MUQADDIMAH
Ketika Rasulullah SAW dilantik
menjadi Rasul akhir zaman, kerasulannya bersifat sejagat dan ‘alami.
Baginda bukan sahaja berdepan dengan musyrikin Arab yang buta huruf,
paling keras dan bebal, bahkan menghadapi seluruh manusia di muka bumi
sepanjang zaman.
Ada pun di luar bumi Arab pula, adanya
kuasa-kuasa besar dunia yang bertembung, khususnya Rom dan Parsi, di
samping China, India, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Dalam masa yang
sama, adanya pula golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab
berbagai-bagai agama.
Al-Quran, bukan sahaja menjadi petunjuk
yang benar mengenali Allah dan segala akidahnya, beribadat dan cara
hidup diri dan bermasyarakat, hubungan manusia dengan Allah.
Al-Quran
juga memberi petunjuk menangani berbagai-bagai agama dan kuasa
pemerintahan, dengan memaparkan sejarah terdahulu dan semasa. Pendekatan
dakwah secara muwajahah silmiyyah diutamakan, perdamaian didahulukan
dalam hubungan antara bangsa, negara, kaum dan agama, berdiplomasi dalam
menangani pertembungan antara kuasa besar dan kebijaksanaan dalam
pertembungan agama, dengan syarat istiqamah dan konsep murunah tanpa
hilang petunjuk yang sebenar, serta tegas menghadapi segala tentangan
sehingga tidak menyerah kalah, sama ada menang atau mati kerana Allah.
MENGHADAPI PERGOLAKAN ANTARA BANGSA
Di antara petunjuknya ialah firman Allah, maksudnya:
“Alif,
Laam, Miim. Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan
mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa
tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang
segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada
ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan
bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Mengasihani. (Surah ar-Rum : ayat 1-5)
Ayat-ayat
ini membetulkan sikap dalam pertembungan antara dua kuasa besar di zaman
itu, dengan sikap yang berbeza di antara ahli kitab dan yang lain,
tanpa menghadapi musuh yang ramai dalam satu masa.
MENGHADAPI PELBAGAI PIHAK
Adapun
berdakwah secara umum, manusia berbagai-bagai agama dan budaya,
sehingga kerajaan yang memerintah negara, Al Quraan memberi petunjuk.
Firman Allah, maksudnya :
“Serulah (berdakwah) ke jalan
Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik;
Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang
sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan
orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
“Dan jika
kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas
dengan yang setimpal seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika
kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik
bagi orang-orang yang sabar.”
“Dan bersabarlah (Wahai
Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan
tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan)
Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan
janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka
lakukan.”
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha amalan yang baik.”
(Surah al- Surah An-Nahl : Ayat 125 – 128)
Khusus bagi menghadapi ahli kitab Allah berfirman, maksudnya :
“Dan
janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang
lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan
Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang
diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan
kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan
kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (Islam)." (Surah al-Ankabut : ayat 46)
CABARAN DALAMAN UMMAH
Seterusnya
umat Islam menghadapi cabaran penyelewengan dalaman, sehingga
memecahkan mereka kepada mazhab bukannya sekadar furu’ ilmu fiqh yang di
izinkan, bahkan yang menyentuh akidah yang dinamakan firqah dan
tasawwuf yang dinamakan tariqat. Walaupun mengaku berada dalam kepompong
Islam, tetapi memecahkan kedudukannya daripada kepompong Islam, secara
sedar atau tidak.
Dalam hal ini kita perlu membuat pertimbangan berpandukan firman Allah, Maksudnya:
“Kemudian
Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih
dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku
zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran
al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di
antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan
dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar
(dari Allah semata-mata).” (Surah Surah Fatir : Ayat 32)
Selepas
wafatnya Rasulullah SAW berlakunya masalah dalaman penganut Islam,
peristiwa riddah, keluar daripada Islam semuanya atau menafikan hukum
zakat dalam keadaan masih bersembahyang. Kekhilafan juga berlaku dalam
kalangan para sahabat RA berhubung dengan perlantikan Khalifah. Walau
pun akhirnya bersepakat mendokong Khulafa ar-Rasydin RA. Namun kesannya
berbangkit kemudian, mencipta mazhab Syiah dan Khawarij dan menjadi
melampau kerana adanya anasir luar yang masuk ke dalam umat Islam dan
kejahilan umat pada zaman mutakhir.
Selepas penterjemahan
berbagai-bagai ilmu ke dalam bahasa Arab pada zaman Abbasiyyah, sehingga
termasuk pengaruh ilmu falsafah, menyebabkan lahirnya perbincangan ilmu
akidah yang memecahkan aliran pemikiran dalam aspek akidah dalam
kalangan Ahli Sunnah sendiri, kepada aliran Salafiyyah, Asyairah dan
Maturidiyyah sehingga dinamakan Ilmu Al Kalam kerana banyak falsafahnya
apabila berdepan dengan aliran Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan
lain-lain. Muncul pula aliran Batiniyyah yang menafikan amalan syariat
yang diwajibkan. Semua aliran aliran tersebut juga mempengaruhi semua
kalangan mazhab yang terdahulu yang bermula dengan politik, feqah dan
tasawuf.
Umat Islam pula menghadapi al Ghazwu al-Fikri daripada
timur dan barat, khususnya selepas masuknya zaman penjajahan baru dan
selepas penjajah asing, bukan sahaja terpengaruh dengan tamadun
kebendaan yang melampau, tetapi menganut aliran al-Ilmaniyyah
(Sekularisma) yang mencipta semangat menentang penjajah, pada mulanya
berasaskan nasionalisma dan selepasnya menganut berbagai-bagai ideologi
dan teori politik dan ekonomi yang asing daripada Islam. Bukan sahaja
liberal kapitalisma dan sosialisma yang tidak menolak agama bahkan
melarat kepada komunisma yang menentang semua agama.
Ada juga
yang menghina dan mempersendakan hukum-hukum Islam, dalam keadaan tetap
mengaku menjadi penganut Islam. Lebih merbahaya lagi adanya ulama yang
bersamanya dan melabelkan Islam kepada semua ideologi itu kerana
mengampu kepada kerajaan di negeri masing-masing atau tidak memahami
perkembangan semasa.
AKIDAH MEMPENGARUHI MAZHAB
Perpecahan
umat berdasarkan kepada politik pada awalnya, bukan sahaja mempengaruhi
madrasah fiqhiyyah, namun melibatkan juga madrasah akidah dan tasawuf
sehingga berpecah kepada mazhab yang banyak.
Abu al-Hasan
al-‘Asyari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin dan al-Syahrastani dalam
al Milal wa Nihal menghuraikan agak terperinci. Madarasah Ahli Sunnah
dalam perkara akidah berpecah kepada tiga mazhab - Salaf, As-Syairah dan
Maturidiyyah.
Mazhab Syiah berpecah kepada 52 mazhab yang besar
dan kecil. Khawarij pula berpecah kepada 16 mazhab. Mu’atazilah kepada
12 mazhab, Jabriyyah kepada tiga mazhab.
Ada kalangan mazhab
yang sama akidahnya dengan ahli sunnah dan berkhilaf dalam hukum feqh
dan ada pula beberapa hukum feqh yang sama tetapi menganut mazhab
muktazilah dan lain-lain.
MAZHAB AHLI Al SUNNAH WA JAMA’AH
Mazhab Ahli Sunnah Wa Jama’ah wajib dipertahankan kebenarannya, walau
pun Muktamar OIC terakhir di Makkah merasmikan keputusan Majmak al-Fiqh
dibawahnya yang berpusat di Jeddah dan sebelumnya Majma’a Al Buhuth Al
Islamiyyah di-Mesir mengisytiharkan lapan mazhab yang lahir dalam
kalangan umat Islam yang diiktiraf bernama Islam.
Lima daripada
Sunni: Hanafi, Maliki, Syafe’ei, Hambali dan Zohiri, (tanpa menyebut
mazhab yang terdahulu di kalangan sahabat dan tabi’ein). Dua daripada
Syi’ah: Imamiyyah (Ja’afariyyah) dan Zaidiyyah dan satu mazhab Khawarij ,
iaitu Ibadiyyah.
Mazhab Ahli Sunnah mengalami proses ilmu dan
perjuangan yang lebih mendalam daripada mazhab yang lain, kerana berada
di pusat ilmu, seperti Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Iraq dan Mesir.
Adapun
Mazhab yang lain menjadi terpencil daripada pusat ilmu dan jauh
daripada para ulama muktabar yang berjuang secara berdepan menghadapi
cabaran.
Menjadikan pendapat yang kuat dari segi hujah yang
sahih dan kuat bersumberkan hukum Islam lebih banyak, dan hujah mazhab
yang lain banyak yang lemah, namun kita tidak boleh menafikan adanya
banyak persamaan dalam beberapa hukum dan adanya pertemuan ilmu berbagai
mazhab, kerana berguru dan meriwayat di antara satu sama lain. Seperti
di antara Abu Hanifah dan Imam Al Baqir dan anaknya Imam Ja’afar Al
Sadeq daripada mazhab Syi’ah. Imam Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan
daripada Soleh bin Hay yang bermazhab Syiah , dan contoh yang lain.
Perlu
diketahui juga bahawa zaman mutakhir berlakunya kelahiran kaul daif dan
ada yang menyeleweng daripada imam mazhab yang terdahulu apabila
berlalunya masa yang lama dan berlakunya pertembungan secara jahil dan
taksub. Sehingga ada yang terlalu melampau sehingga membatalkan
Islamnya.
Perlu difahami perbezaan antara meningkari Nas
al-Quran, Hadis-Hadis Soheh Mutawatir, Ijma’a dan menafikan Hadis Ahad
dan adanya kaul daif daripada mazhab sahabat dan tabi’en.
Dalam
masa yang sama berlaku pula ta’asub mazhab Sunni sendiri sehingga
menolak dan menyesatkan sesama sendiri dan menafikan mazhab para sahabat
dan tabi’ein yang sepatutnya dikaji juga.
KAJIAN PARA ULAMA
Ada
kalangan ulama yang mengarang kitab berkenaan dengan sejarah dan aliran
pemikiran mazhab-mazhab firqah tersebut. Seperti Abul Hasan Al-Asyari
mengarang kitab Maqalat Al Islamiyyin. AlSyahrastani kitabnya al-Milal
wa-Nihal , Ibnu Hazmin kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa-Nihal. Ibnu
Khaldun pula menyentuhnya dalam al-Muqaddimah. Maka kita akan dapati
perbezaan pendapat dan sikap kalangan ulama itu kerana berbeza zaman dan
tempat.
Untuk mendapat kajian terperinci adalah lebih baik
dirujuk kepada penulisan perbandingan mazhab yang agak mendalam,
terperinci dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik kerajaan masing.
Di antaranya ialah karangan Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Abdul
Karim Zaidan yang berada di tengah-tengah masyarakat berbagai mazhab.
Sebelumnya al-San’aani daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul
Al-Salam mensyarahkan kitab matan Hadis Bulugh Al-Maram karangan Ibnu
Hajar daripada Sunni, Al-Syaukani yang berubah daripada keluarga Syiah
kepada Sunni.
Kita juga wajib berwaspada dengan permainan
politik dalaman umat dan musuh luar, yang sengaja mencetuskan masalah
dalam tanah air dan masyarakat umat Islam .
SIKAP MUSUH TERHADAP ISLAM
Semua
penulisan dan media barat meletakkan semua yang berwajah Islam dalam
senarai paling bahaya, tanpa mengira mazhab, bangsa, dan ideologi
politik yang dianut dan diperjuangkan, walau pun yang terpelanting
daripada Islam seperti Komunis atau Islam Liberal.
Ketika
memuncak perang di Semenajnung Korea tahun 50-an, dan ancaman pakatan
Warsaw terhadap Negara Eropah, seorang diplomat barat membuat kenyataan
bahawa Islam lebih bahaya daripada ancaman komunis. Di Malaysia juga ada
kalangan yang menumpang sama.
Saya juga tidak lupa kenyataan
Ehud Barak, Mantan PM dan Menteri Pertahanan Israel ketika terburainya
Komunis dan pecah berkecainya Negara Sovet pada akhir tahun 80-an:
“Supaya berwaspasa terhadap kumpulan Islam yang muncul di negara Asia Tengah bekas jajahan Islam”.
Kita
perlu membaca sikap kuasa besar barat dan timur terhadap Islam secara
menyeluruh. Kita juga wajar memahami mengapa British berfahaman Liberal
kapitalis dan sekutunya mengizinkan kemerdekaan Yaman Selatan dahulu
kepada pembentukan kerajaan Komunis Maxis di antara tempat paling
stratejik dan Rusia dan China mengizinkan penubuhan kerajaan pro barat
di kawasan umat Islam di Asia Tengah. Dalam masa yang sama adanya pula
negara Arab yang bersekongkol dalam percaturan politik kuasa besar.
Umat
Islam juga dikawal habis-habisan dalam perlumbaan teknologi. Maka kalau
yang maju sehingga sedikit kemajuan dalam teknologi nuklear, laksana
tanda kiamat yang wajib dimusnahkan, walau pun dia seorang Islam yang
zalim seperti Saddam Husain atau tolol seperti Muaamar Gaddafi.
Sekalipun bertujuan untuk tenaga letrik dan sebagainya, tetap
diharamkan. Saintis Iran, dikutip untuk dibunuh dan ada yang diculik
ketika menunaikan haji di Makkah, tiba-tiba dapat melarikan diri ke
Kedutaan Pakistan di Amerika.
Ada pun negara lain boleh membina
semaju-majunya, sehingga melakukan ujian yang mengacau cuaca dunia dan
keselamatan penduduk setempat, dan mengganggu keamanan dunia dengan
senjata pemusnah membunuh lebih kejam daripada binatang buas.
Negara
barat dan timur boleh menubuhkan apa sahaja pakatan termasuk
ketenteraan, saperti NATO dan Warsaw, atau pakatan ekonomi seperti EU,
AFTA, NAFTA, G7, TPPA dan sebagainya. Adapun negara umat Islam
diharamkan seperti itu.
Maka OIC hanya layak bersifat NGO yang
hidup segan mati tak mahu. Apabila Almarhum Erbakan PM Turki menubuh G8,
maka dilumpuhkan, lebih lagi apabila mencadangkan Dinar pengganti
Dollar dalam urusan kewangan antarabangsa. Tiba-tiba Erbakan (Pemimpin
Parti Islam seperti PAS di Malaysia) digulingkan, termasuk Tun Mahadir
pemimpin kuat Umno yang menyokong cadangan ini.
Beginilah
senario membelasah Islam tanpa mengira mazhab, tanpa mengira namanya
Sunni, Salaf atau Khalaf, Asyairah, Maturidiyyah, Wahabi dan lain-lain.
Termasuk tanpa mengira Sunni, Syiah dan Khawarij dan lain-lain,
termasuklah tanpa mengira Islam atau sekular.
Pada zaman
penjajahan dahulu pihak musuh juga berjaya mencipta mazhab yang disokong
oleh mereka seperti Qadiani (Ahmadiyyah) di India dan Bahai di Iran
yang ditolak oleh umat Islam, sehingga terpaksa memindah pengkalan di
Israel dan England.
GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MAZHAB
Semua
gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu
para ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada Ahli
al-Islam atau pun Ahli Al-Qiblah.
Pelopor gerakan tajdid zaman
penjajahan, Jamaluddin al-Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan
kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung dengan muridnya Muhammad Abduh
memainkan peranan pada awal abad yang lalu bersama dengan Ayatullah
Al-Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan al-Banna, Abul ‘Aala Maududi,
Nawwab Sofawai dan lain-lain. PAS juga bersama menyambung dalam usaha
ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan
antarabangsa. Hasan al-Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi
dihukum bunuh di Iran. Dua tokoh al-Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh
iaitu Shaikh Mustafa al-Maghari dan Mahmud Syaltut melibatkan diri
dalam usaha taqrib. Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar dikuasai oleh
kerajaan Mesir.
Almarhum Dr Said Ramadan al-Misri (S/U Ikhwan
Muslimin) menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan
ribu di kedutaan Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya
dijatuhkan hukuman mati ditali gantung.
Gerakan Ikhwan
al-Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh yang besar, apabila
beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa Parsi, di antara
penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik menjadi Imam
selepas al-Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa membatalkan
beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati
mencela para sahabat dan Umahat al-Mukminin RA.
Satu pendedahan
diawal revolusinya berlaku perang teluk yang belum selesai sehingga
kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan lebih 80 orang
pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan Islam,
diantaranya ialah Ayatullah Bahasyti.
Walau pun mereka boleh
bertahan, namun mereka berdepan dengan para ulama fanatik mazhab yang
masih ramai dalam masyarakat yang bertindak secara negatif menyebarkan
mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, di samping negara Arab Sunni
berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan persaudaraan seagama,
sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar barat yang
menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara ini
sangat rapat dengan Iran pada zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat
kepada Barat.
Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan
Islam di Sudan, terhadap Ghazzah, terkini di Mesir, Tunisia, dan
lain-lain, sangat menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha
menghalang munculnya Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam -
sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Iran walaupun sudah menunjukkan
arah menjadi kuasa besar dunia.
Sikapnya memutuskan hubungan
dengan Israel dan membatalkan pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan
Shah dahulu dan keberanian membantu Hamas, dan Tanzim Jihad bukan
sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh Negara Arab Sunni sangat
memalukan.
Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan
Israel telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang
dianggap oleh Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan
penyelamat kepada penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini
dapat menghapuskan pengkalan Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam
Sunni), pengkalan hadapan secara lansung dengan Israel yang tidak
dibenarkan di semua Negara Arab, kecuali Yaman, Sudan, Algeria, Qatar
dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata menentang Israel disebelah
utara, yakni bukan hanya melibatkan Hizbullah daripada Syiah.
PETA BARU DUNIA ISLAM
Pada
awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya
menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, iaitu peranan mazhab pada masa itu
tidak besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor
mazhab dan kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam
dijadikan faktor membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya melibatkan
dunia Islam. Tujuannya ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan
hadapan dalam pertembungan dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap
sumber pembekal tenaga dan perjalanan antarabangsa.
Pemetaan
dicadangkan supaya Selatan Mesir (So’eid) dipecahkan kepada kaum yang
rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang dipisahkan
daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik
juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar
(amazigh). Syria , Iraq dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah,
Alawi, Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga
Saudi, Iran, Negara Teluk dan Yaman.
Usaha melumpuhkan
ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya melumpuhkan Pakistan dan
Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman, dilagakan pula
Saudi dan Iran secara pertembungan mazhab. Peperangan boleh dilakukan
secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata
dalam kalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan
peperangan sesama sendiri .
PENUTUP
Perpecahan
mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang
kemaraan dakwah dan futuhat Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat
yang tulin dapat membezakan antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga
tidak dihabiskan oleh pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud,
tetapi kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini digugat dengan perkara
mazhab sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh para ulama dan
pemimpin yang insaf.
Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat
sepatutnya dapat diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan
teknologi maklumat terkini.
PAS sendiri sehingga kini berjaya
menapis segala anasir fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan kedalam
PAS atau menggangu perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan
sendiri atau dipecat.
Akhirnya bacalah firman Allah, maksudnya:
103. Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
104.
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan
dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik
pada apa sahaja yang mereka lakukan.
105. merekalah
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan
pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya
Kami tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk menilai amal mereka,
pada hari kiamat kelak.
106. (Mereka yang bersifat)
demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar,
dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai
ejek-ejekan.
(Surah Surah al-Kahf : ayat 103-106)
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !