa batas nescaya mereka jadi melampau, namun dikurniakan mengikut kadar yang Dia kehendaki. Sesungguhnya dia maha mengetahui berkenaan hamba-hambanya lagi maha melihat." (Surah As-Syura: ayat 25-27)

Sangat menakjubkan kerana Allah menurunkan ayat ini dalam Surah Al-Syura yang bermakna mesyuarat. Menunjukkan diberi peluang untuk bermesyuarat dan bertaubat bukan sekadar mendesak supaya menghukum yang tidak boleh menyelesaikan masalah.

TPPA TIDAK BERMASYARAKAT MADANI

Manusia bermasyarakat madani bukan sahaja dalam aspek masyarakat yang sempit, bahkan Al-Quran meluaskan skopnya dengan makna yang luas mencakupi seluruh dunia dan semua aspek kehidupan manusia yang bermasyarakat termasuk aspek ekonomi. Penegasan Al-Quran meletakkan manusia semuanya adalah satu keluarga.
Firmah Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai manusia sesungguhnya kami menciptakan kamu berasal daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang wanita (Hawa), dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf  diantara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia kalangan kamu disisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan Maha Mengetahui juga berkenaan urusan kamu”

Di sini ditegaskan bahawa manusia itu pada hakikatnya berkeluarga besar berasal daripada bapa dan ibu yang sama, kemudiaanya berkembang ke seluruh pelusuk bumi, ditempatkan dengan cuaca yang berbeza, menjadikan mereka pula berbagai bangsa, bahasa, warna kulit dan sumber berlainan. Namun tetap menjadi keperluan semua manusia mewajibkan mereka bertaaruf bukan sahaja maknanya dari segi bahasa sekadar berkenalan wajah bahkan juga saling berhajat di antara satu sama lain dalam semua aspek.

Ibnu Khaldun (Bapa Ilmu Sosiologi) menegaskan keperluan manusia dalam semua keperluan hidup, termasuk dalam aspek ekonomi mewajibkan bermasyarakat madani (bertamadun dengan ilmu, iman dan akhlak yang semuanya daripada perkara al-Deen)

Mewajibkan kerjasama yang adil dengan penuh saksama dikalangan manusia samada dalam kelompok kecil sehinggalah paling besar diperingkat antarabangsa dan alam sejagat.

Inilah hikmatnya Al-Quran menegaskan manusia seluruhnya pada hakikatnya adalah satu keluarga walaupun berbeza bangsa, agama, budaya dan lain-lain.

Namun memerlukan percampuran bahan, kebolehan, kepakaran, dan tenaga, pertukaran dan bertolong menolong dalam perbezaan tersebut serta kemajuan masing-masing.

Ada negara yang kaya dengan sumber pertanian, ada pula yang kaya dengan sumber galian, ada pula yang kaya dengan kemahiran dan keparakan, ada yang kaya dengan tenaga rakyat.

Pada dasarnya adalah tidak mungkin seorang manusia atau satu bangsa atau negara mempunyai segala-galanya.

Maka dalam aspek ekonomi juga mewajibkan adanya hubungan kerjasama dan pembahagiaan kekayaan atau pendapatan yang adil dan saksama.

Al-Quran yang menjadi mukjizat memaparkan kisah terdahulu yang berulang dengan situasi dan reality terkini.

Allah mendedahkan ada kalangan para rasul a.s yang menentang jahiliah ekonomi. Firman Allah mengesahkan kerasulan Nabi Syuaib A.S
وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (85) وَلَا تَقْعُدُوا بِكُلِّ صِرَاطٍ تُوعِدُونَ وَتَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِهِ وَتَبْغُونَهَا عِوَجًا ۚ وَاذْكُرُوا إِذْ كُنْتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ ۖ وَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ (86)
“Dan kepada penduduk Madyan diutuskan saudara mereka Nabi Syuaib menjadi rasul. Dia berkata “ Wahai kaumku, abdikan diri kepada Allah, tiada lagi tuhan selain daripada-Nya. Telah datang kepada kamu keterangan daripada Tuhan kamu. Maka tunaikan sukatan dan timbangan dengan betul. Jangan sekali-kali mengambil sesuatu harta manusia secara jahat, dan jangan  melakukan kejahatan dibumi selepas dilakukan pembaikan. Itulah yang lebih baik kepada kamu sekiranya kamu beriman. Jangan duduk dijalanan untuk melakukan ancaman bagi merampas harta orang yang lalu dan menghalang manusia daripada jalan Allah kerana mahu berlaku menyeleweng. Ingatlah nikmat Allah dimana kamu dahulunya sedikit (lemah dan susah) lalu Allah membanyakkan kamu dari segi bilangan kaum dan kemewahan hidup. Lihatlah apa-apa bencana yang telah menimpa ke atas mereka yang melakukan kejahatan.”

Paparan daripada Al-Quran menunjukkan para rasul juga ditugaskan menentang jahiliyah ekonomi apabila manusia yang bertuhankan harta menjadikannya matlamat hidup yang dipuja selain Allah, mempersucikannya secara kotor sehingga berlaku zalim terhadap sesama manusia sehingga melupai sifat kemanusiaan.

Gejala ini mencetuskan era kezaliman di masa lampau, sehingga merampas bumi dan hasilnya, serta memperhambakan sesama manusia.

Kalau dizaman dahulu kuasa barat yang maju dengan kuat selepas Revolusi Industry, demi menjana kemajuannya maka dibentuk armada untuk merompak dilautan luas, selepasnya sanggup menjajah bumi, merampas hasil bumi dan menawan penduduk yang lemah serta dijadikan hamba abdi yang diperniagakan.

Selagi gejala tersebut berterusan, maka keadaannya mengikut perkembangan zaman, sehingga serba boleh, maka diwujudkan masalah ekonomi bagi negara besar demi kepentingannya sahaja, dengan mempergunakan negara sederhana dan kecil di atas konsep ekonomi bebas mengikut sistem liberalisme, kapitalisme atau sosialisme mengikut agenda globalisasi yang menjadikannya lebih moder dan canggih.

TPPA ini adalah agendanya, bagi menghapuskan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sifat kemanusiaan sejagat dan hak asasi yang adil sesama manusia yang berkeluarga secara masyarakat madani.

Kalau penjajahan purba merompak tanpa undang-undang, maka penjajahan baru diadakan undang-undang melindungi rompakan global disebalik perjanjian yang dimeteraikan laksana cacing–cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular yang lebih besar atau ikan kecil menumpang jerung yang lebih besar lagi ganas.

Begitulah betapa jadinya petani di negara yang sedang membangun sejak lebih setengah abad masih belum terbangun dengan sendirinya, terus bernaung di bawah ketiak-ketiak bekas penjajah yang masih berpeluh dengan semangat penjajahannya, dimana petaninya yang memiliki tanah sekangkang kera yang majunya membajak dengan trekter kobota paling kecil ditolak, ada yang membajak dengan kerbau, menandingi petani negara besar yang memiliki ladang beribu-ribu hektar dengan jenteranya yang besar dan canggih, di samping kemajuan sains dan teknologinya. Begitulah juga nasib nelayan kecil yang bersampan menandingi kapal-kapal armada nelayan meredah lautan, sama sahaja nasibnya para kontraktor tempatan akan bersaing dengan kontraktor gergasi yang masuk kerana perjanjian yang merobekkan sempadan ekonomi negara. Belum lagi dikira USD yang tidak diketahui cagarannya tetap perkasa mungkin dengan kertas kosong kerana kuasa besar bersemangat penjajah melindunginya dengan kadar ringgit yang tidak mampu dipertahankan.

Sepatutnya zaman pemimpin rakyat yang berjoli dengan umpan kereta Rolls Royce teksi terpakai daripada England diberi menjadi kereta rasmi sudah cukup bagi menjadikannya tanpa peduli rakyat yang masih berkaki ayam sudah berlalu dalam lipatan sejarah  kerana kita dikatakan sudah merdeka dan berulang kali menyambut hari kemerdekaan.

Akhirnya, selamatkan keadaaan secara bermasyarakat madani dikalangan negara serantau (Asean), negara satu umat dan seagama (OIC) dan juga satu kemanusiaan (NAM) dengan adil dan kesaksamaan kemanusiaan yang bermoral, bukannya negara rimba dengan kemajuan sains dan teknologi yang menjadikannya lebih ganas daripada binatang paling buas, kerana berakal dan berilmu yang disalahgunakan. Itulah namanya jahiliyyah walaupun sudah berada dalam abad yang baharu.

Benarlah firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah – mudahan mereka kembali kepada kebenaran”. (Ar Rum: 41)

TPPA bukannya penyelesaian ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajahan baru dalam aspek ekonomi kerana tidak mewujudkan kerjasama yang saksama dan adil. Adalah lebih baik bagi negara kita mengadakan kerjasama serantau dan negara yang yang terdekat diutamakan.

Kerjasama ASEAN, OIC, China, Jepun, Rusia selepasnya diikuti Eropah dan Amerika tanpa bermusuh dengan sesiapa dengan menggunakan bahan bersama secara adil sama ada sumber bumi, kepakaran dan tenaga kerja yang bersifat kerjasama yang adil. Bebaskan daripada bergantung dengan US dollar kepada Dinar, mata wang asia dan sebagainya degan membebaskan diri daripada mata wang negara yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.

KRISIS KEAMANAN DAN KESELAMATAN

Allah berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah berjanji kepada orang – orang beriman  dan beramal soleh daripada kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka kalangan yang memerintah dimuka bumi, sebagaimana dijadikan kepada kalangan umat terdahulu. Dia menjadikan Din (Islam) berkuasa memerintah, lalu Dia menukar keadaan daripada ketakutan kepada keamanan. Mereka boleh beribadat kepada Ku (Allah) dalam keadaan tidak melakukan syirik terhadapaKu dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu, nescaya mereka menjadi orang – orang yang fasik”. (An Nur: 55)

Allah menjanjikan bahawa keamanan akan wujud apabila syariat Islam yang ada kehebatan menggerunkan penjenayah dimana proses kehakimannya sukar dihukum dengan syarat-syarat yang ketat kepada institusi kehakiman yang melibatkan para hakim, saksi dan keterangan.

Dengan segelintir yang sangat kecil dijatuhkan hukuman Qisas, Hudud, dan Takzir akan mengatasi jenayah yang menggugat keamanan masyarakat yang sehingga kini menjadi masalah global apabila kadar jenayah naik mendadak di negara yang paling maju dan kaya di dunia.

Sudah tiba masanya kita kembali kepada syariat Islam yang adil daripada rahmat Allah. Cukuplah dengan kadar peningkatan jenayah memberi keinsafan kpada kita terhadap kelemahan undang-undang ciptaan manusia.

KEAMANAN NEGARA

Keamanan dunia juga terancam oleh pertarungan yang menumpahkan darah di sana sini. Mengapa umat Islam dipersalahkn sehingga mencetuskan Islamofobia yang sengaja dicetuskan oleh media barat yang dikuasai oleh zionis.

Semua kekacauan khususnya di Asia Barat adalah agenda penjajah. Negara kuasa besar yang pernah menjajah sejak beberapa abad, mereka telah mencetuskan dua perang dunia yang dasyat. Kajian yang adil dilakukan, bukan sahaja mereka menjadi punca dua peperrangan yang dasyat itu, bahkan paling ramai mangsa korban adalah anak-anak negeri yang dijajah khususnya umat Islam sama ada yang dikerah secara paksa menjadi tentera atau terpaksa berperang kerana tanah air dijadikan medang peperangan.

Secara kebetulan negeri umat Islam kaya dengan sumber alam dan secara kebetulan kedudukan geografi peta dunia islam, menjadi laluan strategik, laluan sumber tenaga dan perjalanan perdagangan. Daripada selat Melaka terletak di antara Malaysia dan Indonesia sehinggalah Bab Mandab pintu Laut Merah melalui Terusan Suez berada dalam bumi Mesir sehingga selat Posporos pintu ke Laut Hitam dan juga pintu Laut Meditarenian adalah tanah air umat Islam. Maka kawasan ini seringkali menjadi mangsa peperangan.

Langkah kuasa besar menubuhkan negara haram Zionis Israel dengan merampas dan menjadikan penduduk asalnya sehingga menjadi pelarian adalah jenayah perang yang paling besar dalam sejarah. Semata-mata bagi menjaga kepentingan mereka daripada sumber tenaga paling kaya di rantau itu, sehingga dilakukan apa sahaja walaupun mengorbankan manusia yang dibunuh atau menjadi pelarian.

Konflik yang berlaku di rantau itu sekarang adalah agenda serampang yang lebih daripada dua mata bagi menyelamatkan Israel dan peperangan yang menjana ekonomi mereka dengan permainan harga minyak dan perniagaan senjata dengan mencetuskan peperangan secara proksi di atas kejahilan agama dan semangat perkauman yang sempit. Semua pihak dibekalkan senjata dan logistik yang dianggap boleh digunakan dengan membunuh sesama sendiri dan membayar duit sendiri kepada pihak yang melagakan mereka dengan menggunakan kesilapan yang berlaku seperti kezaliman pemerintah terhadap rakyat atau perbezaan agama diantara islam dan Kristian atau mazhab dalam satu agama atau kaum (etnik) yang berbeza. Sebenarnya Islam sudah di rantau itu beribu tahun dan Islam telah menyatukan mereka. Bukannya Islam yang salah, tetapi kejahilan setempat, kezaliman pemerintah dan musuh luar.

Islam mewajibkan kita bersabar dalam kesilapan dalam negara umat dan negara sendiri, walaupun terpaksa mengorbankan diri dan harta bukannya merosak umat dan negara daripada dalam. Wajib membezakan di antara menentang musuh luar yang menceroboh dan menghadapi kesilapan dalam negara sendiri. Diatas konsep ini maka PAS sangggup bertahan kalah teruk dan sedikit kemenangan walaupun kemenangan yang dikejar kelihatan terlalu jauh. Kerana kami berpegang kepada janji Allah dengan dua kemenangan, iaitu dunia dan akhirat.

Bahkan kita berjanji tetap bersama menentang musuh luar dan sesiapa sahaja yang mahu mengganggu urusan negara kita, walaupun dalam perkara masalah yang wajib kita betulkan. Biar kita sendiri dan kebijaksanaan kita sendiri. Jangan sekali-sekali menjemput musuh datang ke sini. Kita mahu mengharamkan peristiwa penjajahan berulang lagi, kerana Nabi kita Muhammad SAW bersabda,
لا يلدغ مؤمن مرتين من حجر واحد
“Tidak seharusnya seorang yang beriman itu disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang”.

ISU AL AQSA

Kita berpendapat langkah penyelesaian secara mewujudkan dua negara Palestin adalah mustahil dan tidak lebih daripada mengiktiraf negara rompakan terhadap bumi Palestin dan menubuhkan negara haram Israel yang menjaga kepentingan kuasa besar di kawasan Asia barat. Sejarah bangsa Yahudi sejak beribu tahun tidak boleh menjadi alasan dan bukan bangsa Yahudi yang menjadi penduduk asal Palestin tanpa dinafikan bangsa Yahudi yang berada di situ berhak menjadi rakyat, beribadat dan menjadikannya tanah suci mereka.

Kalau sejarah itu dipakai maka bangsa Red Indian lebih berhak memerintah Amerika dan orang asal di Australia dan New Zeland lebih berhak daripada bangsa kulit putih yang telah menjajahnya, tetapi kita membaca peta terkini dan Islam menegaskan bahawa bumi adalah kepunyaan Allah dan menjadikan manusia sebagai satu keluarga yang wajib bermasyarakat madani secara bersaudara.

Sepatutnya satu negara Palestin mengandungi masyarakat majmuk. Al Quran telah menjelaskan penyelesaiannya.

Firman Allah swt:
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَنْ يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Dan kalau Allah tidak menjadikanmanusia bertolak menolak (diantara benar dan salah) nescaya dibinasakanlah kuil penganut yahudi, gejera Kristian, sembahyang – sembahyang dan masjid – masjid yang disebut didalamnya nama Allah sebanyak – banyaknya”. (Al Hajj: 40)
Sejarah membuktikan betapa Yahudi dan Kristian tidak mengizinkan di antara satu sama lain dan saling berbunuh-bunuhan serta memusnahkan rumah ibadat silih berganti sehinggalah Islam mengambil alih dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai tanah suci kepada tiga penganut agama samawi iaitu, Islam, Kristian dan Yahudi. Kalangan pelampau Yahudi yang bergerak dengan pertubuhan zionis berjuang untuk menguasai Baitul Maqdis hanya bagi penganut Yahudi sahaja. Bahkan yang lebih pelampau lagi mahu meroboh Masjid Al Aqsa supaya diganti dengan kuil Yahudi yang dinamakan sebagai Haikal Sulaiman. Seterusnya menggali untuk mencabut  Tabut (peti keramat) yang memberi kekuatan berperang bagi manakluk dunia seluruhnya dengan mencetuskan peperangan terhadap semua bangsa dan agama. Bersama semangat cerita dongeng yang direka oleh pendeta-pendeta mereka yang menyeleweng daripada ajaran Nabi Musa AS dan Harun AS. Namun Mazhab Ortodok (Naturi Karta) pula berpegang bahawa usaha menubuhkan negara Israel adalah menggali kubur mereka bagi menghapuskan bangsa Yahudi kerana menyeleweng daripada ajaran yang sebenar.

Saya berharap supaya kerajaaan kita tidak terpengaruh dengan cadangan penyelesaian dua negara yang ditaja oleh kuasa besar yang dipengaruhi zionis.

ISU PELARIAN

Isu politik zalim, dalam negeri dan antara bangsa dan isu ekonomi yang zalim meminggirkan sesama manusia mencetuskan wujudnya pelarian yang merebak keseluruh pelosok dunia, sehinggalah setiausaha PBB mengaku sudah menjadi isu global.

Al Quran telah menyatakan penyelesaian terhadap isu ini sejak lima belas abad yang lalu. Apabila Allah menurunkan wahyunya di dalam Al-Quran.
Firman Allah:
وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan jika seorang bukan Islam (musyrik) datang meminta perlindungan, maka berilah perlindungan kepadanya, sehinga mendengar kalam Allah. Kemudian sampaikan ketempat yang aman”. (At Taubah: 6)

Walaupun pendatang yang zalim yang dizalimi itu kalangan penganut bukan Islam wajid diberi perlindungan, menunjukkan Islam memberi jaminan hak kemanusiaan sehingga merentasi sempadan agama yang berbeza. Walaupun diwajibkan berdakwah, Islam melarang paksaan supaya menerima Islam. Sekiranya mereka tidak menerima Islam hendaklah diberi keamanan sama ada dibenarkan berada dalam negeri umat Islam itu atau ke negeri yang aman kepadanya. Tidak diizinkan dipaksa pulang ke negeri yang yang menzaliminya.

Diatas semangat ini, masyarakat pantai timur majoriti Islam menerima pendatang mangsa peperangan Vietnam dan Kemboja di tahun ketujuh puluhan. Sehingga kini nelayan-nelayan kita yang hanyut ke perairan mereka dilayan dengan baik.

Konsep Islam inilah yang menjadi panduan undang-undang antara bangsa dan piagam Geneva yang berkait dengan isu pelarian.

Kita sepatutnya merasa kecewa dengan negara-negara jiran yang kaya raya dalam menangani masalah Asia Barat dan merasa kecewa dengan agenda memaksa terhadap panganut Islam secara halus di negara-negara barat dan mengutamakan kalangan profesional demi kepentingan ekonomi sehingga mengatasi masalah kemanusiaan.

PENUTUP

Akhirnya saya ulangi ayat tema ucapan bajet sebelum ini.

Firman Allah:
فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ(3) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ(4) سورة قريش: 3-4
“Konsep beribadah, ekonomi yang memberi kehidupan dan politik yang mewujudkan keamanan”.

Teks ucapan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat

Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS
Video ucapan
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU