Firman Allah Taala:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا
عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ
مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: Dikalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada
Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka
ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak
menukar prinsip perjuangan mereka.
( Al-Ahzab: 23 )
Hari
ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan
kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas
Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai
Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac
2004.
Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada
saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian
buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi
bahtera Kerajaan Kelantan.
Masih saya ingat ketika Tok Guru
meminta saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1995 bagi sama-sama
membantu beliau dalam menegakkan perjuangan Islam di Kelantan, saya
terus meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru siswazah
selama 15 tahun hanya matlamat saya semata-mata untuk berbakti kepada
perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebelum itu saya telah
diberi amanah untuk menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DUN Sungai
Pinang dan juga Bendahari PAS Kawasan Tumpat pada tahun 1986 demi untuk
mengurus tentang kewangan kawasan secara lebih teratur.
Tok
Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan
sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri
Kelantan secara lebih menepati kehendak islam dan Tok Guru memberi
mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan
tadbir urus Kerajaan Negeri. Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh
Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa
Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu
pada tahun 1997.
Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat
dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu
hikmah dalam memimpin Kerajaan Negeri tambahan pula dengan kehebatan
ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah
Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah
politik Negeri Kelantan
. Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran
dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama
dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal
mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan
sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.
Pesanannya
sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi
yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana
berada. Teringat saya kepada ‘kuliah senafas’ yang sentiasa mendidik
rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan
kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. ‘Kuliah senafas’ ini sentiasa
diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau
di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri
dan lain-lain mesyuarat.
Setiap pagi jumaat, akan kedengaran
suaranya menyapa masyarakat di sekitar Bandar Kota Bharu dan selepas
ini saya dan pasti seluruh rakyat akan sangat terasa dengan kehilangan
sosok besar perjuangan. Rasa hormat dan rasa sayang kepada Tok Guru ini
sentiasa mekar disanubari kami dan beruntunglah Tok Guru kerana Allah
telah mengambilnya ketika beliau sudah mencapai taraf kekasih Allah
sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا
دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا
فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ
السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ
فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي
الأَرْضِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada
seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan;
Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril
mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah
mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua
penduduk langit mengasihinya seraya berkata; kemudian letakkanlah rasa
kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi.
( Riwayat Muslim )
Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat
rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap
menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru.
Hari pemergiannya,
lautan manusia dari seluruh Negeri dan Negara luar turut hadir, daripada
sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan
daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi
penghormatan terakhir kepadanya. Allahlah yang meletakkan rasa hormat
dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian
‘Kekasih Allah’ yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru
telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada
Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.
USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
Home »
Penulis Tamu
» Pemergian Tok Guru ; Satu kehilangan Besar
Pemergian Tok Guru ; Satu kehilangan Besar
Written By Editor Bebas on Sunday, 15 February 2015 | 15:44
Labels:
Penulis Tamu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !