BAITULMAQDIS - Genap seminggu umat Islam di seluruh dunia
menunaikan ibadah puasa,
kesucian bulan Ramadan terus dicemari
keganasan, konflik dan penindasan yang masih berlanjutan di beberapa
negara Islam.
Di Gaza, penindasan rejim Israel ke rakyat Palestin semakin
berleluasa apabila kejadian terbaharu menunjukkan rakaman seorang remaja
dipukul teruk oleh tentera rejim Zionis tersebar luas di Internet.
Mangsa, Tareq Abu Khudair, 15, merupakan rakyat Amerika Syarikat,
dipukul dengan kejam oleh sekumpulan askar Israel hanya kerana menyertai
bantahan bagi menuntut bela atas kematian sepupunya, Mohammed Abu
Khudair yang mati dibunuh dan dibakar oleh pelampau Yahudi kira-kira
tiga hari lalu.
Bapa Tareq, Salah el-Din Abu Khudair berkata, anak lelakinya tidak terlibat dalam pertempuran dan hanya memerhatikan bantahan.
"Usia anak saya baru 15 tahun. Adakah dia berbahaya atau memegang pistol?
"Adakah kamu (tentera Israel) menjumpai pistol atau batu padanya sehingga sanggup membelasah anak saya dengan teruk," katanya.
Dalam kejadian berasingan, penduduk Palestin meneruskan ibadah puasa
mereka seperti biasa walaupun tentera udara Israel menggempur kira-kira
10 lokasi yang didakwa digunakan oleh pejuang Hamas di Genting Gaza
sebagai membalas serangan roket dari wilayah tersebut.
Di Nigeria, sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh termasuk enam askar
apabila pihak tentera menghalang serangan militan Boko Haram di
pangkalan tentera di Damboa di negeri Borno ketika kebanyakan polis dan
anggota tentera keluar meronda.
Di Syria, lapan orang daripada keluarga yang sama maut, apabila
tentera pimpinan Bashar al-Assad melancarkan serangan udara ke atas
pekan Dael di wilayah Daraa selain kematian enam kanak-kanak akibat
pertempuran di sempadan kawasan yang dikuasai tentera kerajaan dan
kumpulan penentang.
Sementara itu di Iraq, ketua militan Kumpulan Negara Iraq dan
Jajahannya (ISIL), Abu Bakr al-Baghdadi membuat penampilan umum pertama
dan menyeru umat Islam patuh kepadanya ketika 10 penduduk Kurdis di
sebuah kampung dekat wilayah semi-autonomi Kurdistan.
Ancaman ISIL juga dikhuatiri merebak ke Arab Saudi apabila dua
militan dipercayai anggota al-Qaeda meletupkan diri di sebuah bangunan
kerajaan di selatan negara ini, serangan pengganas pertama sejak 10
tahun lalu.
Dalam pada itu, penduduk Islam di Myanmar juga berdepan krisis agama
paling buruk apabila rusuhan di Mandalay menyaksikan pihak polis hanya
mendiamkan diri apabila penganut Buddha bertindak ganas membakar sekolah
agama dan beberapa bangunan lain serta menyerang masjid ketika solat
tarawih berlangsung.
Saksi kejadian berkata, perusuh turut membawa senjata berbahaya
termasuk kayu, batang besi dan gergaji, tetapi tiada kematian atau
kecederaan dilaporkan. - REUTERS/AFP/DPA
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !