Headlines News :
Home » » Ramadan: Rahmat, keampunan dan kemerdekaan

Ramadan: Rahmat, keampunan dan kemerdekaan

Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 July 2015 | 15:59

Marilah menyahut seruan Allah SWT dalam Al-Quranul Karim, (maksudnya):“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah:183]

Betapa besarnya fadilat puasa dan kelebihan Ramadan, sehingga Nabi Muhammad SAW mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang merlimpah ruah dengan kurnia pemberian Allah, maka selamat datang bulan Ramadan!”

Sabda Rasulullah SAW lagi (maksudnya): “Permulaan Ramadhan itu rahmat, pertengahannya keampunan, dan di akhirnya pembebasan dari api neraka.”

Betapa besarnya kelebihan Ramadan ini, di permulaannya dilimpahi pemberian pahala yang sangat mewah. Amalan yang sedikit diganjar pahala besar. Puasa, solat dan berbagai ibadah digandakan berlipat kali lebih berbanding pahala di bulan yang lain.

Allah juga melimpahkan rahmat di kalangan hamba-hamba-Nya. Apabila kita berpuasa, kita berlapar, berdahaga dan letih. Ia mengajar kita besarnya nikmat makan dan minum yang diberikan selama ini. Ia juga membuat kita mengenang perasaaan mereka yang tidak cukup makan minum seperti kita.
Bulan ini melahirkan rahmat dikalangan hamba-hamba Allah di dunia. Disebut dalam sebuah Hadis Qudsi (maksudnya):

“Rahmat Allah SWT dibahagikan kepada 100 bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya di dunia, untuk dibahagikan sesama mereka. Ia menjadikan para hamba berkasih sayang antara satu sama lain, berkasihan belas antara satu sama lain, dan bertolong menolong antara satu sama lain. Adapun 99 lagi rahmat-Nya disimpan di sisi-Nya, untuk dibahagikan kepada hamba-NYa yang beriman di hari akhirat kelak.”

Ramadan juga adalah bulan keampunan dari Allah SWT. Di bulan ini, Allah buka seluas-luasnya pintu keampunan-Nya, menjadikan bulan ini sarat dengan pengampunan bagi segala dosa dan kesalahan manusia. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Solat lima waktu, Jumaat sehingga Jumaat, Ramadan sehingga Ramadan akan datang, menghapuskan dosa-dosa yang kecil, selama mereka meninggalkan dosa yang besar.”

Walaupun disebut dosa yang kecil, sedar dan insaflah dosa-dosa kecil itu akan menjadi banyak dan bertimbun. Dalam perjalanan hidup kita yang mencabar, kita akan menghadapi berbagai dosa-dosa kecil. Oleh itu jangan kita menganggap remeh tentang dosa kecil, sebagaimana seorang Sahabat RA berkata (maksudnya): “Tiadalah dosa itu kecil sekiranya ia berterusan, dan tiadalah dosa itu besar, sekiranya ia beristighfar.”

Allah telah membuka pintu taubat, sejak dari kita baligh sehingga nyawa sampai ke halkum. Sejak manusia diutus ke bumi, sehinggalah matahari naik dari ufuk barat. Allah menjanjikan, walaupun hamba-Nya memohon keampunana dosa yang seluas langit dan bumi, Allah SWT juga akan memberikan keampunan sepenuh langit dan bumi.

Seterusnya, Allah terus membuka pintu taubat seluas-luasnya dibulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Oleh itu marilah kita merebut peluang meraih pengampunan dari-Nya. Bukan sahaja dengan menunggu melalui amalan-amalan ibadat yang dijanjikan pengampunan, tetapi turut beristighfar memohon pengampunan dari Allah.

Sekiranya kita meraih segala keberkatan, fadilat dan pengamnpunan di bulan yang mulia ini, maka kita akan mengakhiri Ramadan dalam keadaan dimerdekakan dari api neraka.

Firman Allah SWT (maksudnya): “Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu berada di bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam bermusafir, maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur membesarkan Allah. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku sangat dekat dengan mereka. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [Al-Baqarah:185-186]

(Khutbah Jumaat pada 2 Ramadan 1436 bersamaan 19 Jun 2015 disampaikan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dikendalikan oleh Alang Ibn Shukrimun)
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kubang Pasu, Padang Tok Kesop,06000 Jitra Kedah.

Popular Posts

 
Support : Creating Website |
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. PAS Kawasan Kubang Pasu - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PAS KAWASAN KUBANG PASU